Zuhrah kembali menghampiri Bumi

Planet Zuhrah agak unik. Selain daripada mempunyai saiz fizikal yang hampir sama besar dengan Bumi, ia juga merupakan objek ketiga paling cerah di langit, selepas Matahari dan Bulan. Ia juga sentiasa berada tidak jauh daripada matahari, yakni, kemunculannya sentiasa berada di ufuk barat waktu senja atau ufuk timur di waktu subuh. Mustahil ia berada di dalam arah bertentangan dengan matahari kerana orbitnya berada di sebelah ‘dalam’ daripada orbit Bumi.

Namun, ada satu lagi ciri menarik yang jarang-jarang kita ambil perhatian, iaitu fasa Zuhrah.


Fasa Zuhrah

 

Kita selalu dengar fasa Bulan, tetapi hanya segelintir sahaja yang mungkin pernah dengar mengenai fasa “Zuhrah”.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah, planet Zuhrah pun akan dapat dilihat berubah-ubah bentuknya seperti Bulan, iaitu ada ketika nampak seperti ‘bulan penuh’, kemudian menjadi ‘bulan separuh’, dan berbentuk ‘sabit’.

Kesan perubahan ini adalah disebabkan faktor orbitnya. Zuhrah merupakan planet kedua terhampir dengan Matahari (selepas Utarid). Bumi ketiga dan berada di ‘luar’ orbitnya.

Zuhrah hanya mengambil masa 225 hari untuk melengkapi satu pusingan orbit, berbanding Bumi 365 1/4 hari. Oleh itu, pada setiap kali pusingannya, ia akan mengejar dan ‘memotong’ Bumi (seperti pelumba lari dalam trek balapan).

Bentuk dan saiz Zuhrah yang berubah berdasarkan kedudukannya di dalam orbit matahari dan pandangan dari Bumi. Sumber.

Apabila Zuhrah berada jauh di sebelah belakang matahari, ia akan kelihatan kecil dan ‘fasanya’ seperti ‘bulan penuh’. Namun, ketika itu, ia amat hampir dengan matahari dan mustahil untuk dilihat di langii. Posisi ini dipanggil sebagai superior conjunction.

Selepas itu, ia akan mula bergerak dan ‘mengejar’ Bumi. Ketika itu, saiznya akan kelihatan semakin besar (kerana ia semakin hampir), dan fasanya mula kelihatan seperti Bulan yang hampir penuh atau Gibbous phase. 

Kemudian ia akan berada pada kedudukan Greatest Elongation. Ketika ini ia akan nampak seperti ‘bulan separuh’. Fasa ini juga popular dipanggil sebagai dichotomy. Seperkara yang menarik di sini ialah, disebabkan Zuhrah mempunyai lapisan awan yang tebal, cahaya matahari diserakkan dengan banyak di kawasan sempadan siang dan malamnya. Hasilnya ialah agak susah untuk kita betul-betul kenalpasti tarikh yang tepat ketika Zuhrah betul-betul kelihatan 50% siang dan 50% malam!

Selepas dari kedudukan tadi, ia akan mula kelihatan menghampiri Bumi dengan kadar yang cepat. Dari sudut pandangan kita di Bumi, planet ini mula kelihatan semakin rendah di ufuk barat dari hari ke hari. Menerusi teleskop (dan jika mata kita tajam, binokular pun boleh), Zuhrah akan mula berbentuk seperti  ‘bulan sabit’.

Kemuncaknya nanti ialah ketika Zuhrah berada betul-betul sederet dengan matahari. Kedudukan ini dipanggil sebagai Inferior Conjunction. Pada waktu ini, ia akan kelihatan seperti ‘bulan sabit’ yang sangat nipis! Ada tahun-tahun tertentu, di mana ia akan berada tepat di antara kita dan matahari, dan dapat dilihat melintasi di hadapan matahari seperti satu bulatan hitam pekat. Fenomena ini dipanggil sebagai transit Zuhrah, yang mana kali terakhir berlaku pada tahun 2012.

Laporan dan gambar cerapan transit Zuhrah 2012 boleh dilihat di sini.

Kali ini, tidak akan berlaku transit. Pada 26 Mac 2017, jam 12.36 AM (waktu Malaysia), itulah saat ia berada paling hampir dengan matahari. Jarak Zuhrah-Matahari dipisahkan sejauh 8 darjah 16 minit. Pada waktu ini, adalah mustahil untuk dilihat dengan mata kasar.

Selepas daripada tarikh dan waktu tersebut, ia akan kembali menjarakkan diri daripada Matahari dan fasanya kembali ‘membesar’.


Kenangan 2015

 

Fenomena menjelangnya Inferior conjunction ini telah saya ikuti dengan agak lengkap pada tahun 2015 yang lalu.

Pada waktu itu, tarikh berlakunya fenomena tersebut ialah pada 15 Ogos 2015, jam 7.33 pm. Disebabkan kedudukan Zuhrah yang amat hampir dengan matahari, cerapan secara ‘manual’ sungguh berbahaya! Kaedah yang saya gunakan ialah menggunakan bantuan perisian komputer dan teleskop jenis GoTo, yang membolehkan saya menghalakan ke arah posisi yang tepat dengan selamatnya.

Malah, saya langsung tidak melihat menerusi teleskop. Saya hanya memasang kamera dan memerhatikannya menerusi skrin komputer.

Fasa Zuhrah yang semakin nipis setiap hari berjaya dirakam menjelang inferior conjunction yang berlaku pada tahun 2014. @Shahrin Ahmad

Foto di atas merupakan rakaman pada 3 hari yang berlainan yang berlaku pada tahun 2014. Kita dapat perhatikan perubahan fasa sabitnya yang semakin halus.

Koleksi lengkap astrofoto Zuhrah ini dapat dicapai menerusi laman Flickr saya.

Pada tarikh kemuncak 15 Ogos 2015 tersebut, kebetulan pula saya mempunyai program di Kuala Rompin, maka terpaksalah ‘mengangkut’ segala peralatan cerapan saya dari rumah ke sana! Alhamdulillah cuaca di lokasi ini pun panas dan terang.

Lokasi cerapan ad-hoc di Kuala Rompin, pada pagi 11 Jan 2014.

Imej Zuhrah ketika rakaman sedang dilakukan di Kuala Rompin.

Akhirnya berjaya merakam juga Zuhrah pada posisi yang paling hampir dengan Matahari, iaitu 7 darjah 50 minit

9 jam sebelum waktu puncak Inferior Conjunction. Rakaman dari Kuala Rompin. @Shahrin Ahmad

Seperti mana yang dikatakan sebelum ini, lapisan awan tebal di Zuhrah akan menyebabkan cahaya matahari terserak. Kesannya amat jelas ketika fenomena Inferior Conjunction, yang mana kedua-dua puncak hujung ‘sabit’ melangkaui 180 darjah.

Tanduk hujung bentuk sabit planet Zuhrah melangkaui sehingga 207 darjah kesan serakan cahaya matahari oleh lapisan awannya. @Shahrin Ahmad


Cerapan 2017

 

Pada tahun 2017 ini, sekali lagi Zuhrah akan berpusing dan berada dalam posisi Inferior Conjunction. Tarikh berlaku kejadian itu ialah 26 Mac 2017 jam 12.36 AM. Oleh kerana saat ia berlaku ialah tengah malam waktu Malaysia, kita hanya dapat melihat paling hampir 6-7 jam sebelum atau selepas ia berlaku.

Buat masa ini, cuaca di Kuala Lumpur sungguh tidak menentu. Apa yang sepatutnya musim panas dan kering pada awal tahun, kini sungguh tidak menentu dan selalu hujan! Ini banyak memberi kesan kepada perancangan saya untuk merakam secara konsisten perubahan fasa Zuhrah menjelang 26 Mac nanti.

Perubahan bentuk fasa Zuhrah sejak bulan Oktober 2015 lepas hingga Feb 2017. @Shahrin Ahmad

Namun, masih ada data yang mencukupi untuk dijadikan rekod (seperti foto di atas).

Rakaman pada 6 Mac 2017. @Shahrin Ahmad

Bersyukur juga rasanya apabila beberapa laman web Astronomi luar negara telah memaparkan astrofoto Zuhrah yang saya rakamkan. Ia boleh dilihat di sini, sini, sini dan sini.

Sebagai rujukan, Zuhrah nanti akan berada 8 darjah 16 minit daripada matahari dan bersinar pada kadar 1%.

Sama-sama kita doakan agar cuaca semakin baik menjelang tarikh tersebut.

Tarikh-tarikh penting menjelang Inferior Conjunction Zuhrah ini telah saya masukkan ke dalam Almanak Astronomi 2017 versi Google Calendar.

Wallahua’lam.

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

  • Ibnu Ibrahim

    Assalammualaikum tuan,saya adalah salah seorang yang menghadiri ceramah tuan dimasjid At Taqwa Pekan…amat terasa betapa kerdilnya saya sebagai manusia…ciptaan Allah seperti yang tuan tunjukkan amat2 hebat…kini saya sentiasa memandang ke langit dimasa kelapangan,menikmati keindahan alam ciptaan Allah,agar saya dapat memuhasabah diri saya…terima kasih tuan.Semoga Allah memberi kekuatan berterusan kepada tuan,dalam menyampaikan dakwah dengan cara yang istimewa ini…Allahuakbar…Assalammualaikum..

    • shahgazer

      MasyaAllah, Tabarakallah. Ilmu saya teramat sedikit sebenarnya. Sekadar menyampai apa yang mampu diizinkanNya.

      Alhamdulillah , semoga tuan diberikan kekuatan untuk teruskan mendongak ke langit!