Menuju ke garisan penamat – misi Cassini akan berakhir 15 Sep nanti

Lakaran artis yang menunjukkan Cassini bergerak di antara Zuhal dan kawasan gelang yang paling dalam.

Setelah 20 tahun yang penuh bersejarah dan penemuan yang menakjubkan, akhirnya tiba masa untuk prob angkasa Cassini ditamatkan riwayat pada 15 Sep 2017 nanti.

Cara untuk ‘mematikannya’ ialah dengan menghempaskan prob ini ke dalam atmosfera Zuhal, yang mana ia akan terbakar dan hancur bak meteor.

Kesian…

Misi Cassini ini ialah sebuah misi kerjasama antara NASA,  ESA (European Space Agency) dan Italian Space Agency. Ia merupakan sebuah misi yang amat berharga dengan kosnya mencecah $3.2 billion dan telah dilancarkan pada tahun 1997!

Lama dah tu!

Setelah melakukan beberapa siri pergerakan di sekeliling matahari dan planet-planet lain, Cassini akhirnya masuk ke dalam orbit  Zuhal pada 30 Jun 2004.

Sejak itu, ia telah melakukan begitu banyak siri pemerhatian dan kajian terhadap planet Zuhal serta bulan-bulan di sekelilingnya.

Jika ada yang masih ingat, antara penemuan yang paling menarik ialah ketika Cassini ‘ternampak’ sebuah pancutan geyser yang terdiri daripada wap air, keluar daripada kawasan kutub selatan bulan yang bernama Enceladus!

Pancuran wap air dari permukaan Enceladus! Berita di sini.

Sebelum itu, pada tahun 2005, sebuah prob yang lebih kecil bernama Huygen, yang ‘menumpang’ di atas badan Cassini, telah dilepaskan dan mendarat ke atas permukaan satu lagi bulan Zuhal bernama Titan.

Di sinilah, para saintis telah menemui ‘tasik’ dan ‘laut’ yang terdiri daripada cecair hidrokarbon di atas permukaan bulan ini.

Beberapa siri foto salah sebuah tasik di atas permukaan Titan, menunjukkan ada perubahan sedikit dari semasa ke semasa. Sumber.

Titan ialah satu-satunya jasad di dalam sistem suria ini (selain daripada Bumi) yang didapati mempunyai bahan cecair (tak semestinya air) yang berada dalam formasi yang stabil di atas permukaannya.

Go Teen Titans!

Banyak lagi penemuan menarik serta foto-foto yang sungguh hebat, terutama sekali foto jarak dekat gelang-gelang planet Zuhal ini!

Foto warna gelang-gelang Zuhal yang paling tinggi resolusi setakat ini! Sumber.

Cuba lakukan carian di internet atau di dalam laman web FalakOnline ini juga, untuk mendapatkan cerita-cerita itu dengan lebih terperinci.


Mengapa perlu dihempaskan?

Apabila prob Cassini kehabisan bahan api, ia masih akan terapung-apung mengelilingi Zuhal. Namun, disebabkan mainan graviti yang kompleks antara Zuhal, bulan-bulan gergasinya dan juga matahari, orbit ini tidak stabil.

Besar kemungkinan ia akan berlanggar dengan salah sebuah daripada bulan-bulan Zuhal seperti Titan dan Enceladus tadi.

Para saintis seboleh-bolehnya tidak mahu ini berlaku kerana jika Cassini terhempas di permukaan bulan-bulan ini, ia mungkin akan mencemarkannya dengan bahan-bahan dari Bumi! Kalau boleh kita mahu kekalkan bulan-bulan ini dalam suasana asal untuk kajian masa hadapan.

Ye la, takut-takutlah juga ter jumpa semut api dari bumi di permukaan Titan!

NASA TV akan mengadakan siaran langsung menjelang tempoh tamat hayat Cassini. Cuba rujuk jadual di bawah:

14 Sep 2017

  • 1 pagi waktu Malaysia. Sidang akhbar rasmi dari ibu pejabat Jet Propulsion Laboratory (JPL) yang akan menerangkan dengan terperinci apa yang akan berlaku.

15 Sep 2017

  • 1 pagi hingga 6 pagi waktu Malaysia.. Event sosial yang akan ada temuramah dengan tetamu jemputan
  • 11 pagi waktu Malaysia. Muat turun terakhir imej dari Cassini akan bermula. Imej-imej ini akan distrim terus.
  • 7 pm hingga 8.30 malam. Siaran langsung komentar mengenai aktiviti-aktiviti terkahir Cassini. Paparan kamera LIVE dari bilik kawalan JPL.
  • 8 malam. Data terakhir Cassini dijangka sampai ke Bumi.
  • 9.30 malam. Sidang akhbar dari JPL. Misi tamat.

Jadual di atas diambil dari Space.com dan telah ditukarkan kepada waktu Malaysia.


Wallahua’lam

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar