4 komet yang bertaburan di waktu Subuh

Komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak oleh @fomalhaut_nifty

4 buah komet sedang melintasi langit di sekitar waktu Subuh sekarang ini. Berdasarkan laporan daripada COBS, kesemua 4 komet itu berada di atas kecerahan magnitud 10. Ini bermakna ia mudah untuk dirakam dan ada di antaranya sudah boleh dilihat dengan mudah menerusi binokular.

Jom kita lihat satu per satu.


Komet C/2015 ER61 ( PanSTARRS )

 

Komet ini telah mengejutkan ramai orang. Sangkaan awal menunjukkan pada ketika ini ia sepatutnya masih berlegar-legar di dalam magnitud 8, tetapi pada 3,4 hari lepas ia menunjukkan peningkatan yang mendadak menjadi magnitud 6.5!

Komet ini berada di langit sebelah selatan , di sekitar buruj Capricornus. Nak senang cerita ia berada di sebelah ‘kiri’ dari kawasan Bima Sakti terang di Scorpius dan Sagittarius.

Awal Subuh tadi, saya mengambil peluang merakam komet ini, dan memang jelas mendapati ia begitu terang dan mudah dilihat, walaupun dengan waktu dedahan kamera CCD selama 10 saat sahaja!

 

Foto dirakam pada jam 6.30 pagi, 7 April 2017 oleh penulis.

Graf kecerahan Komet C/2015 ER61. Sumber COBS

Rakaman oleh penggiat astronomi amatur dunia juga sungguh mengujakan.

Kedudukan Komet C/2015 ER61 sehingga 16 April 2017. Sumber Cartes du Ciel

Peta di atas menunjukkan kedudukan komet tersebut sehingga 16 April 2017 nanti. Ia masih berlegar-legar di sekitar buruj Capricorn.

Buat masa ini, komet C/2015 ER61 ini boleh dilihat dengan mudah menggunakan binokular.


Komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak

 

Komet ini juga dikatakan sedang berlaku peningkatan kecerahan mendadak. Pada bulan Mac dan April ini, ia melintasi hampir dengan Bumi, pada jarak 0.14 AU ( 1 AU bersamaan 149,597,870.700 km)

Laporan di COBS menunjukkan ia berlegar-legar di tahap kecerahan magnitu 6-7.

 

 

Graf kecerahan komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak. Sumber COBS

 

Kedudukan Komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak pada jam 4 pagi. Peta janaan Cartes du Ciel

Di manakah komet ini sekarang? Ia berada rendah di ufuk utara berhampiran dengan buruj Biduk atau Ursa Major). Ia akan melintasi masuk ke kawasan buruj Draco.

Waktu yang baik untuk mencarinya ialah pada jam 4 pagi, ketika ia berada pada kedudukan paling tinggi di atas ufuk.


Komet C/2017 E4 ( Lovejoy )

 

Komet C/2017 E4 (Lovejoy) pula berada rendah di ufuk timur, selepas Subuh. Kedudukannya sekarang semakin rendah, tetapi ia semakin cerah.

Ia bersinar pada magnitud 6.5 dan dilaporkan juga sedang berlaku peningkatan mendadak dari segi kecerahannya.

Graf kecerahan Komet C/2017 E4 ( Lovejoy ) sumber COBS

 

Kedudukan Komet C/2017 E4 ( Lovejoy ) sehingga 16 April 2017. Peta janaan Cartes du Ciel

Anda perlukan kawasan ufuk timur yang luas dan tidak terhalang untuk cuba mengejar komet ini!


Komet C/2015 V2 ( Johnson )

 

Akhir sekali ialah Komet Jonhson. Saya telah pun menulis pada awal tahun ini mengenai prospek yang baik untuk kita melihat komet ini. Siapalah sangka 3 komet di atas sudah ‘mencuri tumpuan’ daripadanya!

Buat masa ini, komet ini ada konsisten kecerahannya, mengikut apa yang diramal. Ia bersinar pada magnitud 8.

Graf kecerahan Komet C/2015 V2 ( Johnson ). Sumber COBS

Kedudukannya sekarang berada di kawasan buruj Hercules. Sedikit atas dari kedudukan Komet 41P/Tuttle-Giacobini-Kresak tadi.

Kedudukan Komet C/2015 V2 ( Johnson ). Peta janaan Cartes du Ciel

Waktu terbaik untuk mencarinya ialah sekitar jam 4 pagi ketika ia berada pada ketinggian paling maksimum.


Adakah komet-komet ini boleh dilihat dengan mata kasar?

 

Tidak. Walaupun kecerahan 3 daripada 4 komet di atas berada di sekitar magnitud 6, ia masih terlalu kelam untuk ‘lihat dengan mudah’ menggunakan mata kasar.

Anda perlu sekurang-kurangnya menggunakan sebuah binokular, dan mempunyai pengetahuan untuk membaca peta bintang dan mencari kedudukan sebenarnya.

Saya jangkaan kamera DSLR dan lens 50mm boleh dapat merakamnya. Saya belum mencubanya lagi tetapi berdasarkan pengalaman komet-komet terdahulu, ia tidak mustahil boleh dirakam dengan mudah tanpa teleskop.

Wallahua’lam.


Rujukan lain

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar