Pan… bulan berbentuk cantuman piring terbang dan kacang

Nama Pan mungkin sinonim dengan cerita Peter Pan. Perkataan piring terbang memang pun sinonim dengan penggemar cerita makhluk asing melawat Bumi.

Tapi Pan yang nak diceritakan kali ini lagi pelik dan bukanlah sebuah cerita fiksyen!

Foto terbaru daripada peninjau angkasa, Cassini, telah berjaya merakam sebuah bulan atau satelit semulajadi planet Zuhal, bernama Pan. Ia menunjukkan sebuah bulan yang mempunyai bentuk yang amat ganjil. Bulan ini kelihatan seperti sebutir kacang yang mempunyai bonjolan seperti banjaran gunung di sekeliling garisan ‘khatulistiwa’nya!

Sekali imbas tengok memang sebijik macam sebuah piring terbang!

Foto terbaru bulan Pan, yang dirakam oleh peninjau angkasa Cassini. Sumber

Bulan Pan ini hanya bersaiz 34 km sahaja. Ia mengorbit planet Zuhal di dalam kawasan ‘kosong’ di antara jalur-jalur gelang planet Zuhal yang dipanggil sebagai Encke Gap. Foto yang dirakam oleh Zuhal ini diambil pada jarak 24,572 km!

Malangnya, inilah jarak yang paling dekat yang kita akan dapat perolehi kerana misi peninjau Cassini ini akan ditamatkan pada hujung tahun 2017 ini.


Pelik dan pelik.

 

Mana datang bonjolan tu? Jika dilihat dengan teliti, ketinggiannya mencapai beberapa kilometer dan agak ‘licin’. Phil Plait menyatakan ketinggian mencapai 7 km!

Kedudukan bulan Pan ini yang berada di dalam kawasan Gelang A (salah satu daripada jalur gelang planet Zuhal) menunjukkan ia sejenis ‘bulan pengembala’ atau shepherd moon. Bulan-bulan jenis ini berada di celah-celah gelang Zuhal. Gravitinya akan menolak habuk dan debu di dalam kawasan laluannya, menghasilkan satu laluan yang ‘agak kosong’.

Pan yang dilihat berada dalam kawasan Encke Gap, di dalam kawasan Gelang A planet Zuhal.  Credit: NASA/JPL-Caltech/Space Science Institute

 

Bentuk pelik Pan ini telah pun dikesan pada tahun 2007, dan saintis yang mengetuai proses pengimejan Cassini, iaitu Carolyn Porco bersama ahli kumpulannya telah membuat beberapa hipotesis. Menurut beliau, disebabkan pergerakan Pan hampir bulat dan sama kelajuan dengan habuk dan debu yang berada di sekelilingnya, lama kelamaan habuk-habuk ini akan perlahan-lahan jatuh ke kawasan tengah bulan ini dan timbunan debu dan habuk ini akan membetuk seperti bonjolan tanah yang kelihatan sekarang.

Satu perkara yang agak pelik ialah, bagaimana permukaan bonjolan ini sungguh ‘licin‘ berbanding dengan kawasan permukaan Pan yang lain. Mungkin kelajuan habuk ini jatuh dan membentuknya agak rendah, maka tiada kesan hentaman seperti kawah, yang akan terbentuk.

Kajian Carolyn dan kumpulan ini dapat dibaca di dalam jurnal Science ini.

Planet Zuhal bukan sahaja dikenali dengan gelangnya yang indah. Sistem bulan-bulannya pun agak unik. Ia mempunyai bulan yang bertompok hitam dan putih (Iapetus), bulan seperti span (Hyperion) dan banyak lagi. Bulan Pan ini nampak gaya nak masuk dalam kumpulan ‘bulan-bulan pelik’ ini!

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum Cassini dihempaskan ke dalam atmosfera Zuhal. Mungkin ada lagi penemuan baru yang bakal dihidangkan nanti? I really hope so!


Rujukan

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

  • Ibnu Ibrahim

    Alhamdulillah…satu persatu Allah tunjukkan kepada kita semua akan kehebatan ciptaanNYA…