Giliran Zuhal pula bersetentang dengan Matahari pada 15 Jun 2017

Samada kita sedar atau tidak, kini tiba giliran planet Zuhal pula untuk berada di posisi istiqbal atau bersetentang dengan matahari.

Pada 15 Jun 2017 nanti, planet bergelang ini akan terbit sebaik sahaja matahari terbenam di barat. Ia akan dapat dilihat sepanjang malam bermula maghrib hinggalah ke waktu syuruk (matahari terbit).


Apakah yang dimaksudkan dengan istiqbal Zuhal?

 

Fenomena yang akan berlaku terhadap planet Zuhal ini dikenali di dalam bahasa Inggeris sebagai oppositionDi dalam Bahasa Malaysia, ia dikenali sebagai bersetentang, oposisi atau kadang-kala disebut sebagai istiqbal.

Pada ketika ini, jika kita lihat sistem suria dari sudut ‘atas’, kita adakan dapati Matahari, Bumi dan Zuhal berada di dalam satu garisan lurus.

Pada 15 Jun 2017 nanti, Matahari, Bumi dan Zuhal berada pada satu garisan lurus. Zuhal akan berada bersetentang dengan matahari dari sudut pandangan kita di Bumi. Simulasi Sky Safari 5 Pro

 

Dari sudut  pandangan kita di atas permukaan Bumi, kita akan dapati Zuhal dan Matahari berada dalam kawasan langit yang berlawanan arah atau 180 darjah dari satu sama lain. Itulah sebabnya, apabila matahari terbenam di ufuk barat, Zuhal pula terbit di timur.

 

Adakah Zuhal sahaja mengalami fenomena ini?

 

Tidak. Mana-mana planet yang berada di dalam orbit luar daripada orbit Bumi, yakni jauh ke belakang Bumi, akan berada pada kedudukan bersetentang dengan matahari pada waktu-waktu tertentu. Di dalam kes Bumi,  yang terlibat ialah semua planet di belakangnya, iaitu Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune (serta mana-mana objek lain, samada planet kerdil, asteroid atau komet).

Andaikata ada penduduk di planet Zuhrah, mereka akan dapat lihat Bumi kita pula yang berada dalam posisi bersetentang ini (disebabkan orbit Bumi pula yang berada di ‘belakang’ orbit Zuhrah).


Apakah perbezaan yang dapat dilihat pada planet Zuhal pada saat fenomena ini berlaku?

 

Secara amnya, jika kita melihat Zuhal dengan mata kasar, ia masih kelihatan lebih kurang sama dengan apa yang dilihat beberapa bulan sebelum dan selepas istiqbal.

Di langit, dengan mata kasar Zuhal akan kelihatan seperti sebutir bintang yang agak terang tetapi tidaklah kelihatan terang benderangnya Zuhrah atau Musytari, tetapi hanya seperti bintang biasa sahaja. Seseorang perlu tahu susunan bintang-bintang di buruj untuk membezakan planet ini dengan bintang-bintang lain.

Atau lebih mudah lagi, guna aplikasi peta bintang yang boleh dimuat turun di internet.

Ramai yang menganggap jika terlepas tarikh isqtibal itu nanti, kita akan ‘kerugian’ dan terpaksa menunggu ‘bertahun-tahun’ (<– yang ni selalunya ayat viral hoax) untuk melihatnya sekali lagi! Anggapan ini salah sama sekali. Zuhal sentiasa boleh kelihatan di langit sepanjang tahun, kecuali waktu-waktu ia berada terlampau hampir dengan matahari.


Di manakah Zuhal berada sekarang?

 

Zuhal berada di antara buruj Scorpius dan Sagittarius. Secara lebih tepat lagi, ia berada di dalam kawasan sempadan sebuah lagi buruj bernama Ophiuchus.

Pada 15 Jun 2017 nanti, ia akan terbit sebaik sahaja waktu Maghrib. Pada sekitar tengah malam, ia akan berada tegak di atas kepala. Menjelang Subuh ia akan kembali rendah di ufuk sebelah barat.

Kedudukan planet Zuhal sekitar jam 11 malam (10 malam Sabah) pada 15 Jun 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Malah, jika anda pernah merakam Bima Sakti di kawasan buruj Scorpius dan Sagittarius ini sejak beberapa bulan lepas, planet Zuhal ini pasti berada di dalam frame gambar yang sama! Cuba semak kembali foto yang dirakam itu dan bandingkan dengan carta bintang di atas.

Gambar kawasan Bima Sakti di antara buruj Sagittarius dan Scorpius menunjukkan kehadiran planet Zuhal di celah-celah bintang di situ. Foto ini dirakam dari langit Balai Cerap Selangor pada bulan Mei 2017 lepas. @Shahrin Ahmad


Apakah rupa planet Zuhal menerusi teleskop?

 

Tahun ini, gelang planet Zuhal berada pada sudut pandangan paling jelas. Ia terbuka luas dan mudah untuk dilihat walaupun menggunakan teleskop kecil.

Jika menggunakan teleskop yang lebih besar dan berkuasa tinggi, gelang-gelang itu sendiri akan kelihatan berjalur-jalur dan ‘pecah’ menjadi beberapa siri gelang yang diselang-seli dengan garisan hitam.

Planet Zuhal yang dirakam menerusi teleskop Skywatcher 120ED F=1800mm, pada 9 Jun 2017 lepas. @Shahrin Ahmad

Permukaan‘ bentuk planet Zuhal itu sendiri mungkin agak ‘kosong‘ dan sukar untuk melihat sebarang corak jalur-jalur awan (sepertimana planet Musytari).

(Nota: Jangan cuba bandingkan gambar di atas dengan apa yang dilihat menerusi teleskop. Ia akan kelihatan berbeza. Foto di atas ialah apa yang dilihat oleh ‘kamera’, yang jauh lebih sensitif berbanding dengan mata kita)

Warna planet ini pada pandangan mata saya agak kekuningan.

Selain daripada Zuhal, kita juga berpeluang melihat satelit terbesarnya, iaitu Titan. Ia akan kelihatan seperti sebutir bintang kelam dan sentiasa berada hampir dengan Zuhal itu sendiri. Kedudukan Titan ini akan berubah dari hari ke hari. Bulan Titan ini hanya dapat dilihat menerusi teleskop.

Simulasi rupa bentuk Zuhal dan bulannya, Titan, jika dilihat menerusi teleskop berkuasa sederhana. Sumber Stellarium

Selamat mencerap!

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...