Bulan menghijab Regulus esok! 25 Julai 2017

Sebuah fenomena penghijaban (occultation) menarik tetapi agak mencabar akan berlaku petang esok, 25 Julai 2017Bulan akan menghijab bintang Regulus pada waktu Maghrib di Semenanjung Malaysia (menjelang Isya’ di Sabah).

Berdasarkan kiraan dan simulasi yang dibuat oleh beberapa perisian astronomi sedia ada, dari lokasi Kuala Lumpur, kita akan dapati bintang Regulus, akan ‘hilang dari pandangan’ pada jam 7.48 petang. Ia hilang disebabkan Bulan bergerak di hadapannya dan melindungi dari pandangan kita buat beberapa minit.

Pandangan menerusi teleskop F=420mm dan kamera DSLR full-frame Canon, pada saat terahir sebelum hilangnya bintang Regulus. SImulasi Sky Safari 5 Pro.

Rajah di atas menunjukkan pandangan yang boleh dilihat atau dirakam menerusi sebuah lens atau teleskop yang mempunyai F=420mm, dan kamera DSLR jenis full-frame (Canon). Jika anda menggunakan kamera crop sensor, Bulan akan kelihatan lebih besar.

Cabarannya ialah pada masa ini Bulan berada hanya 20 darjah sahaja daripada atas ufuk. Anda perlukan kawasan langit barat yang bebas dari halangan.

Waktu hilangnya bintang Regulus ini juga berlainan daripada satu bandar ke bandar yang lain.

Saya telah melakukan sedikit pengiraan menggunakan ephemeris janaan astropy, dan berikut merupakan waktu INGRESS, yakni ketika bintang Regulus mula terlindung oleh sisi Bulan. Perbandingan data janaan ini telah saya buat juga dengan Sky Safari 5 Pro dan Cartes du Ciel

Nota: Kiraan ini saya jangkakan masih dalam ralat 1-2 minit. Anda boleh buat siap siaga mungkin beberapa minit sebelum waktu yang tertera.

Kota Kinabalu No occultation
Papar, Sabah No occultation
Kuching Ingress 2017-07-25 19:54:00
Miri No occultation
Bintulu No occultation
Langkawi National Observatory Ingress 2017-07-25 19:49:00
Pusat Falak Sheikh Tahir Ingress 2017-07-25 19:49:00
Ipoh Ingress 2017-07-25 19:49:00
Alor Setar Ingress 2017-07-25 19:50:00
Kangar Ingress 2017-07-25 19:50:00
Balaicerap Selangor Ingress 2017-07-25 19:48:00
Balaicerap Al-Khawarizmi Ingress 2017-07-25 19:48:00
Balaicerap Teluk Kemang Ingress 2017-07-25 19:48:00
Balaicerap UniSZA Ingress 2017-07-25 19:53:00
Balaicerap Planetarium Negara Ingress 2017-07-25 19:48:00
Labuan, WP No occultation
HUSM, Kubang Kerian Ingress 2017-07-25 19:53:00
Teluk Cempedak, Pahang Ingress 2017-07-25 19:50:00
UTM, Skudai Ingress 2017-07-25 19:49:00

Secara amnya, kebanyakan lokasi akan dapat melihat fasa ingress pada lebih kurang 20 minit selepas Maghrib. Langit ketika ini tidaklah seterang ketika terbenam matahari, dan mungkin akan memudahkan sedikit kenampakan bintang Regulus di sisi Bulan itu nanti.

Jika menggunakan mata kasar, mungkin agak mencabar kerana faktor altitud yang rendah memungkinkan ada awan yang mengganggu. Adalah lebih baik guna Binokular atau teleskop.

Untuk rakaman, saya cadangkan guna teleskop yang agak panjang focal lengthnya supaya imej lebih besar dan jelas.

Rakamkan samada bentuk video atau secara bersiri dengan sela masa 1 saat.

Regulus akan kelihatan hilang dengan SERTA-MERTA kerana Bulan tidak mempunyai lapisan atmosfera untuk membiaskan cahayanya. Oleh itu jangan terkejut jika ia tiba-tiba sahaja lenyap!

Video dibawah merupakan satu contoh fenomena occultation yang berjaya saya rakam pada tahun lepas. Ia merupakan sequence beberapa siri gambar yang dirakam menggunakan kamera CCD QHY9. Selalunya untuk fenomena ini, adalah lebih baik merakamnya dalam format video.

 

 

Diharapkan ada yang dapat merakamnya. Semoga berjaya!

Nota: Fenomena ini telah dicatatkan menerusi Almanak Astronomi 2017 FalakOnline.

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar