Langit Minggu ini – 9 hingga 15 Januari 2017

 

Langit senja (selepas Maghrib hingga tengah malam)

 

Minggu ini bermula dengan lintasan Bulan berhampiran dengan bintang gergasi merah, Aldebaran di dalam buruj Taurus. Ia boleh dilihat selepas Maghrib, pada 9 Jan. Bulan pada ketika itu berada dalam fasa cembung, nak menghampiri purnama. Bintang Aldebaran akan berada di sebelah kanan-bawah dari posisi Bulan, kurang 1 darjah sahaja.

Kebetulan pula di sekitar bintang Aldebaran ini, terletaknya gugusan bintang Hyades. Jadi, jika kita mempunyai binokular,halakan ke arah Bulan, dan kita akan nampak banyak bintang-bintang halus bersepah sana sini di sekeliling Bulan!

screen-shot-2017-01-09-at-10-59-30-am

Buruj Orion juga berada berhampiran dengan Bulan. Anda akan dapat lihat dengan mudah 3 bintang sederet di dalam buruj tersebut, yang menunjuk ke arah kiblat dari lokasi Malaysia.

Seperkara yang menarik di sini ialah, jika kita merakam Bulan dan Aldebaran bermula dari Maghrib hinggalah ke lebih kurang tengah malam, kita akan dapat lihat pergerakan Bulan itu sendiri melintasi bintang tadi. Inilah bukti yang menunjukkan, bukan sahaja kita lihat Bulan terbit timur dan turun di barat akibat kesan putaran Bumi, kita juga dapat lihat bukti bahawa Bulan itu sendiri bergerak perlahan-lahan ke arah timur!

screen-shot-2017-01-09-at-11-53-50-am

Bulan berada di sekitar gugusan Hyades dan bintang Aldebaran pada 9 Jan 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Kiraan Sky Safari Pro menunjukkan Bulan dan Aldebaran berada dalam posisi paling hampir pada jam 10 malam . Selepas itu ia akan kembali semakin jauh.

Di barat, planet Zuhrah terus terang gah di langit. Di atasanya masih lagi kelihatan planet Marikh.

Menjelang hujung minggu, 15 Jan 2017, nanti, kedua-dua planet ini akan bergerak semakin hampir antara satu sama lain.

Tandakan kalendar anda pada tarikh 12 Jan 2017, kerana pada petang itu, Zuhrah akan melintasi hampir dengan planet Neptune pula!

Anda perlukan teleskop untuk melihat Neptune, tetapi nak mencarinya agak mencabar. Syukur pada petang 12 Jan nanti, kita boleh jadikan planet Zuhrah sebagai panduan kedudukan untuk mencari planet ke-8 ini.

Kiraan menunjukkan Zuhrah dan Neptune hanya dipisahkan sejauh 1/2 darjah sahaja. Muat dalam pandangan sebuah teleskop!

Komet 45P pula semakin rendah setiap hari. Berdasarkan pemerhatian saya minggu lepas, komet ini agak sukar untuk dilihat dengan mata kasar pada selepas waktu Maghrib. Kita kena tunggu lambat sikit iaitu sekitar 50 minit selepas Maghrib, apabila langit sudahpun semakin gelap, untuk memudahkan pencariannya.

15844796_10210644039689509_5379380838149621310_o

Menjelang hujung minggu, komet ini rasanya sudah terlalu rendah dan akan hilang dari pandangan kita. Ia kemudian akan muncul pula di waktu pagi selepas Subuh.

comet45p-8-jan-2017

Komet 45P dirakam pada 8 Jan 2017. Kredit: Shahrin Ahmad (shahgazer.net)

Bulan akan memasuki Fasa Purnama (Bulan Penuh) pada 12 Jan 2017, 7.33 pm. Ia akan berada dalam buruj Gemini dan berhampiran dengan 2 bintang terang buruj tersebut, iaitu Pollux dan Castor (yang akan berada di sebelah kiri Bulan).

Pada 15 Januari 2017, planet Zuhrah akan berada pada kedudukan paling tingginya di langit barat untuk tahun ini. Ia akan berada 46 darjah atas ufuk sebaik sahaja matahari terbenam. Anda akan dengan mudah akan nampaknya seperti sebutir objek yang terang.

Fasanya sekarang ialah berbentuk seperti bulan separuh.

venus-8-jan-2017

Planet Zuhrah yang dirakam pada 8 Jan 2017. Kredit Shahrin Ahmad (shahgazer.net)


Subuh

 

Waktu Subuh, kita masih disajikan dengan kehadiran planet Musytari, yang semakin lama semakin tinggi ‘melangit’. Planet ini pun terbit semakin awal, iaitu sekitar 1.30 pagi (Semenanjung Malaysia).

Menerusi teleskop, Musytari terus besar dan cantik serta mudah untuk dilihat rupa bentuk awan-awannya. Selain itu, 4 buah satelit tercerahnya terus menari-nari di kiri dan kanan.

jupiter-7-jan-2017

Musytari yang dirakam pada 7 Jan 2017. Kredit Shahrin Ahmad (shahgazer.net)

Komet C/2015 V2 (Johnson) kelihatan di langit Subuh, dan berada di dalam kawasan buruj Ursa Major di langit utara. Berdasarkan laporan di COBS, komet ini bersinar pada magnitud 10 dan berada dalam trend menaik (semakin cerah). Tahap kecerahan ini masih di bawah kemampuan sebuah binokular, dan anda perlukan merakam menggunakan DSLR untuk melihatnya.

 

Apa pun, saya suka timbulkan nama komet ini di sini kerana ia dijangkakan akan menjari cerah ke sekitar magnitud 7 pada pertengahan tahun 2017 ini!

screen-shot-2017-01-09-at-11-34-46-am

Analisis kecerahan Komet Johnson. Sumber COBS

screen-shot-2017-01-09-at-11-44-34-am

Kedudukan Komet Johnson pada jam 5.30 pagi. Simulasi Sky Safari 5 Pro

 

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar