Apabila bintang mengenyit mata! Lintasan MU69 berjaya di rakam!

Dalam satu usaha yang menakjubkan, sekumpulan ahli astronomi telah berjaya merakam sebuah objek di angkasa lepas yang melintasi di hadapan sebuah objek bercahaya.

Saya bukannya bercakap mengenai fenomena gerhana matahari. Apa yang nak dikhabarkan di sini ialah bagaimana saintis dari kumpulan New Horizons telah berjaya merakam sebuah objek yang terletak lebih daripada 6.5 bilion km daripada Bumi melintasi sebuah bintang dan menyebabkan cahaya bintang itu ‘terlindung’ buat beberapa seketika!

Perhatikan bintang di tengah-tengah frame gambar ini, ‘hilang’ seketika kesan lintasan objek 2014 MU69. Fenomena ini dipanggil sebagai penghijaban atau occultation. Kredit NASA/JHUAPL/SwRI

 

Ini merupakan satu usaha pengiraan matematik berkejituan tinggi yang amat menakjubkan. Beberapa sebuah teleskop yang dipasang di beberapa lokasi strategik di Argentina, telah berada tepat di laluan lintasan ‘bayang-bayang’ objek yang bernama MU69.

Ya, jika ada yang ingat, MU69 ialah sebuah objek kecil di dalam kawasan Lingkaran Kuiper, yang akan dilintasi oleh prob angkasa New Horizons.

New Horizons ialah sebuah prob yang dilancarkan oleh NASA pada tahun 2005 untuk merakam dan mengkaji planet kerdil Pluto, pada jarak dekat. Ia melintasi Pluto pada bulan Julai 2015 lepas dan selepas itu ia meluncur laju terus ke hadapan dan dijangka akan melintasi MU69 pada 1 Januari 2019 nanti!

Disebabkan MU69 terletak amat jauh, walaupun menggunakan kaedah mengambil gambar secara terus menggunakan Teleskop Hubble, para saintis masih tidak berupaya mengira bentuk dan saiznya.

Oleh itu, apabila pengiraan dibuat, didapati MU69 akan melintasi sebuah bintang pada 17 Julai, 12.50 am waktu tempatan di sebuah kawasan bernama Chubut dan Santa Cruz di Argentina. Fenomena lintasan ini dipanggil sebagai occultation atau penghijaban. Ia seumpama gerhana matahari juga dan menerusi kaedah ini, kita boleh mengira dengan agak tepat bentuk dan saiz objek yang secara amnya tidak dapat dilihat dan dikaji secara terus. Pengurangan cahaya bintang itu akan memberi data secara tidak langsung mengenai ciri-ciri fizikal objek ini.

Marc Buie, menunjukkan 5 jari, menandakan 5 buah teleskop yang berjaya merakam fenomena lintasan 2014 MU69 di hadapan sebuah bintang. Kredit NASA/JHUAPL/SwRI/Adriana Ocampo

Menurut Marc Buie dari Southweat Research Institute (SwRI) di Boulder, Coronado, daripada 24 buah teleskop yang dipasang dan dikendalikan oleh lenih dari 60 orang pencerap, 5 daripada teleskop itu berjaya merakam secara jelas kejadian itu.

Amanda Zangari, co-investigator dari New Horizons merupakan saintis yang pertama yang mengesan perbezaan cahaya bintang kesan daripada lintasan MU69 tersebut.

MU69 ini, jika berjaya dilawati oleh New Horizons, akan menjadi objek paling jauh yang pernah dilihat dari jarak dekat oleh manusia.

Pengiraan lokasi di mana bayang-bayang MU69 itu akan jatuh merupakan satu usaha yang amat rumit kerana objek ini teramat kelam dan kecil. Saintis terpaksa menggunakan data cerapan oleh Teleskop Hubble dan Gaia untuk mengira lokasi tepat di negara Argentina itu.

Pemprosesan terhadap data-data ini akan mengambil masa beberapa minggu sebelum apa-apa kesimpulan boleh dibuat. Hasilnya amat penting untuk perancangan flyby yang akan dibuat oleh prob New Horizons pada 1 Januari 2019 nanti.

Menurut Alen Stern, penyiasat utama dari kumpulan New Horizons telah merumuskan “Usaha ini, yang mengambil masa selama 6 bulan, 3 kapal angkasa, 24 buah teleskop di Bumi dan balaicerap udara SOFIA (NASA) merupakan satu usaha mengkaji penghijaban bintang (stellar occultation) yang paling mencabar dalam sejarah astronomi, dan kami berjaya melakukannya!”

Berita lanjut di SINI.

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...