Resipi terakhir untuk membolehkan kehidupan wujud telah ditemui di Enceladus!

Ilustrasi ini menunjukkan saat apabila Cassini bergerak menembusi pancuran kepulan wap air yang keluar daripada bawah permukaan Enceladus pada tahun 2015. Kredit: NASA/JPL-Caltech

Sejarah telah terukir! Buat pertama kalinya kita telah menemui unsur hidrogen di dalam kepulan-kepulan ‘gas’ yang kelihatan muncul daripada bawah permukaan Enceladus, salah sebuah bulan planet Zuhal!

Penemuan ini merupakan milestone penting di dalam usaha mencari kehidupan di luar Bumi, kerana dengan wujudnya unsur hidrogen ini, lautan bawah tanah di Enceladus ini mempunyai sumber haba alternatif yang boleh menghangatkan suasana persekitaran bawah tanah ini, dan menyediakan satu ‘resipi’ kehidupan yang sesuai seperti mikrobs, untuk hidup.

Menurut tulisan Fraser Cain di Universetoday.com, kita sudah lama mengetahui kewujudan kepulan seperti geyser, yang ditemui oleh prob angkasa Cassini yang sedang mengorbit Zuhal, tetapi unsur hidrogen ini tidak pernah ditemui sehinggalah sekarang!

Foto yang dirakam oleh Cassini, menunjukkan jalur-jalur yang digelar sebagai ‘tiger stripe’, iaitu rekahan di permukaan Enceladus. Di kawasan inilah semburan seperti geyser dilihat hasil daripada proses hidroterma di dalam lautan bawah tanahnya. Kredits: NASA/JPL-Caltech/Space Science Institute

Saintis telah merumuskan bahawa untuk kehidupan ‘hidup’, ia perlukan 3 perkara, air, unsur kimia yang betul dan tenaga. Enceladus telah memenuhi dua syarat yang (air dan unsur kimia), kini ia telah memenuhi syarat ketiga, iaitu sumber tenaga.

Penemuan ini sungguh mengujakan. Kita tahu di Bumi, terdapat banyak lubang-lubang hidroterma yang jauh berada di dasar laut, yang telah memberi haba dan tenaga kepada begitu banyak kehidupan seperti bakteria. Kewujudan bakteria ini membetuk ‘rantai makanan’ asas bagi haiwan seperti cacing tiub dan udang. Kawasan bawah laut ini tidak menerima cahaya matahari langsung dan sentiasa berada dalam gelap gelita.

Berasaskan itu, saintis berkata besar kemungkinan persekitaran yang sama wujud di dalam lautan bawah tanah di Enceladus!

Grafik ini menunjukkan bagaimana saintis misi Cassini menggambarkan interaksi antara air dan batu-batan di bawah permukaan lautan yang menghasilkan gas hidrogen yang ditemui ini. Kredit: NASA/JPL-Caltech

 

Jurutera Cassini telah membawa prob angkasa ini memasuki ke dalam kawasan kepulan gas ini. Hasil interaksi gas ini dengan sebuah alat bernama  Ion and Neutral Mass Spectrometer (INMS), menunjukkan kesan pembentukan hidrogen yang sama seperti proses hidroterma di dalam permukaan laut Enceladus.

Artikel di laman Newscentist ini ada menerang sikit bab ini.

Terus terang, saya memang teringin dengar ulasan daripada pakar biologi dan kimia dalam hal ini. Ini bukan subjek Astronomi semata-mata, tetapi merupakan gabungan sub-bidang yang menarik seperti astrobiologi.

Mungkin saya akan passing baton kepada kumpulan penulis di MajalahSains.com untuk memberi penerangan lebih jelas. Bab kimia dan biologi ini saya tergagap-gagap sikit nak terangkan. 🙂

Permukaan Enceladus dari jarak yang amat dekat, hasil cerapan prob angkasa Cassini pada tahun 2015. Sumber.


Ada kehidupan ke?

Sedikit penjelasan perlu dibuat di sini. Penemuan bersejarah ini memang sungguh menarik kerana ia menunjukkan persekitaran di Enceladus ‘membolehkan’ kehidupan untuk hidup. Tapi ia masih TIDAK MEMBUKTIKAN ADA WUJUD KEHIDUPAN di sana!

Selalu dalam bab ini, orang ramai suka buat cerita dan mengulas di luar konteks penemuan ini. Kita masih belum ada bukti tersebut, walaupun sebesar mikrob dan kuman pun kita belum jumpa lagi di luar daripada Bumi.

Artikel asal kajian ini boleh dirujuk di sini. Saya galakkan kita semua baca dan cuba faham.

Bumi ini masih lagi istimewa dan dicipta khas untuk makhluk yang berakal seperti manusia untuk hidup.

Walau bagaimana pun, kita seharusnya jangan berpuas hati di dengan apa yang ada di Bumi sahaja. Alam ini luas, langit dan bumi sering disebut dalam Al-Quran berulang kali. Jumpa atau tidak kehidupan ‘lain’ itu soalan kedua, Yang penting ialah semakin banyak kita belajar, semakin banyak pengetahuan kita, semakin tawaduklah kita dan semakin bertambahlah iman kita. Pusing macam mana ni, alam ini dicipta untuk diperlihatkan kekuasaan Allah SWT!

Ayuh kita pandang ke langit!


Rujukan

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar