Sebuah supernova sedang meletup 22 juta tahun cahaya dari Bumi!

Berita Penemuan Terkini
Supernova AT 2-17 eaw yang ditanda dengan garisan merah, berjaya dirakam oleh Gianluca Masi (The Virtual Telescope Project) dan Michael Schwartz (Tenagra Observatories Ltd)

Sebuah supernova sedang meletus dan kini boleh dilihat dan dirakam menerusi teleskop.

Supernova yang diberi nama AT 2017 eaw terletak di kawasan langit utara, dalam kawasan buruj Cygnus. Ia ditemui oleh seorang ahli astronomi amatur dari Utah, Patrik Wiggings, menerusi foto yang dirakamnya pada Mei 14.24 UT (atau lebih kurang 14 Mei 2 petang waktu Malaysia). 

Supernova ini dipercayai bukan meletup di dalam galaksi Bima Sakti, tetapi ia berlaku di dalam galaksi NGC 6946 atau lebih popular dikenali sebagai The Firework Galaxy.

Walaupun ia ‘baru’ sahaja ditemui beberapa hari lepas, hakikatnya bintang ini sudah pun meletup hampir 22 juta tahun dahulu (iaitu jarak galaksi NGC 6946 dari Bumi)!

Menurut laporan dari laman web David Bishop, ketika ini tahap kecerahan supernova ini ialah sekitar magnitud 12.6

Berdasarkan pengalaman saya, ini cukup cerah untuk dirakam, walaupun dari langit sekitar Kuala Lumpur.

Gianluca Masi, pemilik The Virtual Telescope Project, telah merakam keadaan galaksi ini, sebelum dan selepas supernova AT 2017 eaw ini meletup. (Jika animated gif ini tidak berfungsi, sila klik terus pada gambar ini)

Dua imej galaksi yang dirakam pada hari yang berlainan, Foto oleh Gianluca Masi.

Lokasi di langit Malaysia dan Asia Tenggara.

 

Supernova AT 2017 eaw berada di dalam galaksi NGC  6946 di dalam buruj Cygnus.

Koordinatnya ialah R.A. 20h 34m 52.67s, DEC +60º 09′ 14.0″ (Epoch 2000.0).

Ia akan terbit sekitar jam 12.30 tengah malam (11.30 pm Sabah). Namun, disebabkan kedudukannya rendah di sebelah utara (Sudut deklinasinya +60º), maka pada titik paling tinggi pun ia hanya akan berada lebih kurang 30-36 darjah sahaja dari ufuk utara.

Hasil pengamatan menerusi Sky Safari 5  Pro menunjukkan waktu paling optimum ialah sekitar menjelang waktu Subuh.

Kedudukan NGC 6946 pada jam 5.30 pagi di Semenanjung (4.30 pagi Sabah). Simulasi Sky Safari 5 Pro

Cerapan dan rakaman

Anda perlukan pengetahuan yang tinggi untuk menjejaki galaksi ini. Jika ada teleskop GoTo, lebih baik dan mudah.

Pada kecerahan magnitud +12, secara teorinya ia boleh dilihat dengan mudah menggunakan teleskop kecil bersaiz 6 inci, tetapi jangan anggap ia ‘mudah’ dilihat secara terus. Pengamatan yang teliti perlu untuk membezakan supernova ini dengan bintang-bintang lain yang berada di sekelilingnya.

Ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Ia tidak boleh dilihat dengan Binokular.

Jika anda mempunyai kamera DSLR atau CCD, ia perlu dipasang pada teleskop yang mempunyai panjang fokal (F) yang agak tinggi.

FOV kamera Canon 5Dmkii dipasang pada teleskop F=900mm

 

Perangai supernova ini ialah dalam masa beberapa hari ia akan mula pudar dan hilang dari pandangan. Jadi, kita hanya mempunyai masa yang singkat untuk mencerapnya!

Selamat memburu supernova!


Rujukan

0 0 votes
Article Rating
2 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Belang Tarung

maknanya meletup 22 juta tahun dahulu ?..