Mengejar bayangan Bulan di US – Travelog Gerhana Matahari Penuh 2017

Ekspedisi menjejak Gerhana Matahari Penuh yang KELIMA dalam sejarah hidup saya ini telah pun selesai.

Pengembaraan kali ini telah membawa saya ke negara Amerika Syarikat.

Jarak lurus dari Kuala Lumpur ke Oregon ialah 13068 km! Tapi perjalanan ini tidaklah ‘selurus’ yang disangka. Memang betul kata orang, sesebuah pengembaraan bukan sekadar cerita, tetapi membawa 1001 pengalaman yang sungguh berharga.

Sudah lebih seminggu Bulan melintasi Matahari, baru 4-5 hari saya kembali ke tanahair dan dapat merehatkan badan sedikit setelah terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh dan meletihkan. Walaupun jetlag masih menguasai (maklumlah tiba-tiba mata segar terkebil-kebil jam 3-4 pagi), barulah 2-3 hari ini ada tenaga sedikit untuk mencoret sedikit kisah pengembaraan gerhana di negara empayar Donald Trump!

Inilah kisahnya….


Prologue

“Shah, tiket murah!”

Lebih kuranglah begitu bunyinya apabila menerima mesej daripada Prof Madya Dr. Baharuddin, guru Falak tersohor dari UniSZA. Asalnya saya tidak bercadang untuk pergi ke US pun. Perasaan ‘penat’ masih terasa daripada ekspedisi di Palembang yang tidak berjalan selancar seperti yang dirancang.

Lagipun… US tu! Nak duduk sana dengan nilai RM yang rendah, mahu kosnya akan sampai RM10K!

“Aku ni pun pergi kena seluk poket sendiri pun, manalah nak dapat sponsor”

Tetapi jeritan mesej Cikgu Bahar terus terngiang-ngiang dalam kepala. Hati tiba-tiba rasa gundah gelisah. Saya pun membelek-belek apps Trivago, Wego dan laman web Cheapoair.

Hmmm.. memang betul lah. Ada harga sekitar RM3800/- sahaja untuk ke US.

“Menarik ni!”

Jika dapat kekal bajet bawah 7K, InsyaAllah masih ‘mampu’ nak ke sana.

Nak dipendekkan cerita, setelah berbalas-balas idea dan perbincangan, akhirnya persetujuan telah dicapai. 5 orang termasuk saya akan memulakan langkah pertama ke trip Gerhana US kali ini.


Merata mereka datang…

Ahli kumpulan yang pergi ini terdiri daripada Prof. Madya Dr. Baharrudin dari UniSZA, Prof Dr. Rowi dari Kelab Astronomi Kelantan dan doktor pakar di KBMC, Ustaz Ahmad Irfan dari UMP, Ustaz Awangku Bolkhizan yang bertugas bahagian Falak JMWP Labuan, dan saya sendiri.

Di antara ramai-ramai ni, Dr. Rowi lah yang paling kerap saya ikuti sekali dalam ekspedisi gerhana. Rasanya dah 3 kali dah.

Mereka semua adalah pakar dalam bidang masing-masing. Cikgu Bahar siapalah yang tak kenal, guru Falak sejak zaman KUSZA lagi. Dr. Rowi pakar bius dan pakar astrofoto yang juga antara tokoh terawal membina balai cerap sendiri di rumah. Ustaz Irfan sekarang sedang melanjutkan PhDnya, dan mengkaji hadith-hadith berkaitan Falak, Ustaz Awang yang juga merupakan pemegang rekod pencerap hilal termuda di Malaysia.

Semua hebat-hebat belaka! Saya sekadar menumpang payung je.. ūüôā


Lokasi lokasi.. mana satu ni?

Garisan hitam menandakan di mana Gerhana Matahari Penuh akan berlaku.

Gerhana Matahari kali ini merentasi dari pantai barat ke pantai timur negara Amerika. Ini bermakna, tidak akan ada masalah untuk memilih lokasi yang terbaik untuk cerapan…. kot…

Artikel gerhana di laman-laman web luar negara banyak memberi panduan khusus mengenai lokasi terbaik, berdasarkan waktu gerhana dan cuaca. Namun, di antara poin yang sering diulang-ulang ialah jangkaan akan berlakunya kesesakan jalanraya yang luar biasa di sepanjang laluan lebuh raya yang merentasi negara ini.

Aikkk.. highway pun boleh jem? pelik!

Faktor cuaca pun agak penting. Menurut pakar-pakar cuaca di sana, kawasan di sebelah barat US, seperti di Oregon, Idaho dan Wyoming diramalkan berpotensi mengalami cuaca baik pada hari gerhana. Manakala negeri-negeri di sebelah tengah dan timur US, cuaca dikatakan tidak baik.

Ramalan keadaan cuaca dan awan pada hari gerhana.

Keputusan pun dibuat untuk mencerap di Oregon, di pekan kecil yang bernama Madras. Ia merupakan di antara lokasi laluan yang paling hampir dengan titik tengah gerhana ini nanti.

Titik tengah

Lebar bayang-bayang Bulan yang jatuh ke permukaan Bumi ialah 112km. Ini bermakna garisan tengahnya ialah pada titik 56 km. Sesiapa yang berada di titik tengah ini akan mengalami durasi gerhana yang paling lama untuk satu-satu kawasan. Durasi gerhana juga berbeza dari longlitud. Semakin ke timur, seseorang itu akan dapat menikmati durasi lebih lama berbanding mereka di barat.

Oregon berada di barat US, maka durasinya ialah sekitar 2 minit sahaja.


4 hari sebelum Totality

Langkah kanan.

Perjalanan bermula menjelang tengah malam 16 Ogos. Barang-barang yang saya bawa hampir-hampir sahaja nak sampai had berat bagasi Korean Air. Nak buang terasa rugi, sebab alang-alang dah nak jalan jauh, tak akan lah nak tinggal perkakasan yang penting-penting!

Akhirnya, baju seluar juga dibuang dengan harapan homestay yang didiami nanti akan ada mesin basuh!

Kumpulan kecil ke Oregon. Dari kiri, Ustaz Ahmad Irfan (UMP), Ustaz Awangku Bolkhizan (JMWP), Prof. Madya Dr. Baharrudin (UniSZA), Prof Dr Mahamarowi (KBMC) dan saya sendiri

Transit yang agak lama (12 jam)  di Incheon, Korea Selatan agak membosankan. Lalu dihiburkan hati dengan ambil transit tour melawat 2,3 lokasi di Seoul, dengan caj yang amat murah, iaitu hanya USD3/ seorang. Kalau nak makan, kita akan di-caj USD10/-.

Dalam bas transit tour 3 dollar je!

Cuma masalahnya restoran yang dibawanya tidak halal. Jadi kami sekadar jalan-jalan sambil ‘makan angin’ je …¬†literally!¬†ūüôā

Perjalanan jauh yang memakan masa 9 jam 45 minit dari Incheon ke Seattle.

Rancangan asal, di sepanjang masa dalam perjalanan hampir 10 jam ke US tu, saya nak isikan dengan ‘bacaan’, ‘kiraan’ dan ‘perancangan’ rapi gerhana… kononlah… tapi akhirnya tewas juga dengan kebosanan dan keletihan.

ZZzzzZzzz

Sekitar jam 12.30 tengahari, Khamis 17 Ogos 2017 (waktu dan tarikh di US), sampailah juga akhirnya kami di negara dinasti Donald Trump!

Rasa lega yang tak terkira apabila dapat menjejakkan kaki keluar daripada kapal terbang!

Malangnya, kami ‘tersangkut’ sebaik sahaja masuk ke dalam airport. Pada mulanya ingatkan terpaksa beratur sekejap sahaja, mungkin 15-30 minit, tetapi lama-lama menjadi sejam, dua jam… dan akhirnya setelah EMPAT JAM, barulah kami dapat keluar daripada imigresen US!

Kata mereka ada¬†system glitch dalam pengurusan Visa.. kata mereka la… hmmmm

Kesian Dr. Rowi keletihan yang amat sangat…

Daripada berdiri, baik aku duduk buat macam rumah sendiri… grrrrr

Proses di kaunter imigresen berjalan lancar. Tak ada la kena londeh baju seluar seperti yang selalu diceritakan orang.. mungkin rezeki kami kot.

Alhamdulillah tak sampai seminit, terus di-cop entri masuk ke US!

Cuma makanan sahaja yang sangkut. Semua bentuk makanan yang ada ayam di dalamnya, habis dirampas. Kata pegawai imigresen sana, mereka sedang dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi ancaman selsema burung.

Saya pun jadi selsema jugak… kesedihan melihat berkotak-kotak Brahim ayam dimasuk dalam tong… adehhhh….

Ingatkan sewa kereta besar boleh muat barang, tapi masih tak muat jugak! Haaa… ni dia keadaan dalam kereta keluar daripada airport!

Dapat sewa kereta besar begini pun ok laa… nak beli tak mampu..huhu

Columbus Motor Inn hotel, sebuah hotel/motel kecil di utara Seattle. Lokasi kami berehat melepaskan lelah untuk satu malam.

Setelah proses menyewa kereta selesai, kami pun mula menuju ke hotel di Seattle untuk berehat dulu satu malam. Hanya Ustaz Irfan sahaja yang berani memandu sebelah kiri. Saya dengan suka hati tawar diri jadi co-pilot.

” ok, ingat ingat .. ikut lane kanan!” ¬†“alamak simpang..jap..jap..ok masuk kiri tapi stay lane kanan”…

Begitulah tension-nya buat beberapa jam yang pertama kami memandu sebelah kiri. Tapi selepas itu, Alhamdulillah tiada masalah.. ūüôā

Perancangan untuk esoknya ialah untuk singgah di sebuah kedai menjual teleskop untuk menunaikan hajat Cikgu Bahar mencari beberapa aksesori teleskop untuk gerhana nanti. Perjalanan ke rumah homestay nanti agak jauh, lebih kurang 3-4 jam, maka kami mengambil keputusan untuk check-out awal keesokannya.

Alhamdulillah, sambil ronda-ronda di sini, terjumpa dengan masjid tempatan, Idriss Mosque. Dapat juga menunaikan solat jamak Maghrib Isya’ di sini.

Idriss Mosque, Seattle

Yes… jumpa jugak kedai kebab. Apa lagi…tak ingat dunia semua lepas tu.. haaaa


3 hari sebelum totality

Jumaat, 18 Ogos 2017. Kami bersiap awal nak mula menuju ke rumah homestay di sebuah bandar (atau pekan) yang dipanggil, The Dalles. Jarak perjalanan menurut Waze ialah sekitar 4 jam.

Aduhhh.. 4 jam dalam kenderaan lagi! Dah lah perancangan dan penilaian terakhir untuk gerhana belum buat lagi!

Silap saya juga. Sepatutnya ia dilakukan lebih awal di Malaysia, namun 2,3 minggu sebelum ekspedisi ini, sibuk pula dengan program ceramah dan bengkel sana-sini.

Kami pun sampai di sebuah kedai teleskop bernama, Cloud Break Optics.

Kedai teleskop di Seattle.

Sebuah kedai yang sederhana besar tapi penuh dengan pelbagai jenis teleskop dan pelekap berkomputer bertaraf semi-pro! Kami berada di sana sekitar satu jam sebelum meneruskan perjalanan jauh ke The Dalles.

 

Sesi wefie wajib bagi kumpulan kami.. hohoho

Jenis teleskop idaman saya, Truss-tube Dobsonian! wooo hooo…

Beberapa buah lagi model teleskop yang dijual di sini. Menggila saya dibuatnya!

 


6 jam ke The Dalles

Seperti biasalah, walaupun perjalanan di anggarkan selama 4 jam, tetapi disebabkan begitu banyak pit stop di sepanjang jalan, perjalanan terus menjadi 6 jam!

Namun begitu,di sepanjang perjalanan kami telah disajikan dengan pemandangan yang sungguh indah. Di sepanjang 400 km, kami melalui highway 90 dan 97, menerusi kawasan pergunungan di antara Mt Rainer National Park dan Wenatchee National Forest. Banyak sungguh pemandangan banjaran gunung yang dilitupi salji, bukit-bukau dan dataran sejauh mata memandang.

Payah sangat nak cerita, jom tengok gambar-gambar yang sempat dirakam ni…

Semasa keluar daripada bandar Seattle, sudah ada pengumuman mengenai jangkaan jem akibat Gerhana Matahari

Sebuah kawasan perhentian yang mengadap sebuah bukit yang menjadi tumpuan peluncur salji ketika musim sejuk.

Salah sebuah bukit luncur salji

Sebelum sambung perjalanan, kita minum kopi dulu…

Semakin jauh ke pendalaman, rupa bentuk Bumi dah berubah. Banyak kawasan landai dan luas di sini.

Pape roger.. ok?… hehehe

Kali pertama melihat windmill gergasi.. memang besar tu!!

Menghampiri The Dalles

Homestay di The Dalles

Sampai juga akhirnya di rumah penginapan di The Dalles. Sebenarnya, ketika mencari tempat menginap pada awal tahun ini, saya mendapati hampir kesemua hotel atau motel di dalam kawasan lintasan gerhana matahari penuh di sekitar Oregon telah pun penuh ditempah SETAHUN LEBIH AWAL! Kalau ada pun, harga yang ditawarkan melampau-lampau tinggi!

Setelah meneliti situasi yang ada, saya pun mencari rumah-rumah di luar kawasan gerhana, tetapi masih di dalam lingkungan 2 jam perjalanan kereta.

Akhirnya, terjumpalah rumah ini menerusi aplikasi Airbnb. Tuan rumahnya, bernama Kathy, amat baik dan peramah orangnya. Rumahnya 2 tingkat di atas bukit menghadap ke Sungai Columbia, dan di belakangnya lagi Columbia Hills Historical State Park.

Pemandangan dari beranda rumah mengadap pekan The Dalles, sungai dan banjaran gunung

Bagi orang seperti saya yang duduk bandar sahaja, pemandangan ini sungguh refreshing dan mengujakan!

Setelah selesai solat , makan malam dan melelapkan mata, tugasan utama kami ke sini pun bermula!


2 hari sebelum Totality

Sabtu, 19 Ogos 2017.

Dalam keadaan¬†jet lag yang masih belum hilang, kami terpaksa juga menggagahkan diri memandu lebih 100km ke Madras, dalam usaha mencari lokasi yang dikenalpasti ‘sesuai’ untuk cerapan menerusi Google Map.

Lebih kurang 4 bulan sebelum trip ini, saya menghadapi banyak masalah untuk kenalpasti lokasi yang sesuai. Walaupun banyak tips yang diperolehi daripada rakan-rakan yang pernah ke US, dan juga peminat astronomi dari US sendiri, gambaran sebenar masih kabur. Di antara persoalan yang bermain di kepala ialah, adakah ‘tanah-tanah’ kosong yang dilihat dalam Google Map dan Google Streetview itu adalah ‘keadaan sebenar?’.. bolehkah kita masuk ke kawasan tersebut? Tanah orang ke atau tanah kerajaan?”

Banyak unknown factor dan dengan hanya meninjau sendiri ke lokasi, barulah kita akan dapat tahu suasana sebenarnya.

Nak tak nak, terpaksa juga buat trip tinjauan ini, walaupun badan masih lagi letih.

Laluan A. Menerusi highway 197

 

Laluan B. menerusi highway 97

Ada 2 pilihan laluan, samada menerusi highway 197 atau 97. Perbezaannya 40 km antara keduanya. Saya mencadangkan agar kita guna laluan 97 kerana khuatir laluan 197 akan jem teruk pada hari gerhana, akibat orang ramai yang datang dari arah bandar Portland dan sekitar pantai barat Oregon menuju ke Madras.

Di sepanjang laluan ini, rupa bentuk buminya rata dan kadangkala berbukit landai. Secara amnya, pemandangan amat luas dan sesuai sangat untuk cerapan gerhana nanti.

Namun ada masalah besar. Walaupun tanah di kiri kanan ini ‘kosong’, tetapi hampir kesemuanya berpagar! Tidak ada ruang kosong yang besar dan selamat untuk memberhentikan kenderaan!

Situasi ini agak memeningkan kepala. Menurut berita di TV, pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan kawasan sepanjang lebuhraya sebagai kawasan larangan untuk berhenti.

camno tu?

Sambil-sambil meneruskan perjalanan ke Madras, kami ternampak ada ruangan kosong, seperti tempat parking yang disediakan bagi kenderaan. Kosong dan tiada apa-apa kemudahan, hanya kawasan tanah yang boleh dimasuki kenderaan.

Kawasan kosong di tepi lebuh raya. Agak luas dan pemandangan bagus, cuma kami dapati orang lain pun fikir benda yang sama! :-O

Nampak gaya ada potensi ni!

Tetapi bukan kami sahaja yang fikir begitu. Ada di sana 5-6 buah kenderaan lain, yang turut berhenti dan buat survey! ūüėÄ

Kalau beginilah keadaannya, nampak gaya memang kenalah datang awal dan bermalam di kawasan ini!

Perjalanan ke Madras diteruskan. Beberapa kilometer ke hadapan dari lokasi tadi, ada kawasan seperti RnR kita. Di sini pun sudah banyak kereta dan ramai orang mula tinjau-tinjau lokasi.

Aduhh… makin susah nak dapat lokasi yang sesuai. Semua tempat seperti dah penuh!

Dada saya semakin resah.( Lagu Anuar Zain Bila Resah tiba-taib muncul dalam kepala.. pelik) ¬†…. Walaupun tanah kawasan di Oregon ini luas dan banyak yang kosong, tetapi kawasan untuk berhenti secara¬†legal tak banyak.

Tiba-tiba ternampak sebuah papan tanda keluar daripada highway yang menyatakan “Watch Eclipse Here” atau lebih kurang begitu la.. saya tak berapa ingat.. Ia merupakan sebuah jalan kecik menuju ke celah-celah bukit bukau di sebelah timur.

Simpang masuk keluar daripada highway masuk ke jalan kecil berbukit bukau.

Menurut kiraan falak yang dibuat, kami sudah pun memasuki kawasan gerhana yang mencapai durasi 2 minit. Mungkin kawasan ini sesuia kot. Tak pa la, tak salah nak pergi survey pun. Kami pun melencong masuk ke simpang ini.

Kawasan di dalam ini agak berbukit bukau. Jalan kecil sahaja.

Dan masih lagi tiada kawasan kosong untuk mudah berhenti dan pasang teleskop!

Adoii.. makin stress dibuatnya.

Sambil kami perlahan-lahan melungsuri kawasan ini, ada juga ruang tanah yang agak leper dan kosong dan boleh dimasuki kenderaan. Kami pun berhenti sebentar dan membuat kiraan kedudukan matahari ketika waktu gerhana nanti.

Kawasan kosong yang terpencil tetapi dikelilingi oleh tanah tinggi

Nampak gaya agak sesuai. Matahari melepasi kawasan bukit di timur.

Cuma persekitarannya seperti kita duduk dalam mangkuk. Kawasan sekeliling berbukit bukau. Nampak gaya jika dicerap dari sini, hanya gerhana matahari sahajalah yang boleh rakam. Tidak ada peluang untuk melihat suasana gerhana dari kawasan lapang dan boleh lihat jauh ke ufuk.

Proses tinjauan pun diteruskan sehinggalah kami jumpa dengan jalan masuk sebuah kawasan tanah berpagar dan mempunyai papan tanda tapak melihat gerhana. Nama tempat ini ialah Polka Dot Agate Mine.

Sekitar pintu masuk ke kawasan Polka Dot Agate Mine

Mungkin yang ni kot…

Ia merupakan kawasan perlombongan yang dibuka sebagai lokasi perlancongan. Kawasannya luas dan agak tinggi. Kami berjumpa dengan tuan rumah, Dale. Beliau mencadangkan satu lokasi agak berbukit yang mana boleh nampak sekeliling dengan begitu jelas sekali.

Kami pun tinjau-tinjau di kawasan ini dan mendapati ia amat sempurna dan cantik sekali!

Tapak yang kami book untuk cerapan gerhana nanti.

Dale kata beliau ada mengenakan sedikit caj, USD25/seorang.

Alhamdulillah, rate ini memang berbaloi berbanding ada kawasan lain yang dikhabarkan mengenakan caj sehingga USD100 !!

Kami pun bersetuju dan menyatakan kami akan sampai ke lokasi cerapan sebelum matahari naik pada hari Isnin, 21 Ogos, nanti. Dale bersetuju untuk book kawasan yang kami dah cop awal-awal. Katanya dia akan letak tali warna oren sebagai penanda.. hahaha

Cuma kawasan ini tiada line telefon, maka tidak dapat dipastikan berapakah durasi gerhana secara tepat. Mujur signal GPS masih ada dan berjaya dirakam oleh perisian Sky Safari Pro saya di dalam telefon bimbit.


1 hari sebelum totality

Ahad, 20 Ogos 2017

Tinggal satu hari sahaja sebelum gerhana. Kami pun melakukan persediaan akhir. Last minute shopping juga dibuat untuk peralatan yang tiada.

Ada juga papan tanda mengenai pekan The Dalles ni! Pada perkiraan saya, pekan ni lebih kurang sama besar dengan Jertih di Terengganu je..

Saya dapati di tapak cerapan, tanahnya tidak begitu rata dan banyak rumput-rumput kering dan pokok kaktus kecil!

Nampak gaya memang kena cari alas untuk duduk dan letak barang ni!

Alas plastik penyelamat daripada kena pokok kaktus!

Mujur ada kedai hardware di sekitar pekan The Dalles. Dapat juga beli alas plastik sebagai alas. Kalau tak silap harganya sekita 7-9 Dollar sahaja. Ringan dan boleh dibawa pulang ke Malaysia nanti.

Kedai hardware yang terletak sepelaung je daripada rumah homestay kami.

Berita dari TV dan internet terus menjadi perhatian saya. Paling merisaukan ialah cuaca. Walaupun berdasarkan ramalan cuaca sejak 2-3 hari lalu, dikatakan kawasan barat US, termasuk Oregon, mempunyai peluang cerah untuk melihat gerhana, hati ini masih lagi skeptik.

Igauan trip gerhana di China pada tahun 2009 dan Palembang 2016 masih lagi terus terbayang-bayang.

Sehebat mana perancangan kita, akhirnya terpaksa menyerahkan secara total urusan awan dan angin ini kepada yang Allah SWT. Tiada apa yang termampu untuk dibuat jika cuaca tidak elok pada keesokannya. Jalan raya diramal jem teruk, maka kalau nak ubah lokasi last minute mungkin agak mustahil.

Rakan saya, dan juga penggiat astronomi dari Malaysia yang terkenal, William Chin, mengubungi saya menerusi messenger. Dia dan rakan-rakannya menyewa caravan dan kini berada di pekan Madras untuk cerapan esok. Katanya jalan dari Portland menuju ke Madras diberitakan sudah sesak dan bertali arus dengan kenderaan!

Lokasi kumpulan kami dan kumpulan William, semuanya berada di luar daripada pekan Madras.

Kami pun berbincang dan mengambil keputusan untuk bertolak awal, sekitar jam 3 pagi esok, dan cuba sampai di lokasi sekitar jam 4.30 pagi. Bolehlah Subuh di kawasan mencerap dengan selesa dan tak tergesa-gesa.

Ok, perancangan dah pun dibuat. Barang-barang peralatan pun mula dikemas masuk ke dalam beg.


10 jam sebelum totality

12.01 tengah malam, 21 Ogos 2017

Semua ahli kumpulan sudah pun lena tidur. Mereka dah siap berkemas lebih awal berbanding saya. Salah satu sebab terlambat kemas ialah masih ada lagi kamera yang belum kenalpasti kaedah rakamannya.

Alat yang saya bawa ini agak banyak, 5 kamera, 2 teleskop, 1 lens dan pelekap teleskop yang agak berat. Memang nampak tamak, tapi saya telah pun berazam untuk cuba merakamkan sebanyak mungkin suasana gerhana yang boleh untuk dijadikan bahan bantuan belajar dan bahan ceramah saya nanti.

Lakaran perancangan saya untuk merakam gerhana nanti.. ūüėČ

Cerita gerhana lama mungkin sudah biasa di dengar. Inilah peluang untuk saya perbaharui bahan ‘sembang’ yang lebih¬†fresh.

Menjelang 1 pagi barulah saya selesai berkemas dan bersedia untuk tidur.

Cuma ada lagi satu masalah, saya kena bangun jam 2 pagi kerana cadangan semalam ialah untuk bertolak sekitar jam 3 pagi!

Alamak… ada 1 jam je nak tidur… boleh bangun ke tak ni!

Di dalam telefon saya, lebih 5 waktu alarm telah di-set, dengan harapan dapat sedar dari lena.


8 jam sebelum totality

Ring! ring! ring!

Terkejut badak aku dibuatnya…

Alarm handphone berbunyi tepat jam 2 pagi. Saya tak pasti berapa lama dah terlena, mungkin 1 jam mungkin 30 minit, mungkin 10 minit je kot..

Badan rasa terawang-awang sedikit, tetapi mata segar semacam je. Agak risau kerana takut badan saya shut down ketika waktu puncak gerhana nanti!

Ahli kumpulan lain sibuk memasukkan barang-barang ke dalam kenderaan. Saya pandang ke langit dan terlihat satu pandangan yang amat indah sekali…

Langit dipenuhi dengan bintang-bintang! Tidak ada tanda-tanda awan pun di mana-mana!

Alhamdulillah!

Hati saya tiba-tiba terasa sebak. Mungkinkah ekspedisi ini akan berjaya juga akhirnya?.

laa hawla wala quwwata illa billah,


5 jam sebelum totality.

Gedegang!!

Kereta yang dibawa terkeluar sedikit daripada jalan raya, masuk ke dalam kawasan batu bata di tepi.

Sayalah yang memandu ketika itu!

Setelah lebih kurang 1 jam 15 minit perjalanan, kami sudah dekat sangat nak sampai ke lokasi cerapan. Subuh pun dah masuk. Kelihatan di ufuk timur, cahaya fajar mula muncul dan planet Zuhrah terang benderang menyinari langit sebelah timur.

Nampak gaya sempatlah solat Subuh dan ambik gambar Venus… hati saya berbisik..

“Alamak, alamak… ada signal low pressure di tayar depan sebelah kanan” tiba-tiba Ustaz Irfan jerit.

Pancit!!!!! Tayar pancit!!!!

Dalam keadaan kelam kabut, saya pun memperlahankan kenderaan. Mujur di satu selekoh ada kawasan ‘lapang’ sedikit untuk berhentikan kenderaan. Kelihatan ada sebuah lagi kenderaan sedang berhenti di situ.

Saya dan yang lain-lain turun daripada kenderaan… dan apa yang saya lihat disitu menyebabkan jantung terhenti seketika.

Total flat!

Tayar hadapan sebelah kanan yang mana saya terlajak masuk ke tepi jalan tadi pancit, tidak ada angin langsung. Rasanya dah lebih kurang 50 meter juga saya bawa kereta ini hanya atas rim tayar sahaja!

Allah! Allah! Allah!

Ketika itu, hati saya memang jadi ‘bodoh’ sekejap… tak tahu nak fikir apa-apa. Tak MAHU nak fikir apa-apa. Rasa macam nak duduk termenung saja kat tepi jalan tu tadi.

Bagaimana ini boleh terjadi? Dah nak hampir sangat nak sampai.. tinggal 6 KM sahaja ke lokasi cerapan! 6 Kilometer!!!

Allah! Allah! Allah!

Dalam keadaan sejuk dan gelap, kami pun cuba berusaha menukar tayar. Kereta ini besar, kaedah diikat tayarnya pun agak asing buat kami. Mujurlah hero kami, Ustaz Awang sudah ada pengalaman sedikit, dan dapat mencari jalan nak cuba jack kereta ini.

Menukar tayar dalam suasana sejuk dan gelap.

Jam tangan menunjukkan jam 5.30 pagi. Langit semakin cerah. Matahari naik sekitar jam 6.15 pagi.

Nampak gaya memang tak sempat nak Subuh di lokasi. Maka, kami pun bentangkan alas plastik yang dibeli petang semalam di hadapan kenderaan kami, dan solat Subuh bergilir-gilir di situ.

Dalam suasana sejuk, tanah yang keras dan berbatu, tibalah giliran saya solat.. tetapi hati ketika itu, hanya Allah saja yang tahu. Kami memang boleh dikatakan tersangkut di tengah-tengah kawasan berbukit, jauh dari highway, tidak ada rumah atau pekan dan paling merungsingkan TIADA LINE TELEFON!

Memang betul-betul stucked in the middle of nowhere!!

Inilah lokasi di mana kami tersangkut!

Saya hanya mampu berdoa perlahan-lahan, dan mengharapkan belas kasihan Allah SWT agar dipermudahkan urusan ini. ¬†Ini semua salah saya… drive dalam keadaan mengantuk dan agak laju.. konon nak sampai cepat ke lokasi… inilah akibatnya.

Allah! Allah! Allah!

Ini semua salah aku!

“Eh.. ada signal la.. sekejap ada sekejap tak ada”... tiba-tiba ujar Ustaz Irfan.

Saya check telefon saya memang tak ada signal. Di sini saya roaming menggunakan service provider T-mobile. Ustaz Irfan menggunakan AT&T, jadi mungkin dia punya provider masih dapat dicapai di sini.

Kami pun menghantar SMS kepada tuan tanah Dale. Syukurlah pada hari Sabtu yang lepas, sebelum beredar dari tapak cerapan, hati saya tergerak untuk meminta nombor telefon Dale!

SMS dihantar, tetapi signal masih zero. Kami hanya mampu berdoa agar SMS tu lepas juga dalam keadaan signal yang intermitent.

Saya pun sambung membantu Ustaz Awangku mencari jalan nak tukar tayar.

Ketika ini saya dah pasrah. Nampak gaya memang kena mencerap tepi jalan raya je la. Mujur kawasan ini mempunyai pandangan arah timur yang luas. Saya dah mula buat backup plan untuk cerapan di sini.

“Tak tahu lah macam mana nak cerita kat keluarga dan kawan-kawan bila balik nanti.. “ hati saya tiba-tiba berbisik… “mau kena gelak kat nanti… huhu”


15 minit kemudian…

“Alhamdulillah! Alhamdulilah! Sampai juga bantuan!”… tiba-tiba saya terdengar jeritan..tak pasti dari siapa…

Rupa-rupanya Dale, entah macamama, telah terima SMS kami!!!

Allah! Allah! Allah!

Beginilah hebatnya perancangan Allah SWT. Saja diusik hamba-hambanya dengan ujian yang amat berat supaya kita kembali meletakkan harapan total kepadaNYA. Siapa sangka dalam suasana di lokasi ceruk, tanpa ada signal telefon, dalam keadaan ada 5 -6 buah kenderaan lain yang tidak mahu berhenti membantu… ditakdirkan juga ada jalan keluar!

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!

Langit ketika ini sudah cerah, jam menunjukkan pukul 6 pagi. Dale dengan tanpa banyak soal, terus bantu kami menukar tayar. Separuh daripada peralatan dipunggah masuk ke dalam keretanya, manakala selebihnya dalam kereta ini.

Lebih kurang jam 6.15 urusan tukar tayar selesai, dan kami pun meluncur dengan berhati-hati ke lokasi cerapan.

Alhamdulillah!


3 jam sebelum Totality

Lebih kurang 15 minit kemudian, sampailah ke lokasi cerapan kami. Matahari sedang bersinar terang di ufuk, baru je terbit. Kelihatan di sekitar pintu masuk rupa-rupanya ramai juga yang datang menggunakan tempat ini!

Cikgu Bahar yang kesejukan menunggu kami di lokasi. Beliau pergi dulu ke tapak menaiki kereta Dale bersama separuh daripada barang-barang yang dibawa.

Kami pun terus pandu ke kawasan yang di reserve untuk kumpulan kami. Memang Dale tepati janji.. kawasan ni masih kosong walaupun di sekeliling sudah ada kumpulan-kumpulan lain.

Bagus juga mamat ni.., beretika.

Barang pun dipunggah keluar dan perlahan-lahan memulakan proses pemasangan alat.


2 jam sebelum Totality

Jam menunjukkan pukul 7 pagi, waktu sentuhan pertama ialah 9.07 pagi waktu tempatan. Ada lebih kurang 2 jam lagi sebelum totality.

Saya perhatikan langit dengan rasa penuh syukur. Di sebelah barat, utara bersih dari awan. Di sebelah selatan ada kelihatan awan nipis… tapi mujur tiada awan besar berkepul-kepul seperti di Malaysia.

Menurut firasat saya, dan juga pandangan daripada pengejar gerhana dunia lain, awan nipis tidak akan mengganggu penglihatan gerhana. Ingatan saya kembali teringat 2 situasi berbeza sebelum ini. Pada tahun 2012, cerapan gerhana matahari penuh di Australia, saya masih ingat ada awan nipis di langit ketika itu tetapi masih dapat lihat dengan jelas, manakala 2016 di Palembang, tidak banyak awan nipis,, tetapi langit diselubungi awan tebal berkepul-kepul.. yang mana kalau matahari berada di belakangnya, memang habis terlindung dan tak nampak apa-apa.

Peralatan hampir 90% siap dipasang.

Saya tengok sekeliling, ahli kumpulan lain masing-masing sibuk dengan urusan persiapan sendiri. Di waktu ini, sudah terlambat untuk meminta apa-apa bantuan mahupun tukar rancangan. Ini adalah masa melaksanakan segalan perancangan, bukan lagi merancang.

Paling kusyuk saya lihat, Cikgu Bahar dengan instrumen yang terdiri daripada teleskop Maksutox, kamera, jam dan juga ada jangka suhu. Unik sekali ialah ada satu kertas yang ditulis besar-besar waktu atau fasa gerhana yang penting…

Aksi Cikgu Bahar menggegar jiwa..

bagus juga idea ini… kenapa aku tak terfikir nak buat macam ni!

Jam, jangka suhu dan jadual waktu… simple tetapi efektif

Ustaz Awang berada berhampiran dengan Cikgu Bahar, juga dengan teleskop, lens dan kamera yang dipasang.

Ustaz Irfan dan pelekap barunya!

Ustaz Irfan berada agak jauh ke belakang. Berbekalkan dengan pelekap barunya, ada kamera dan lens serta beberapa buah kamera GoPro yang dipasang di sekeliling. Beliau menjadi chef de mission kami dengan melayan pengunjung-pengunjung lain yang datang menegur.

Dr. Rowi paling ter…

Masyarakat di sini memang cukup sopan dan rajin menegur bertanya khabar. Satu sifat yang bagus. Tak de sombong melangit…¬†we can learn something here…

Dr. Rowi berada di sebelah saya, peralatan paling ringkas bak kata orang level otai.

Ustaz Awang meng-koboi-kan diri

Saya pula ada beberapa buah kamera dan teleskop, masing-masing ada tujuan dan fokus tertentu.

Di atas pelekap iOptron CEM25, saya letakkan 2 buah teleskop, masing-masing mempunyai panjang fokus F=500mm dan F=420mm. Kamera Canon 5Dmkii digunakan dengan teleskop F=500mm. Ia akan mengambil still photo dan dikawal secara automatik menggunakan perisian Solar Eclipse Meastro (SEM).

Saya dan separuh daripada alat yang digunakan.

Sebuah kamera Fuji digunakan dengan teleskop F=420mm untuk merakam video 4K. Ini merupakan cubaan kedua saya merakam video gerhana menerusi teleskop. Kali terakhir di Palembang tidak begitu menjadi kerana cuaca berawan.

Sebuah lagi kamera Canon 1200D dipasang dengan lens wide angle Tokina 11-16mm, dipasang di hadapan saya mengadap matahari. Ia bertujuan untuk merakam pergerakan moon shadow dalam format still photo. Kamera inilah yang menyebabkan saya tidur jam 1 pagi kerana saya tak pasti bagaimana untuk mengawalnya, samada manual atau secara automatik menggunakan aplikasi SEM. Akhirnya saya memuat turun perisian Magic Lantern dan menggunakan fungsi intervalometer di dalamnya untuk membuat rakaman selang satu saat.

2 buah kamera GoPro dipasang. Satu di belakang saya mengadap matahari dengan diri saya sebagai foreground. Cadangnya nak rakam diri sendiri mengadap gerhana sambil tangan tunjuk sana-sini.

Satu lagi kamera GoPro, dipasang di hadapan saya tetapi mengadap ke belakang ke sebelah barat. Ia ditugaskan untuk merakam pergerakan bayang-bayang bulan (moon shadow) yang datang dari sebelah barat.

Satu lagi kamera iaitu dari iPhone saya, cadangan asal ialah nak diletak dihadapan teleskop dan merakam mimik muka saya sepanjang gerhana (seperti yang dibuat di Palembang 2016) , tetapi akhirnya ditukar untuk merakam perubahan cahaya terhadap sebuah gunung bernama Mount Hood, yang berada lebih 100km ke sebelah barat lokasi kami ini.

Menurut kiraan kasar saya, Mt. Hood akan gelap 1 minit lebih awal berbanding kami di sini. Ini merupakan pengalaman pertama kali merakam perubahan landscape bergunung.

Sebuah bukit yang asalnya kami nak mencerap dari sana, tetapi agak tinggi dan tak sesuai untuk bawa alat-alat ke atas..


1 jam 13 minit sebelum Totality

1st Contact

Inilah saat yang ditunggu-tunggu. Sentuhan pertama Bulan di sisi Matahari yang dikenali sebagai First Contact. Kiraan falak menyatakan ia akan berlaku pada jam 9.07 pagi. Mata saya tertumpu pada skrin kamera. Agak susah nak melihatnya kerana saiz Matahari agak kecil.

“Ok dah sentuhan pertama dah” jerit Cikgu Bahar. Beliau sedang memerhatikan secara visual menerusi teleskop.

Matahari yang dipenuhi dengan tompok matahari atau sunspot pada hari gerhana.

Sebahagian sisi matahari kelihatan ‘sompek’ sedikit. Inilah dia jasad Bulan yang baru sahaja kelihatan menutupi matahari.

 

Saya pun menekan butang kamera secara manual dan melihat preview imej yang dirakam. Sahih, sentuhan pertama sudah pun berlaku.

Gerhana Matahari secara rasminya sudah bermula!

This is it!


59 minit sebelum Totality

Jasad Bulan yang hitam dan gelap itu sudah mula menutupi Matahari. Ia kelihatan ‘semakin cepat’. Namun sebenarnya kadar pergerakan Bulan memang macam tu.. laju!

Kita biasa melihat Bulan di langit pada waktu malam, terbit di timur dan terbenam di barat. Itu merupakan pergerakan hasil putaran Bumi. Tetapi ada lagi satu pergerakan yang jarang diberi perhatian, iaitu pergerakan perlahan Bulan ke arah timur sedikit demi sedikit.

Keadaan matahari 1 jam sebelum Totality

Pada waktu malam, selalunya di sekeliling Bulan, tidak banyak bintang yang terang untuk dijadikan tandaan atau signpost, sebagai titik rujukan untuk kita melihat peralihan pergerakan Bulan. Kalau ada pun, kita jarang ambik perhatian.

Sebaliknya, ketika gerhana matahari, pergerakan atau peralihan Bulan di langit menjadi sangat jelas dan obvious kerana kita menjadikan jasad matahari yang terang benderang itu sebagai titik rujukan kita.

Itulah sebabnya kita perasan seolah-olah Bulan bergerak laju dan cepat je beralih dari awal gerhana menuju ke puncak gerhana, walhal kadar kelajuannya memang begitu setiap hari.

Ditambah pula Matahari mempunyai banyak tompok matahari pada hari gerhana, memudahkan lagi saya melihat pergerakannya.

Ini semua adalah berdasarkan persepsi kita.


35 minit sebelum Totality

Jam menunjukkan 9.45 pagi. Sudah 38 minit berlalu sejak sentuhan pertama. Tinggal 35 minit saja lagi sebelum fasa gerhana penuh.

Ketika ini saya perasan satu kelainan. Cahaya di sekeliling sudah menjadi kekuningan sedikit. Ia juga tidak lah terik panas seperti sebelum bermulanya gerhana. Di langit, cahaya silau matahari masih wujud. Apabila digunakan cermin mata matahari jelas ia sudah berbentuk seperti bulan sabit yang gemuk!

Matahari pada 9.43 pagi

Selain itu, terasa juga angin yang agak nyaman mula bertiup.

Menurut Cikgu Bahar, suhu telah pun turun 5 darjah berbanding awal tadi.

Perubahan 3 serangkai, cahaya, angin dan suhu, sudah pun bermula!


20 minit sebelum Totality.

Begitu pantas masa bergerak ketika ini. Sekarang sudah pun jam 9 pagi.

Suasana sekeliling sudah kelihatan ‘lain’ sedikit. Cahaya tidaklah suram, tetapi berubah warnanya. Lebih banyak kekuningannya.

Saya terus melakukan rutin memeriksa semua peralatan yang ada. Bateri cukup ke? Memory card dah masuk? Sudut kamera dah OK? Filter pada teleskop dah siap sedia untuk dibuka?

Memang paranoid sungguh ketika itu.

Malah, sebenarnya saya sudah pun menyediakan satu¬†checklist untuk apa yang perlu dibuat ketika minit-minit terakhir sebelum totality, tetapi langsung saya tak tengok pun! Bak kata orang sekarang… kelaut semuanya!

Bila difikirkan kembali, walaupun ini merupakan gerhana yang kelima, perasan nervous masih terasa!

Gerhana pada jam 9 pagi

Mata saya terus memandang ke langit.

Alamak! Awan nipis yang tadinya rendah dan jauh daripada matahari, kini sudah menutupi sebahagian besar kawasan langit timur dan selatan. Matahari di dalamnya. Namun, ia tidaklah tebal hingga menutupi matahari. Masih OK.

Awan nipis mula menutupi kawasan langit timur

 

Sambil terbongkok-bongkok melihat¬†preview¬†di dalam kamera, tiba-tiba ada seorang mat saleh datang menjenguk ke kawasan kami. Dia bertanya saya “What do you think about the clouds? Is it moving this way or that way?”

Haaaaa… dia pun sama risau macam saya juga!

“Not too sure, but I think it’s kinda heading towards the eastern part of the sky!” saya balas.

Kami pun sengih sama-sama…sengih risau…


15 minit sebelum Totality!

15 minit. The point of no return. Pada waktu ini tidak digalakkan untuk melakukan sebarang perubahan rancangan yang telah dibuat. Terus istiqamah dan kekalkan rancangan yang ada. Menurut tulisan ramai pengejar gerhana di seluruh dunia, waktu 15 minit terakhir ini otak kita akan jadi kelam kabut dan susah untuk fikir secara logik kerana anxiety semakin memuncak.

9.05 pagi

Memang betul pun! Ketika ini hati saya jadi kelam kabut. Sekejap tengok langit, sekejap perhatikan kedudukan kamera, lepas tu tengok langit lagi sekali. Saya tak ingat dah berapa kali ulang benda yang sama saya buat ketika ini.

Saya perhatikan Dr. Rowi terus menerus merakam gambar. Cikgu Bahar meneliti suhu dan mencatat sesuatu di dalam buku notanya. Ustaz Awang ke hulu hilir buat last minute adjustment terhadap kameranya. Ustaz Irfan sedang duduk bersandar di kerusinya, sambil tangan mengusik-usik kamera. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Waktu ini, bak kata orang, kawan dah tak mengaku kawan dah. Memang susah untuk memberi bantuan kepada orang lain memandangkan diri sendiri pun cannot think straight!

Sungguh pelik perasaan ini. Ia merupakan ulangan perasaan pada 2006, 2009, 2012 dan 2016. Sama saja dan tak pernah berubah seolah-olah menjadi template kepada setiap kali gerhana matahari penuh.

15 minit ini saya mula DISABLE auto-off pada laptop. Ia bertujuan supaya tiada gangguan kepada arahan rakaman kamera yang akan diberi oleh aplikasi SEM tadi tu. Kamera DSLR pun disambung kepada laptop. Saya lakukan pemeriksaan akhir..connection semua OK dan siap sedia.

Peranti semua sedia…tuan punya peranti je yang kalut semacam je!

Awan nipis tadi seolah-olah tidak mahu bergerak. Saya lakukan sedikit congakan kasar secara visual menggunakan penapis matahari tadi. Saya masih boleh nampak bentuk bulat matahari dengan jelas. Imej matahari di dalam kamera Fuji pun masih sharp dan pinpoint.

Ok, ok..InsyaAllah masih Ok…

laa hawla wala quwwata illa billah


5 minit sebelum Totality

Inilah dia… sangat-sangat hampir dengan kemuncaknya.

Muka tension 5 minit sebelum gerhana total!

9.15 pagi. 5 minit lagi. Saya pun terus meloncat dari kamera ke kamera. Rakaman video GoPro mula dipasang. Rakaman selang masa satu minit kamera Canon 1200D menggunakan Magic Lantern dimulakan. Rakaman iPhone terhadap Mt. Hood dipasang. Kiraan dan sambungan Solar Eclipse Maestro kepada kamera 5DMkii masih OK. Rakaman video kamera Fuji dalam keadaan siap siaga.

5 minit lagi!

“5 minit lagi!” saya jerit memberikan peringatan kepada ahli-ahli yang lain.


1 minit sebelum Totality.

“Ok tinggal 1 minit lagi”, saya jerit.

“Dah boleh bukak filter ke?” Tanya Dr. Rowi.

“Dah boleh la kot..kalau nak bukak”... jawapan yang tak berapa nak¬†intelectual daripada saya. Fikiran saya masa tu hanya tertumpu pada satu lagi tugasan kena buat… BUKAK FILTER!

Saya tidak mahu kejadian yang berlaku di Australia pada tahun 2012 lalu berulang, Masa tu, saya terlupa nak buka filter pada salah satu daripada kamera!

Selalunya dalam ceramah dan bengkel gerhana sebelum ini, saya katakan 30 saat terakhir adalah waktu yang sesuai untuk bukak filter. Tetapi kali ini saya nak langgar nasihat saya sendiri. 1 minit sebelum totality, saya dah pun buka filter!

Ketika ini, saya agak terkejut. Diamond Ring sudah pun kelihatan menerusi kamera Fuji yang merakam video!

Inilah pandangan daripada salah satu frame video. 1 minit sebelum totality sudah boleh nampak bentuk Diamond Ring!

 

ehh..awalnya!

Mungkin disebabkan ada lapisan awan nipis yang ‘tolong filter’ dan mengurangkan cahaya matahari memboleh bentuk diamond ring agak awal kelihatan.

Dengan mata, matahari masih bersinar terang.

Dalam keadaan kelam kabut ini, mata saya meliar pandang ke arah barat, iaitu Mt. Hood. Ketika ini saya betul-betul terkejut!

Langit di sebelah barat ini sudah hitam pekat, seolah-olah ada awan ribut tebal yang sedang berarak dengan pantas menuju ke arah kami!

Pandangan langit sebelah barat, kelihatan satu gumpalan ‘benda gelap’ mula menyelubungi kawasan langit ini.

 

Pelik! Saya tak pernah lihat sedemikian!

Bentuk gelapnya sungguh menggerunkan. Seperti sebuah gunung gelap bergerak di langit, dan menenggelamkan lapisan awan-awan nipis di situ. Saya lihat di ufuk barat cahaya kemerahan sudah mula kelihatan.

Barulah saya faham apa yang dimaksudkan oleh Cikgu Bahar sebelum ini. Katanya, pada gerhana 1995 di Kudat, Sabah, beliau telah terlihat satu gumpalan ‘benda gelap’ seperti ribut yang bergerak di ufuk laut ketika waktu gerhana. Masa itu, tiada siapa pun tahu apakah dia ‘benda gelap’ itu.

Rupa-rupanya inilah Moon Shadow… bayang-bayang bulan yang sedang bergerak pada kelajuan 5 kali ganda lebih laju daripada kapal terbang.. iaitu pada kelajuan¬† 4820 km sejam!!

MasyaAllah!

Selalunya saya lihat Moon Shadow menerusi video rakaman yang dipercepatkan. Kali ini saya dapat lihat pergerakannya dengan mata kepala sendiri dalam real time!

“Lihat Moon Shadow di Mt. Hood, MasyaAllah!”.. terkeluar kata-kata ini dari mulut saya ketika itu.

 


30 saat sebelum Totality

“30 seconds!” suara dari aplikasi SEM tadi memberi panduan kepada saya.

Saya lakukan sekilas pandang terhadap semua alat yang ada. Nampak warna indicator merah berkelip-kelip semuanya. Ok. nampak gaya foto dan video dah dirakam. Sekarang ni dah tak sempat nak buat apa-apa pertukaran atau adjustment dah.

Saya pandang sekeliling. Segala-gala yang ada disekitar saya, seperti bukit bukau, rumput, tanah, pokok… semuanya disimbahi dengan waran ‘senja’.. iaitu warna kuning dan oren. Tetapi ada sedikit kelainan daripada warna senja yang selalu kita alami. Ia lebih seperti kuning/oren dan redup…seolah-olah kita sedang pakai¬†sunglass.

Sambil menarik nafas panjang, saya pun berdiri tegak dan memandang ke arah Matahari!


Diamond Ring!

Allahuakbar!

Dah boleh nampak Diamond Ring! Walaupun masih 30 saat sebelum gelap sepenuhnya, saya sudah pun dapat lihat dengan jelas bentuk cincin dan di sebelah kiri bawah, silau cahaya matahari yang mewakili sinaran batu berlian!

Fasa cincin berlian yang pertama

Rasanya lapisan awan nipis yang ada ini telah memberi peluang untuk kami melihat fasa Diamond Ring ini lebih awal. Natural filter.

Bentuk gelang di sekeliling bulan yang mewakili ‘gelang cincin’ itu mula muncul dengan agak pantas. Saya ada terkejut jugak melihat ia muncul sebegitu

Cahaya silau ‘batu permata’ itu pula semakin lama semakin kecil, semakin pudar dan menghilang…

2 komponen sebuah ‘cincin’, iaitu bahagian gelangnya dan bahagian batu permatanya.. kedua-duanya muncul/hilang di dalam arah yang berlawanan. Yang satu ni semakin jelas, yang lagi satu semakin menghilang..

and then …. suddenly.. it happened…


TOTALITY!

Gerhana Penuh pun bermula secara rasminya.

Cahaya silau ‘batu permata’ ketika Diamond Ring tadi sudah hilang!

Dihadapan saya, tinggi di langit, ada sebuah bulatan hitam yang dikelilingi cahaya putih yang samar-samar di sekelilingnya.

Gerhana Matahari Penuh!

Inilah dia…. fasa Gerhana Matahari Penuh!

Inilah dia.. setelah menunggu lebih 1 tahun semenjak ekspedisi Palembang, inilah kemuncaknya!

Inilah dia,.. setelah situasi mencemaskan tayar pancit di kawasan tiada line telefon dan hampir-hampir sahaja memporak-perandakan rancangan asal kami, inilah kemuncaknya!

Alhamdulillah! MasyaAllah! Tabarakallah!

Bentuk Corona kali ini sungguh cantik. Saya masih ingat bentuk Corona pada tahun 2012… agak bulat dan simetri, saya masih ingat foto Corona dari rakan-rakan yang pergi ke timur Indonesia.

Kali ini 2017, rupanya seperti anak panah.. hujung depan anak panah mengarah ke sebelah bawah-kiri, manakala 2 ‘ekor’ anak panah pada sisi yang berlawanan. Jangkauan bentuk Corona ini agak panjang ‘menjalar’.

Warna langit menjadi biru gelap. sementara ufuk di sekeliling menjadi warna kuning dan jingga

Langit di sekeliling bewarna biru pekat. Lapisan awan nipis yang ada disekeliling matahari/bulan tadi seolah-olah ‘hilang’ dari pandangan. Mungkin ini disebabkan tiada cahaya terang yang menyinari lapisan awan ni, membuatkannya seolah-olah ‘gelap’ dan ‘hilang’.

Saya lihat sekeliling di ufuk.. semuanya berwarna kemerahan/jingga.. sebiji sama seperti waktu Maghrib. Pandangan ini memang jelas dan sahih, dan sama seperti yang pernah dilihat sebelum ini.


Planet dan bintang!

Mata saya terpandang ke arah planet Zuhrah. Terang dan jelas nampak tinggi di sebelah atas dan ke kanan sedikit matahari.

Utarid dan Marikh ada berhampiran matahari, tapi dalam ketika itu, saya langsung TERLUPA nak mencarinya!

Menurut pengiraan, bintang Regulus ada berhampiran matahari, kurang 2 darjah sahaja. Saya cuba melihatnya dengan mata kasar tetapi tak nampak. Mungkin faktor lapisan awan nipis tadi yang menghalang dan juga mata saya ni yang semakin kabur.

Bintang Regulus berada di sisi kiri bawah matahari/bulan

Di bahagian barat dan selatan, saya cuba mencari bintang Sirius tetapi tidak dapat lihat. Sekali lagi disebabkan faktor awan nipis tadi.

Tapi terus terang saya katakan, itu semua adalah secondary. Pusing kiri kanan pun, mata tetap akan kembali ke arah matahari dan bulan secara automatik!


Mid Eclipse!

“Maximum eclipse”.. berbunyi aplikasi SEM memberi peringatan.

Kemuncak gerhana dah ! 1 minit sudah berlalu. Cepat pulak rasanya!

Suasana sekeliling masih lagi ‘gelap’. Kedengaran beberapa kumpulan lain yang mencerap menjerit kesukaan… nasib baik kami duduk jauh sikit daripada mereka.. ūüėÄ

Saya pandang ke arah barat. Cahaya ufuk di sana semakin cerah. Itu tanda-tanda bayang-bayang bulan di sana sudah mula bergerak ke arah kami. Rasanya penduduk di sekitar pantai Oregon sudah pun tamat gerhananya. Tak lama lagi giliran kami pula!

Mata saya terus meliar ke arah skrin komputer.

Klik klik klik.. terdengar bunyi kamera saya merakam gambar secara automatik.

Kemuncak fasa gerhana penuh.

Ketika ini rasa lega dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya dapat menumpukan sepenuhnya pemerhatian saya secara visual dan tidak terlampau sibuk mengambil gambar. Memang itulah tujuan saya sejak gerhana 2012.. seboleh-bolehnya saya mahukan setiap alat merakam secara automatik. Gambar-gambar yang dirakam nanti TIDAK SAMA dengan apa yang dapat dilihat dengan mata.

Memang lain sungguh!

Di kawasan kami ni, tidak ada pokok besar yang berdekatan. Selain itu saya tak nampak burung-burung yang berterbangan di sini. Jadi kali ini tidak kedengaran sebarang bunyi haiwan.

Corona kali ini memang menakjubkan!


40 saat sebelum tamat Totality

Tinggal 40 saat lagi.

Mata saya masih terpaku di arah matahari. Aduh..sikit lagi nak habis. Rasa tak puas nak tengok.

Suasana agak hening seketika di sekitar saya.

“Tengok bentuk Corona!” Dr.Rowi mengingatkan semua.

Bentuk anak panah Corona kali ini memang ‘menusuk kalbu’!

Saya pandang kali terakhir ke arah planet Zuhrah. Terang benderang atas kepala.

Tumpuan saya kembali ke arah matahari… ¬†“ahhh pedulikan Venus, pedulikan bintang lain.. aku nak tengok gerhana ni!”


30 saat sebelum tamat Totality

Bayang-bayang umbra Bulan sedang menyelimut keseluruhan langit sebelah timur, iaitu sebelah arah gerhana.

Saki baki waktu gerhana 2017 ini semakin sikit.

Tiba-tiba saya ternampak titik-titik warna merah di sebelah sisi bahagian atas bulan, lebih kurang arah jarum jam pukul 12.

“Ada prominence ke tu?” saya minta kepastian daripada Dr. Rowi.

“Ya betul, prominence tu… arah jam pukul 12”..¬†confirm Dr. Rowi.

Suar matahari atau prominence yang kelihatan seperti titik merah menyala jika dilihat dengan mata kasar.

Akhirnya dapat juga melihat titik merah suar matahari atau prominence yang sudah lama benar saya nak lihat. Kali terakhir ialah pada tahun 2012 dulu.

Warna merahnya memang amat jelas. Itulah merah sebuah suar matahari gergasi yang tingginya mungkin 4-5 kali ganda lebih besar daripada Bumi!

Namun, disebabkan jauhnya kita daripada Matahari, ia hanya kelihatan seperti sebutir titik merah.. merah seperti warna laser pointer!


5 saat sebelum tamat Totality

5 saat lagi, mata saya meliar ke arah skrin komputer. Dalam keadaan kelam kabut, saya kembalikan pandangan ke arah matahari.

Fokus..fokus.. tumpu pada matahari..biarkan laptop tu…!

Tiga

Dua

Satu…

 


Tamat Gerhana Matahari Penuh

“Diamond Ring!” jerit saya..

Itulah tanda penamat kepada fasa gerhana penuh.

Apabila munculnya kembali silau cahaya photosphere matahari, kita sudah tidak mampu melihat ke arahnya.

Diamond ring yang kedua, menandakan tamat gerhana

 

Bentuk cincin terus hilang dengan pantasnya. Saya kirakan ia hilang dalam masa 2-3 saat sahaja.

Cahaya disekeliling, yang tadinya gelap dan suram, serta merta menjadi terang…

Tetapi terangnya bukan terang warna putih, tetapi warna kekuningan yang amat pekat.. perasaan saya rasa ngeri pulak ketika itu… tak pernah lihat suasana sekeliling begitu pekat warna kuning dan jingganya!

Tanah warna kuning, bukit yang jauh-jauh tu warna kuning, pokok pun kekuningan..

Dan seperti mana cepatnya muncul warna kuning itu, secepat itu jugalah ia hilang… dan suasana sekeliling terus menjadi warna seperti sedia kala…

Apa yang saya dapati ialah warna kuning yang pekat tu muncul sebaik sahaja Diamond Ring menjelma tadi… mungkin ada kaitan daripada segi kuantiti cahaya matahari yang sedikit semasa fasa cincin berlian itu kot…

kena study lagi ni…

Bayangan Bulan yang gelap menutupi langit tadi dengan pantas terus bergerak ke arah timur. Kali ini jelas saya dapat lihat pergerakannya dengan mata kasar.. memang laju betul!

Ufuk di sekeliling yang tadinya bewarna jingga kembali normal..

.. segalanya sudah berakhir…

MasyaAllah! Tabarakallah!


Berakhirnya satu lagi ekspedisi gerhana…

Setelah tamatnya fasa ini, barulah segala rasa penat dan risau tadi hilang seolah-olah dibawa pergi bersama-sama dengan Moon Shadow tadi.

Saya kembali menutup teleskop dengan penapis matahari. Sebuah lagi teleskop yang sedang merakam video, saya biarkan ia rakam lebih kurang 1 minit selepas tamat gerhana tadi. Agak berisiko jugak kerana cip kamera mungkin akan rosak jika terdedah terlalu lama… tetapi saya benar-benar mahu lihat berapa lama bentuk Diamond Ring dapat dirakam menerusi video.

Kamera GoPro,saya biarkan ia teruskan rakaman selama beberapa minit lagi.

Kamera 1200D terus dibiarkan merakam suasana langit wide-angle buat beberapa ketika.

Pandangan saya kemudian beralih ke arah iPhone saya tadi, yang sedang merakam suasana perubahan cahaya di Mt. Hood.

Dalam keadaan video masih dirakam, saya pun siap sedia untuk memberi komentar sedikit sebagai rekod di dalam video itu..

Baru beberapa perkataan permulaan saya bercakap di dalam video itu, tiba-tiba terasa ada benda tersekat di dalam tekak.. suara saya tidak keluar jelas..

Sedar tak sedar rupa-rupanya ada sedikit linangan air mata berada di dalam kelopak mata saya ni..

Aduhhh.. apa hal ni.. tak pernah-pernah emosi sebegini!

Tapi itulah yang berlaku. Ketika saat itu segala jenis perasaan muncul dan bercampur baur.

Perasaan saya kembali kepada isteri kesayangan yang berada di rumah, sanggup berkorban jaga anak-anak sepermegian saya ke sini. Alangkah bagusnya kalau dia dapat join sekali…

Perasaan saya kembali teringat saat-saat di gerhana 2009 di China, yang mana sehari selepas gerhana di sana, saya menerima berita yang amat sedih dari Malaysia, Mak dah pulang ke rahmatullah! Itulah ujian yang paling berat yang saya terpaksa tanggung sepanjang hayat dan tidak mungkin ia akan hilang dari ingatan.

Banyak lagi ingatan yang tiba-tiba datang menyerbu ketika itu… tetapi saya perlahan-perlahan pendamkan dalam hati. Biarkan, biarkan… janji dimulut kita jangan henti-henti ucap Alhamdulillah.

Saya yakin setiap ahli kumpulan yang ada bersama ini, masing-masing mempunyai pengalamannya tersendiri.


Alhamdulillah…

Saya ni bukanlah seorang ustaz, jauh sekali seorang guru. Malah bukan ahli astronomer pun! Minat mengejar gerhana datang tanpa dipinta dan dianugerahkan secara tiba-tiba pada tahun 2006 dulu. Bagi saya Gerhana Matahari Penuh amat istimewa dan memberi kesan yang mendalam buat diri saya dan memberi motivasi berterusan untuk saya meneruskan perkongsian pengalaman di Malaysia selama ini.

Mungkin, mungkin ada seorang dua yang dapat lihat sedikit manfaat daripada cerita-cerita ini, dan disampaikan dalam bentuk yang jauh lebih berkesan kepada orang lain. Itulah sahaja yang saya harapkan. Itulah sahaja bekalan yang saya impikan apabila tiba masa bertemu Allah SWT nanti.

Harapan agar pengalaman yang sering diceritakan ini akan dapat memberi manfaat.

Seciput Ilmu Seluas Angkasa… ini hanya sumbangan kecil saya di dalam dunia Falak yang serba luas.

Fikirkan… Bulan yang 400 kali ganda lebih kecil daripada Matahari boleh tutup jasad Matahari secara tepat dan sempurna… mustahil ia jadi dengan ‘sendiri’.

Fikirkan., Matahari yang berada 400 kali ganda lebih jauh daripada Bulan, boleh berada tepat di dalam satu garisan yang amat lurus, merentasi lebih 149 JUTA km di angkasaraya.. mustahil ia boleh jadi dengan ‘sendirinya’.

Fikirkan.. Cahaya Matahari yang bersinar berjuta kali ganda lebih terang daripada segala yang ada di langit, boleh layu dan hilang, semata-mata ada sebuah jasad kecil bersaiz negara Australia melindunginya… mustahil ia jadi sendiri..

Itulah bukti dan tanda-tanda ada yang menyusunnya, dan mentadbirnya, dan menguasai segalanya. Allah SWT. Tanpa kita memerhati sendiri kejadian langit, adalah hampir mustahil untuk kita memahami betapa hebatnya pencipta kita, dan betapa kerdil dan lemahnya kita di permukaan Bumi ini…

Pattern of Perfection … itulah dia fenomena GERHANA MATAHARI PENUH!

Foto HDR Gerhana Matahari. Luahan saya di sini.



Terima kasih

Terima kasih kepada ahli kumpulan semua, Cikgu Bahar, Dr. Rowi, Ustaz Irfan dan Ustaz Awang. InsyaAllah panjang umur ada rezeki kita ke Chile pula!

Saya amat alu-alukan anda semua cuba hubungi mereka sendiri dan dapatkan pandangan pengalaman mereka pula. Pasti ia berbeza antara satu sama lain dan banyak lagi boleh dijadikan panduan kepada kita semua nanti.

Terima kasih juga kepada individu dan pertubuhan yang ada membantu meringakan sedikit urusan saya di sana. Semoga Allah SWT merahmati anda semua.

Terima kasih kepada William Chin, yang sudi duduk bersama sebelum kita semua bertolak ke US, membincang strategi dan berkongsi maklumat demi kebaikan bersama. Thanks bro!

Terima kasih juga kepada semua followers yang mendoakan kesejahteraan kumpulan kami di US ini. Anda semua awesome!

Terima kasih juga kepada isteri dan anak-anak yang tanpa jemu memberi sokongan kepada saya.

Terima kasih semua!

Foto ihsan dari Ustaz Ahmad Irfan

Cerita belum habis lagi… selepas gerhana, kami tersiksa dengan kesesakan jalan raya. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 1 jam 30 minit, menjadi 5 jam! Sabor je la…

 


Tambahan:

Foto-foto di dalam artikel ini dirakam oleh saya sendiri (melainkan ditandakan sebaliknya) . Kebanyakannya telah dikecilkan untuk memudahkan capaian web. Anda boleh melihat foto dalam resolusi asal di page Flickr saya ini.

Masih banyak lagi video yang tidak dimuat naik di sini. InsyaAllah selalunya saya akan kongsikan menerusi ceramah-ceramah saya. Jika berminat untuk perkongsian lebih lanjut, boleh hubungi saya di sini.

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar