shahgazer

Tujuh kembar bersaiz sama seperti Bumi ditemui!

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Gambaran artis tujuh buat eksoplanet yang mengelilingi bintang TRAPPIST-1 . NASA/JPL-Caltech

TUJUH! Itulah bilangan eksoplanet yang berjaya dikesan mengelilingi sebuah bintang. Walaupun kita dah selalu dengar berita penemuan seperti ini, hinggakan dah lali, tetapi kali ini ia jauh lebih menarik.

Awal pagi tadi (waktu Malaysia), kumpulan ahli astronomi yang telah mengkaji bintang bernama TRAPPIST-1, telah mengesahkan penemuan 7 buah eksoplanet yang kesemuanya dipercayai bersaiz-bumi (Earth-size). Bukan sahaja itu, 3 daripadanya berada di dalam kawasan zon yang boleh didiami (habitable zone)! Gabungan penemuan seperti ini tidak pernah berlaku dan amat mengujakan.

Bintang  TRAPPIST-1 itu (atau nama katalog rasminya 2MASS J23062928-0502285 ) merupakan sebuah bintang kerdil merah berjenis M8. Ia hanya mempunyai 8% jisim matahari sahaja, dan saiznya sedikit besar berbanding planet Musytari kita!) Ia bersinar pada tahap 0.05% sahaja berbanding matahari, menjadikan ia sebuah bintang yang kecil dan malap.

Walaupun bintang ini kecil dan malap, jaraknya yang berada ‘hanya’ sekitar 39 tahun cahaya daripada Bumi, membolehkan ia dikaji dengan lebih terperinci menggunakan teknologi pencerapan yang kita ada sekarang.

Eksoplanet yang ditemui tadi menggunakan teleskop TRAnsiting Planets and PlanetesImals Small Telescope atau lebih mudah nak sebut TRAPPIST.

TRAPPIST–South (TRAnsiting Planets and PlanetesImals Small Telescope–South) ialah sebuah teleskop bersaiz 60 cm dan terletak di La Silla, Chile. Sumber

 


Kedudukan Tujuh Sekawan

 

Eksoplanet yang tujuh ini diberi tanda nama TRAPPIST-1a, TRAPPIST-1b dan seterusnya hingga ke TRAPPIST-1g, berdasarkan susunan yang mana satu ditemui terlebih dahulu.

Rajah ini menunjukkan kedudukan 7 buah planet TRAPPIST-1 berbanding dengan orbit planet Utarid. Credit: ESO/O. Furtak

Orbit-orbitnya agak asing bagi kita. Jangka waktu ia mengelilingi bintangnya berbeza-beza bergantung kepada jaraknya. Menariknya di sini, KESEMUA tujuh buat eksoplanet ini berada dalam kawasan orbit yang lebih kecil jika dibandingkan dengan orbit Utarid mengelilingi matahari kita!

Planet yang paling hampir, 1b, mengambil masa hanya 1.5 HARI sahaja untuk mengelilingi bintang TRAPPIST-1 tadi tu! Nak lebih faham, SATU tahun di sana, menyamai 36 JAM kita di Bumi!

Tu dia!!

Planet yang paling jauh, 1h, juga melengkapkan pusingan dalam kadar yang amat laju, iaitu antara 14-25 HARI sahaja! Kurang daripada SATU BULAN kita di Bumi!

Perbandingan ciri-ciri tujuh buah planet TRAPPIST-1, berbanding dengan Bumi, Utraid, Zuhrah dan Marikh. Kredit: NASA/JPL-Caltech

 

Perbandingan saiz planet-planet TRAPPIST-1.  Credit: ESO/O. Furtak

Walaupun jaraknya amat dekat dengan bintangnya, tapi kita kena ingat, bintang TRAPPIST-1 ini ialah bintang kerdil merah, yang suhunya hanya sekitar 2300 darjah Celsius sahaja (berbanding matahari kita 5500 darjah Celsius). Maka, pada jarak itu, planet-planet tadi perlu berada hampir dengan bintangnya untuk dapat suhu yang mencukupi.

Ini terus membawa kita kepada satu lagi fakta menarik…


Tiga berada dalam Habitable Zone

 

Tiga daripada tujuh buat planet tadi terletak di dalam kawasan yang dikenali sebagai Habitable Zone. Ia merupakan satu kawasan atau jarak daripada sesebuah bintang, yang mana molekul air boleh wujud dalam bentuk cecair di atas permukaan.

Konsep Zon Boleh Didiami (Habitable Zone) .Kredit: by Karl Tate, Infographics Artist

Ini bermakna, kita mempunyai 3 buah calon planet bersaiz-bumi yang mungkin ada air dipermukaannya! Selalunya penemuan sebelum ini, kita hanya jumpa sebuah sahaja yang berada di persekitaran zon tersebut, tetapi penemuan 3 buah planet serentak merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku!

 


Jom pindah!

 

Sebelum kita kelam kabut nak membina roket untuk pindah ke sana, ada beberapa faktor lain perlu diambil kira..

Penemuan ketujuh-tujuh buat planet ini dibuat menggunakan kaedah transit, iaitu ketika planet-planet ini melintasi dihadapan bintang TRAPPIST-1 itu tadi, ia akan menghalang sebahagian kecil cahaya daripada bintang tersebut. Pengurangan keamatan cahaya ini memboleh ahli astronomi mengagak berapa lama tempoh ia melengkapi satu pusingan orbit, dan berapakan jisimnya berdasarkan interaksi tarik menarik graviti di antara planet-planet ini. Itu pun masih dalam tahap anggaran sahaja.

Untuk mengetahui dengan tepat jisim planet-planet ini, kita perlukan pemerhatian secara terus (direct) yang mana kita masih belum mampu melakukannya.

Data-data kecerahan bintang TRAPPIST-1 yang sedikit terhalang setiap kali salah sebuah daripada tujuh planetnya melintasi di hadapannya. Kredit: ESO/M. Gillon et al.

Kesannya ialah, walaupun kita tahu anggaran jisim dan tempoh orbitnya, kita masih tidak dapat tahu apakah komposisi permukaan planet-planet tersebut. Adakah ia berbatu seperti bumi? Adakah suhu permukaanya mencecah ratusan darjah celsius seperti Utarid dan Zuhrah kita? Ada atmosfera ke?

Maknanya di sini, kita perlu jelas dalam mewar-warkan penemuan ini kepada orang ramai. Apa yang kita jumpa di sini ialah tujuh buah planet yang BERSAIZ SEPERTI BUMI (Earth-size) dan bukannnya SAMA SEPERTI BUMI (Earth-like). Dua istilah ini membawa maksud yang amat berbeza dan boleh mengelirukan orang ramai.

Ingat tu, Earth-SIZE!


Penemuan NASA? Betul ke?

 

Selalunya bila sebut sahaja perkataan NASA, ramai yang menggeledingkan badan akan mula mempersoalkan penemuan ini dengan pelbagai alasan dan hujah konsiprasi. Persoalannya sekarang ialah tahukah kita, siapakah yang sebenarnya terlibat  dalam penemuan ini?

Berdasarkan laporan akhbar ESO, kumpulan ahli astronomi yang diketuai oleh Michaël Gillon, ahli astronomi dari University of Liège di Belgium, telah menggunakan data pencerapan dan kolaborasi di antara Teleskop angkasa Spitzer (NASA), TRAPPIST-South (ESO) di La Silla Observatory di Chile, alat HAWK-I yang dipasang pada Very Large Telescope (ESO), TRAPPIST-North di Maghribi, teleskop UKIRT 3.8 meter di Hawaii, teleskop Liverpool 2 meter dan William Herschel 4 meter di La Palma, kepulauan Canary dan teleskop SAAO di Afrika Selatan.

Ahli astronomi yang terlibat pun datang dari banyak negara. Boleh rujuk di sini

Kajian penemuan ini telah diterbitkan oleh NATURE di sini.

Ramai tu!

Rileks dan hadam dulu maklumat-maklumat di atas.


Andai ku berada di sana…

 

Space.com menulis, andaikata kita berada di salah sebuah planet di sana, suasana langit waktu siang sama terangnya dengan waktu maghrib kita di Bumi! Ini disebabkan bintang TRAPPIST-1 ini tidak menghasilkan sinar cahaya yang terang. Namun persekitaran kita mungkin agak suam-suam kuku, kerana haba yang diterima dari bintang tersebut adalah dalam bentuk infrared (bukannya julat cahaya yang boleh nampak dengan mata).

Kadangkala, kita mungkin akan dapat lihat planet-planet yang lain tu dalam saiz yang agak besar, sekitar 2 kali ganda saiz bulan kita yang kelihatan dari bumi.

Apa pun, memang mustahil untuk tahu keadaan sebenarnya di sana. Namun, ia tidak menghalang daripada beberapa orang artis melukis gambaran seperti di bawah.

Gambaran artis menunjukkan keadaan di atas permukaan salah satu daripada planet-planet yang mengelilingi  TRAPPIST-1 . Kredit: NASA/JPL-Caltech


Kesimpulan

 

Penemuan ini merupakan penanda aras baru di dalam kajian dan pencarian dunia lain yang serupa Bumi. Dalam tahun-tahun mendatang, akan ada banyak lagi kaedah baru, teknologi baru yang akan membantu kita dalam usaha ini. Manalah tahu, di kalangan ahli saintis yang terlibat dalam penemuan itu nanti akan turut mengukir nama seperti Adlyka Annuar!


Bacaan Lanjut

 

 

 

 

  • Yatt Yitt Yutt

    planet baru la plak. berpuluh tahun cahaya boleh jumpa. tp kapal hilang kt laut xleh jumpa plak. teknologi keparat

  • Mass Effect