shahgazer

Langit Minggu Ini – 23 hingga 29 Januari 2017

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page
  • 24-25   Subuh. Conjunction. Bulan berada sekitar 7 deg dari Zuhal.
  • 26   Subuh. Conjunction. Bulan berada 3 deg dari Utarid.
  • 28   8.07 am Fasa Bulan Baru dalam buruj Capricornus

Sebelum kita lihat apa yang menarik untuk minggu ini, suka saya ingatkan kalendar Almanak Astronomi 2017 boleh didapati juga dalam versi Google Calendar. Saya syorkan anda masukkannya ke dalam aplikasi kalendar mobil anda kerana selain daripada senarai asal AA2017, saya akan sentiasa buat tambahan maklumat baru menerusi kalendar tersebut.


Bulan

 

Bulan memulakan minggu ini semakin rendah di langit Subuh, di ufuk sebelah timur. Ia berada dalam fasa bulan sabit tua, dan menuju ke fasa bulan baru pada hujung minggu ini.

Fasa bulan pada 25 Januari 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Perhatikan kedudukan bulan pada tiga hari berikut, 24, 25 dan 26 Januari, kerana ia akan melakukan beberapa lintasan (Conjunction) planetari yang agak menarik.

Pertama sekali ialah pada Subuh, 24 Jan, di mana jika kita lihat pada sudut sebelah bawah kanan dari Bulan, di situ terletaknya planet Zuhal.

Sementara di sebelah kanan Bulan, akan kelihatan bintang merah Aldebaran, bintang tercerah di dalam buruj Scorpius.

Pada Subuh, 25 Jan, Bulan akan beranjak ke bawah sedikit, dan kali ini Zuhal akan berada di sebelah atas kanan pula. Planet Utarid pula akan berada di sebelah bawah Bulan. Kedudukannya nanti, Bulan akan berada di antara Zuhal dan Utarid.

Pada Subuh 26 Jan, di sebelah kanan Bulan akan ada planet Utarid pula! Jarak pemisahan antara 2 objek ini ialah sekitar 3 darjah.

Pada 28 Jan, jam 8.07 pagi, Bulan akan memasuki fasa Bulan Baru (New Moon).  Ia juga bersamaan 29 Rabiul Akhir, menandakan hari terakhir bulan hijrah dan aktiviti mencerap hilal Jamadil Awal akan dilakukan.

Pada Maghrib, 29 Jan, Bulan sudah mula kembali ke sebelah petang, dengan bentuk sabit yang amat halus.


Utarid

 

Utarid kini agak rendah di ufuk timur pada waktu Subuh. Menurut kiraan, ia hanya berada pada ketinggian 10 darjah  sahaja pada waktu seitar 20 minit selepas Subuh. Altitud ini akan berkurangan menjadi 9 darjah menjelang hujung minggu.

Bulan melintasi Utarid pada 26 Jan 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Bulan akan melintas hampir dengan Utarid pada 26 Januari nanti. Inilah satu-satunya peluang untuk cuba menjejaki planet ini sebelum ia kembali hilang ditelan cahaya matahari dan muncul pula di waktu petang beberapa minggu akan datang.


Zuhrah

 

Zuhrah masih kekal gah di langit Maghrib, di sebelah ufuk barat untuk sepanjang minggu ini. Tidak mudah untuk sesiapa boleh terlepas pandangnya, kerana ia sungguh terang.

Menerusi teleskop, bentuknya sudah menjadi seperti bulan sabit yang gemuk. Ia sudah pun melepasi fasa ‘separuh’nya minggu lepas. Saiznya juga kelihatan semakin membesar.

Bentuk Zuhrah pada 21 Jan 2017. Dirakam oleh Shahrin Ahmad.

Posisinya dalam orbit sekarang semakin menghampiri Bumi.

Berdasarkan kiraan falak, saiznya pada 23 Jan 2017 nanti ialah 27.7 arc saat, dan menjelang hujung minggu, 29 Jan 2017 nanti, ia membesar menjadi 29.9 arc saat.


Marikh

 

Marikh masih kekal di langit barat. Pergerakannya di langit seolah-olah nampak macam ‘pegun’ dan tidak semakin rendah seperti bintang-bintang lain. Ini adalah kerana ia sendiri pun sedang bergerak ke timur relatif kepada bintang-bintang di langit.

Ia kecil dan kurang menarik untuk dicerap menerusi teleskop.

Untuk mencarinya senang je. Ia berada di atas sedikit daripada planet Zuhrah.


Musytari

 

Musytari semakin awal terbit setiap minggu. Pada kali ini, ia mula terbit di ufuk timur pada jam 12.30 tengah malam (11.30 malam Sabah). Menjelang Subuh, ia berada tepat di atas kepala.

Musytari yang dirakam pada 20 Jan 2017 oleh Shahrin Ahmad

Jika anda melihat betul-betul, di sebelah kanan (atau ke selatan) Muystari itu akan kelihatan sebutir bintang putih yang terang. Itu ialah bintang Spica, bintang ke-15 tercerah di langit, dan juga bintang paling cerah di dalam buruj Virgo.

Kedudukan Musytari dan bintang Spica, ketika kedua-dua terbit di ufuk timur. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Untuk beberapa bulan ini, kedua-dua Musytari dan Spica akan kelihatan seperti sepasang merpati sejoli!


Zuhal

 

Planet Zuhal juga semakin tinggi di langit timur selepas Subuh.  Ia mula terbit sekitar jam 4.40 pagi (3.40 pagi Sabah).

Pada 24 dan 25 Jan, Bulan akan melintas berhampiran dengan planet ini.

Bulan melintasi Zuhal pada 24 Jan 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Kedudukan Bulan pada 25 Jan 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Gelang Zuhal akan kelihatan paling ‘luas’ untuk tahun 2017 ini. Kutub utaranya akan menghala ke Bumi dan kita boleh lihat sebahagian daripada jalur gelangnya lengkap membuat satu pusingan di sekeliling bentuk sfera planet ini.

Bentuk gelang Zuhal untuk tahun 2017 ini. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Jadi jangan lepaskan peluang melihatnya tahun ini!


Komet C/2015 V2 (Johnson)

 

Komet Johson masih berada di langit timur laut pada waktu Subuh. Kedudukannya berada di timur (atau ke kanan) daripada asterim Biduk.

Laporan terkini dari COBS menunjukkan ia sekarang bersinar pada magnitud 10.5 . Masih agak kelam untuk kelihatan ‘menarik’, tapi saya jangkakan ia sudah boleh dirakam menerusi teleskop dan kamera.