Maharaja planet Musytari kembali!

Fenomena Himpunan Samawi
Musytari kini sedang bersinar terang di langit timur selepas Isya’. Foto oleh Shahrin Ahmad

Pejam celik pejam celik dah masuk bulan April. Planet-planet yang pada awal tahun hari itu, iaitu Zuhrah dan Marikh, yang menguasai langit senja selepas Maghrib, sudah pun menghilangkan diri. Buat beberapa ketika, langit senja kita ini kosong tanpa planet yang cerah.

Tapi ia bakal berubah!

Musytari, planet terbesar di dalam sistem suria ini, sudah mula menampakkan dirinya sekitar waktu Isya’. Lebih menarik lagi ialah, pada 8 April ini, ia akan kembali ke posisi istiqbalnya, iaitu kedudukan yang tepat bersetentang dengan arah daripada matahari. Maknanya, ia akan terbit pada waktu Maghrib.

Kedudukan Musytari dan bintang Spica selepas Isya’. Simulasi Sky Safari 5

Jika anda sentiasa mengikut pos-pos fenomena langit yang diwar-war dalam page facebook FalakOnline, sudah pasti anda sudah boleh mengagak kedudukan planet ini sekarang.

Ia berada di dalam kawasan buruj Virgo, bersebelahan dengan sebuah bintang putih bernama Spica. Jika anda melihatnya pada waktu Isya sekarang, Musytari paling cerah di sebelah kiri dan Spica berada di bawah kanannya. Menerusi teleskop, planet ini akan menunjukkan beberapa ciri yang sungguh menarik untuk diamati.


4 bulan

 

Musytari dikelilingi oleh 65 buah satelit semulajadi (bulan). Di antaranya, hanya 4 sahaja yang amat terang dan begitu mudah dapat dilihat dengan teleskop. Bulan-bulan itu ialah Io, Europa, Ganymede dan Callisto.

Animated GIF  - Find & Share on GIPHY

 

Keempat-empat bulan ini nampak seperti bergerak di dalam satu garisan, muncul samada di sebalah timur atau barat Musytari. Hakikatnya, kita sedang melihat bulan-bulan ini dari sudut yang mendatar atau dari ‘tepi’. Pernah saya dapat lihat sendiri bagaimana bulan-bulan ini berubah kedudukan dengan pantas, dalam masa kurang 5 atau 10 minit kita sudah boleh nampak perubahan posisinya.


Belang awan

 

Musytari dipenuhi dengan belang dan jalur awan, malah ia sendiri merupakan sebuah pengumpulan gas-gas berbentuk sfera. Ia begitu besar hinggakan sampai hari ini kita masih tidak tahu bagaimana keadaan terasnya, samada masih berbentuk gas, cecair atau pepejal. Hakikatnya, apa yang kita lihat menerusi teleskop ataupun gambar-gambar yang dirakam oleh kapal angkasa, ialah formasi pergerakan awan-awan yang membentuk belang-belang dan pusaran yang sungguh kompleks.

Di antara belang awan ini, ada dua yang agak gelap dan mudah dilihat menerusi teleskop. Belang ini dipanggil The North Equatorial Belt dan South Equatorial Belt. Saya agak kagum kerana walaupun menggunakan teleskop yang kecil, seperti sebuah teleskop refractor bersaiz 60-70mm, saya sudah boleh lihat ‘kesan’ belang ini dengan agak jelas.

Foto di atas menandakan beberapa siri belang atau jalur awan yang boleh dilihat selain daripada 2 belang disebut tadi. Ada banyak lagi jalur dan belang lain rupanya dan ia boleh dilihat dan dirakam menggunakan teleskop yang sederhana besar sahaja.


Great Red Spot

Di antara pusaran awan yang ada di atmosfera Musytari, ada satu yang sungguh besar dan dikenali sebagai The Great Red Spot (GRS). Ketika ia dlihat kali pertama menerusi teleskop Galileo lebih 400 tahun dahulu, saiznya boleh memuatkan 3 buah planet Bumi! Peliknya, sekarang ia semakin kecil dan hanya boleh memuatkan 1 atau 2 buah bumi sahaja.

Warna asalnya pun bertukar daripada merah kepada coklat kemerahan.

Perubahan warna dan bentuk ini merupakan antara perkara misteri yang kita masih belum betul-betul faham, apakah yang sebenarnya berlaku di dalam ‘perut’ Musytari ini.

Foto oleh Shahrin Ahmad. Sumber.

Foto di atas dirakam oleh saya pada 20 Jan 2017 lepas. Kebetulan pada watu rakaman tersebut, GRS sedang melintasi di hadapan Musytari.

Sebelum terlupa, jangka waktu Musytari berputar atas paksi amat cepat, iaitu hampir 10 jam sahaja (berbanding Bumi ~24 jam). Maka kesannya, dalam masa beberapa minit sahaja pun kita sudah dapat lihat perubahan kedudukan GRS itu.


Menerui lensa kamera

Disebabkan Musytari kini sudah tinggi ‘melangit’ sepanjang malam, ia merupakan target astrofotografi popular di kalangan ahli astronomi amatur dunia.

Kita semua perlua faham di sini, rupa bentuk Musytari yang dirakam menerusi kamera, tidak sama dengan apa yang dapat dilihat dengan mata. Cara bagaimana kamera merakam warna, serta cara memproses imej itu akan menampakkan ciri-ciri awan Musytari jauh lebih jelas berbanding mata kita.

Pada 3 April 2017 lepas, saya mencerap Musytari dan mendapati suasana langit di sekitar rumah saya ini agak stabil. Dalam istilah yang digunapakai dalam astronomi, ia dipanggil seeing atau kenampakan. Suasana sebegini amat jarang berlaku dan masa yang amat bagus untuk merakam planet-planet.

Foto di atas ialah hasil rakaman tersebut. Jika kita perhatikan betul-betul, 3 buah bulannya, berada pada penjuru atas kanan foto berkenaan.

Menerusi tangan otai fotografi dunia, Damien Peach, Musytari ‘meletop’ dengan penuh cantik sekali (foto bawah). Lihat sahaja betapa jelasnya rakaman yang dibuat. Bukan sahaja belang-belang awan itu jelas, malah sampaikan kita boleh lihat bebarapa tompokan di atas permukaan bulan-bulan Musytari itu sendiri!  😯

Jadi, jangan lepaskan peluang menggunakan mana-mana teleskop yang ada, dan halakannya ke arah raja planet Musytari ini!

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments