Penangan graviti Daphnis

Daphnis di antara dua buah gelang planet Zuhal.  NASA/JPL-Caltech/Space Science Institute/Ian Regan

Foto sungguh menarik ini sudah pun tersebar di alam maya sejak minggu lepas, namun baru sekarang saya sempat mengupas sedikit apa yang berlaku di sini.

Yes, apa sebenarnya yang berlaku di sini, ek?

Kita boleh nampak ada seketul ‘batu’ yang berada di antara 2 buah kumpulan jalur ‘pasir’, dan di antaranya ada nampak kesan-kesan beralun.

Sekali imbas, rasa macam ada orang main-main buat lukisan di atas pasir teluk kemang. Rupa-rupanya tidak.

Apa yang terpampang di hadapan mata kita sekarang ini ialah kesan graviti daripada sebuah bulan kecil, yang menghasilkan alun-alun seperti ombak di antara 2 buah gelang planet Zuhal!

Bulan kecil ini namanya Daphnis, ditemui pada tahun 2005. Ini merupakan antara bulan-bulan kecil yang ditemui menerusi pencerapan prob angkasa Cassini, yang sedang mengorbit planet Zuhal sekarang ini.

Daphnis sungguh kecil, dipercayai mempunyai saiz 8 km x 8 km x 6 km. Lebih kurang saiz Gunung Everest lah tu. Andai kata kita boleh ‘berjalan’ mengelilingi bulan ini, kita boleh lengkap satu pusingan dalam masa beberapa jam saja.

Itulah betapa kecilnya bulan ini.

Namun, Daphnis berada di dalam kawasan ‘kosong’ atau gap yang terletak di antara 2 jalur gelang Zuhal yang luas. Kawasan ini dipanggil The Keeler Gap, dan ia seluas 30-40km.

Walaupun kecil, bulan ini mempunyai daya graviti. Ia mempunyai kesan langsung terhadap butiran-butiran habuk, debu dan batu yang membentuk gelang-gelang Zuhal ini.

Jadi, apakah yang berlaku di sini?

Orbit Daphnis, walaupun berada di dalam kawasan ‘kosong’ Keeler Gap ini, ia tidak sempurna bulat, maknanya ia berbentuk elips. Maka, ada ketika di dalam orbitnya, Daphnis akan berada lebih hampir dengan sisi ‘luar’ Keeler Gap, manakala waktu lain, ia berada lebih hampir dengan sisi sebelah ‘dalam’.

Satah orbit Daphnis juga sedikit senget, 0.0036º, yang memberi mana ia akan mengakibat bulan ini kadangkala berada 17km di sebelah ‘atas’ gelang Zuhal, ada juga sebaliknya.

Pandangan daripada sudut atas menunjukkan gelang Zuhal ini tidaklah rata. Ada kesan ‘timbul’ dan ‘tenggelam’ akibat pengaruh graviti bulan-bulan kecil seperti Daphnis.

Gabungan 2 faktor ini menyebabkan kesan tarikan graviti terhadap habuk dan debu ini berubah-ubah setiap kali Daphnis bergerak di dalam kawasan Keeler Gap ini. Hasilnya ialah  apa yang kita dapat lihat menerusi gambar tadi, alunan berombak, yang bukan sahaja bergerak ke ‘dalam’ dan ke ‘luar’ tetapi juga ke atas dan ke bawah daripada satah gelang ini.

Selain itu, jika kita perhatikan betul-betul di permukaan Daphnis itu sendiri, ada kesan ‘garisan’ di tengah-tengahnya. Ia mungkin kesan debu dan habuk daripada gelang Zuhal yang berlanggar di atas permukaannnya.

Kesan hentaman habuk dan debu di atas permukaan Daphnis.

Teruja juga membaca mana-mana kertas kajian daripada penyelidik fizik dan astronomi untuk menjelaskan interaksi yang sungguh kompleks ini. Belum jumpa lagi setakat ini.

Rakaman sungguh menakjubkan dan beresolusi tinggi ini hanya dapat dibuat apabila prob angkasa, Cassini, mengubah laluan orbitya di sekeliling Zuhal, kepada orbit polar, dan ia merentasi satah gelang dalam sudut yang amat curam.

Perubahan orbit Cassini ini merupakan persediaan awal untuk ia ‘dihempaskan’ ke dalam atmosfera Zuhal pada bulan September 2017 ini, yang akan menandakan tamatnya misi kajian planet Zuhal yang telah bermula sejak 2004

Banyak lagi sebenarnya foto menarik yang dirakam oleh Cassini, InsyaAllah jika masa terluang saya akan cuba terangkan lagi penemuan-penemuan menarik prob angkasa ini.


Sumber

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar