Jom jejaki Lunar V dan Lunar X di Bulan

Fenomena

Bulan ialah sebuah objek berbentuk sfera yang dipenuhi dengan kawah-kawah, gunung, ngarai, daratan dan batu-batu besar. Permukaannya yang berdekut-dekut itu lebih terserlah apabila kita meneropongnya menerusi alat seperti teleskop yang berkuasa tinggi. Disebabkan permukaannya yang tidak rata, cahaya matahari yang menyinari permukaannya akan menghasilkan bayang-bayang. Bayang-bayang ini akan berubah-ubah berdasarkan kedudukan atau sudut ketinggian matahari di sana.

Kesan daripada bayang-bayang inilah yang menyebabkan kita sering terbayangkan sesuatu, seperti muka orang atau haiwan atau apa-apa objek. Bayangan ini dikenali sebagai pareidolia, iaitu kesan psikologi terhadap minda manusia yang berupaya ‘melihat sesuatu’ walaupun ia tidak wujud.

Dalam skala yang besar (iaitu dengan melihat Bulan secara keseluruhan), mungkin ramai di antara kita ‘mengakui’ pernah melihat muka ‘orang’ di Bulan, atau nampak seperti orang sedang duduk antara dua sujud, atau juga nampak seekor arnab. Kesan pareidolia ini sungguh subjektif dan lain orang akan melihat lain ‘benda’.

Dalam skala yang kecil, iaitu jika kita zoom dekat ke permukaan bulan menggunakan teleskop, kesan bayang-bayang dicelah-celah kawah dan gunung di Bulan, kadangkala akan membentuk seperti huruf-huruj abjad seperti ‘A, B, C ‘ dan seterusnya.

‘Kemunculan’ abjad-abjad ini hanyalah sebentar dan ia benar-benar bergantung kepada tarikh dan waktu yang tepat untuk kita dapat melihatnya dengan jelas. Selalunya, fasa Bulan perlukan ketika ia dalam fasa sukuan atau mana-mana tarikh selain daripada fasa bulan purnama. Ketika itu, kita sedang melihat ‘dari atas’ Bulan ke arah kawasan yang sedang mengalami waktu pagi atau senja di Bulan. Efek pareidolia akan lebih terserlah ketika ini.

Di antara abjad yang paling popular ialah ‘X’ dan ‘V’. Juga dikenali sebagai Lunar X dan Lunar V, kedua-dua bentuk ini akan jelas kelihatan tepat pada waktu Bulan berada dalam fasa Sukuan Pertama.

Untuk artikel ini, fasa sukuan pertama Bulan akan berlaku pada hari ini, 30 Julai 2017 jam 11.23 malam (Waktu Malaysia).

Seperti yang saya sebutkan tadi, waktu yang tepat memainkan peranan yang penting untuk melihat efek ini dengan senang. Jika kita terlewat atau terawal 6 jam daripada saat fasa sukuan pertama itu, sudut matahari akan berubah dan kesan bayang-bayangnya akan menjadi bentuk lain dan menghilangkan huruf X dan V tadi.


Di manakah letaknya Lunar X dan Lunar V?

 

Kedudukan Lunar X dan Lunar V ketika Bulan berumur 7.6 hari iaitu Fasa Sukuan Pertama. Dirakam oleh penulis pada 15 Feb 2016. Sumber.

Lunar X terletak lebih dekat ke sisi selatan Bulan, manakala Lunar V berada hampir di tengah-tengah piring Bulan.

Menerusi Binokular, saya sendiri belum pernah berupaya melihatnya. Anda perlu sekurang-kurang sebuah teleskop yang dapat Bulan dalam keadaan lebih besar dan dekat. Selain itu, adalah mustahil untuk merakamnya menggunakan kamera pada telefon bimbit kerana keupayaan zoom dan resolusi terlampau terhad. Namun ia mungkin dapat dirakam juga jika anda meletakkan kamera telefon bimbit pada teleskop.

Foto-foto di bawah dirakam menerusi teleskop berkuasa agak tinggi dan kamera QHY IMG132e. Ia dirakam pada 24 Jun 2015.

Lunar ‘V’. Sumber

 

Lunar ‘X’. Sumber

 


Bukti Bulan berputar di atas paksinya.

 

Antara salah faham yang sering didengar ialah Bulan tidak berputar. Sebenarnya Bulan berputar di atas paksinya, tetapi waktu putaran siang dan malamnya, SAMA dengan waktu Bulan mengelilingi Bumi. Kesan ini menyebabkan kita sentiasa hanya dapat lihat permukaan bulan yang sama sahaja.

Maka, adakah cara lain untuk kita buktikan Bulan berputar?

Andai kata Bulan ‘tidak berputar’, maknanya kedudukan atau bentuk bayang-bayang di Bulan di kekal sama sampai bila-bila. Tetapi di dalam kes ini ia berubah. Kesan perubahan berlaku kerana sudut matahari di Bulan berubah. Jika sudut matahari di bulan berubah, maknanya ada ketika matahari rendah di langit, tinggi tegak dan rendah kembali…. sama seperti kita di Bumi. Maknanya, Bulan itu sendiri sedang berputar atas paksi kerana ia mengalami siang dan malam di sana.

Sudut matahari yang berbeza menghasilkan panjang bayang-bayang yang berbeza di permukaan Bulan.

Jadi, bagaimanakah cara untuk kita lihat kesan pergerakan matahari di ‘langit bulan’ ini? Satu cara yang paling senang ialah dengan merakam Lunar X dan Lunar V selama 2-3 jam, dengan selang masa sekitar 5 minit setiap gambar. Kemudian, cantumkan gambar-gambar ini menjadi video dan perhatikan sendiri perubahan bayang-bayang itu!  Memang menakjubkan!

Saya telah lakukan eksperimen yang sama (tetapi dengan kawasan kawah yang lain)  pada 6 Feb 2017 lepas. Ia hanya perbandingan 2 foto yang dirakam pada selang masa 2 jam antara satu sama lain. Perhatikan dengan teliti bentuk bayang-bayang yang berubah-ubah itu.

 

 

Rakan pencerap Christian Fröschlin telah menghasilkan rakaman yang jauh lebih baik (bawah).

Jom kita gunakan peluang Bulan yang sedang berada di dalam fasa Sukuan Pertama ini dengan memerhatikan kemunculan Lunar V dan Lunar X.

Semoga sukses !

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments