Peluang melihat juraian meteor Lyrids pada 23 April 2017

Simulasi laluan habud dan debu Komet Tatcher yang menghasilkan meteor Lyrids. Sumber.

Juraian meteor Lyrids kembali menjelma untuk tahun 2017 ini!

Setiap tahun bermula pada tarikh 16 hingga 25 April, Bumi akan memasuki kawasan habuk dan debu yang padat di angkasa lepas. Hasilnya ialah pada malam-malam tersebut, bilangan meteor akan kelihatan lebih banyak dari biasa.


Meteor Lyrids.

 

Meteor Lyrids mengambil nama sempena kawasan buruj di langit, di mana meteor-meteor ini akan kelihatan ‘mula muncul’. Titik kemunculan ini dipanggil radian, dan ia berada di dalam sebuah buruj kecil tetapi mudah dikenalpasti, iaitu buruj Lyra.

Buruj Lyra ini berada di kawasan langit sebelah utara.


Bilakah waktu yang sesuai untuk mencerapnya?

 

Sebagaimana kesemua meteor yang muncul di langit, Lyrids akan lebih mudah dilihat bermula daripada waktu tengah malam hinggalah ke Subuh. International Meteor Organization (IMO) melaporkan waktu puncaknya ialah pada jam 17:00 UTC 22 April 2017, iaitu bersamaan 1 pagi 23 April 2017 di Malaysia [1][3].

Ini menjadikan untuk tahun ini, Malaysia akan berpeluang cerah melihat jumlah meteor Lyrids dengan banyak.


Bilangan meteor

 

Berdasarkan rekod pemerhatian sebelum ini, jumlah meteor Lyrids adalah sekitar 10 hingga 20 meteor setiap jam. Nilai ini banyak juga bergantung kepada keadaan cuaca, langit persekitaran dan juga lokasi geografi pencerap. Di Malaysia, disebabkan buruj Lyra ini hanya mencapai ketinggian maksimum sekitar 60 darjah, maka bilangannya akan sedikit kurang berbanding tadi.

Komposit foto-foto juraian meteor Lyrids (dan bukan Lyrids) yang dirakam dari New Mexico pada tahun 2012. Kredit NASA/ MSFC/ Danielle Moser.


Adakah Cahaya Bulan akan mengganggu?

 

Bulan akan terbit sekitar jam 4 pagi (3 pagi di Sabah). Hasilnya ialah kita akan mempunyai ruang waktu cerapan yang agak lama, bermula dari tengah malam. Malah, apabila Bulan sudah terbit pun cahayanya tidak akan mengganggu cerapan kita itu nanti.

Bulan akan berumur 25.6 hari, dalam fasa sabit tua.

Arah meteor-meteor Lyrids yang akan muncul di langit, Semuakan akan kelihatan bermula dari kawasan berhampiran buruj Lyra. Simulasi ini ialah pada jam 5 pagi (4 pagi Sabah) 23 April 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro


Asal-usul meteor Lyrids

 

Lyrids merupakan habuk dan debu peninggalan Komet Tatcher (C/1861 G1). Ia merupakan sebuah komet yang mengorbit matahari setiap 415 tahun. Kalu terakhir komet ini berada di posisi perihelion ialah tahun 1861 [1].

Meteor Lyrids ini juga terkenal dengan perangainya yang kadang-kala muncul lebih banyak dari biasa (outburst). Sebagai contoh pada tahun 1982, dilaporkan sehingga 100 meteor Lyrids yang kelihatan dalam waktu sejam! [4]

Meramal bilakah outburst seterusnya berlaku agak sukar. Ahli astronomi menjangkakan ia akan berlaku samada pada tahun 2040 atau 2041 [1].


Apakah cara terbaik untuk melihat dan merakam meteor Lyrids?

 

Saya telah sediakan sebuah artikel umum mengenai meteor bertajuk “Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu”. Ia merupakan artikel panduan umum yang boleh digunapakai untuk semua juraian meteor yang berlaku sepanjang tahun.

Selamat mencerap!


Rujukan

 

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar