A/2017 U1, pelancong interstellar yang pertama!

A/2017 U1 dirakam menerusi teleskop bersaiz 40cm. Ketika foto ini dirakam, objek ini berada 60 juta km daripada bumi dan bersinar pada magnitu 22 (teramat kelam!). Kredit: Gianluca Masi (Virtual Telescope Project) and Michael Schwartz (Tenagra Observatory)

Sepanjang sejarah sains astronomi moden, objek-objek yang bergerak melintasi bumi, matahari atau di mana-mana kawasan sistem solar, kesemuanya mempunyai asal-usul yang sama, iaitu semuanya adalah ahli ‘seumur hidup’ sistem solar kita. Ia wujud dan terbentuk bersama-sama dengan matahari. Objek-objek ini juga termasuklah planet, bulan-bulan kecil, asteroid dan komet. Di antaranya, komet agak unik kerana majoritinya datang daripada sebuah kawasan yang amat jauh nun di belakang Pluto, yang dipanggil sebagai Awan Oort.

Awan Oort ini boleh dibayangkan sebagai sebuah ’empangan komet’, sebuah kawasan di mana jutaan komet-komet sedang berkumpul dan perlahan-lahan mengorbit matahari.

Sekali sekala, ada yang mengganggu ’empangan’ ini dan ada dikalangan komet-komet ini akan terpesong dari orbitnya dan mula bergerak masuk menghampiri Bumi dan Matahari.

Pergerakan komet-komet ini bermacam-macam ragam. Namun, jika ahli astronomi mengamatinya dengan teliti, kita boleh tahu bentuk orbitnya dan jangka waktu ia mengambil masa mengelilingi matahari.

Minggu lepas, satu lagi sejarah terukir dalam dunia astronomi. Sebuah objek yang dikenali sebagai A/2017 U1 telah ditemui oleh teleskop-teleskop di Panoramic Survey Telescope and Rapid Response System (Pan-STARRS) pada 19 Oktober 2017.

Tugas Pan-STARRS ini ialah memantau langit dan memerhatikan kemunculan objek-objek ‘baru’ yang belum pernah ditemui sebelum ini, seperti komet dan asteroid.

Balai Cerap Pan-STARRS1 di atas pergunungan Haleakala Maui . Credit: Foto oleh Rob Ratkowski

Apabila objek A/2017 U1 ditemui dan dipantau pergerakannya, didapati ia bergerak TERAMAT LAJU, malah bentuk orbitnya pun bukan bulat, juga bukan elips, tetapi … hiperbola!

Apa maksud semua ini?

Ok jom kita tengok satu per satu.

Untuk sesebuah objek mengekalkan di dalam orbit yang stabil mengelilingi matahari, ia harus mengekalkan bentuk orbit yang jaraknya dengan matahari.

Sesebuah objek yang berada pada jarak yang sama dari matahari seperti mana bumi, ia harus bergerak di angkasa lepas pada kelajuan paling maksimum 40km/sesaat.

Contoh, Bumi kita bergerak pada kelajuan menghampiri 30km/sesaat. Pada kelajuan ini, bentuk orbit bumi hampir-hampir berbentuk bulat.

Jika objek itu mempunyai orbit yang berbentuk elips (seperti komet), ia akan bergerak laju ketika berada hampir dengan matahari (perihelion) dan bergerak perlahan ketika ia jauh daripada matahari (aphelion).

Namun begitu, jika sesebuah objek itu berada pada jarak Bumi-Matahari, dan mencapai kelajuan lebih daripada 42km/sesaat, ini bermakna ia tidak lagi terikat dengan graviti matahari. Dalam istilah sains, ia melepasi escape velocity dan ia akan terus melayang ke angkasa lepas selama-lama tanpa terikat dengan tarikan graviti matahari.

Ia akan terus hilang… bye bye…

Dalam senario ini, bentuk orbitnya pula akan menjadi hiperbola!

Rajah menunjukkan laluan A/2017 U1 berbentuk hiperbola. Kebiasaannya, komet mempunyai bentuk orbit yang elips. Kredit: Brooks Bays / SOEST Publication Services / UH Institute for Astronomy

Apa kes A/2017 U1 ni?

Berbalik kepada kisah objek ‘misteri’ ini. Ia melintasi di dalam kawasan orbit planet Utarid pada awal September lepas, membelok seolah-olah melakukan drift akibat tarikan graviti matahari dan ketika ini ia dalam perjalanan keluar.

Ia sekarang berada lebih jauh daripada jarak orbit Bumi, dan kelajuannya ialah pada 44km/sesaat!

Pada kelajuan ini, ia bergerak terlampau laju dan ia tidak akan kembali mengorbit matahari pada masa hadapan. Ia akan terus terbang ke kawasan kosong diantara bintang-bintang atau istilah lebih popular interstellar!

jeng jeng jeng!!

Ok sekarang kita dah tahu ia bergerak laju dan berdesup hilang. Tetapi timbul pula satu lagi persoalan… dari mana pulak datangnya objek ini?

Kalau kita lihat sebelum ini, objek-objek seperti komet yang akan ‘ditendang keluar’ daripada sistem suria kita ini selalunya adalah kesan daripada ia bergerak terlalu hampir dengan planet-planet gergasi seperti Musytari. Graviti Musytari akan menambah kelajuan komet ini dan seterusnya mencampaknnya keluar.

Namun begitu, orbit A/2017 U1 agak unik kerana ia tidak membawanya hampir dengan mana-mana planet gergasi kita. Lebih menghairankan ialah orbitnya senget 122º, iaitu tidak sama satah dengan planet-planet lain dan hampir-hampir bersudut tepat. Maknanya ia datang direct daripada atas sistem suria.

Laluan asteroid A/2017 U1 ketika ia masuk dan keluar daripada kawasan sistem suria kita. NASA/JPL-Caltech

Dari sini ahli astronomi telah simpulkan bahawa ketika objek ini melintasi sangat hampir dengan matahari, ia SUDAH PUN TERAMAT LAJU ketika ia on the way menuju ke arah matahari sebelum ini.

Dalam erti kata lain, ia datang dari kawasan angkasa lepas di LUAR SISTEM SURIA kita, iaitu dari sistem bintang lain!

Kiraan seterusnya menunjukkan ia ‘muncul’ dari arah kawasan buruj Lyra (di kawasan langit utara), pada kelajuan 25km/sesaat ketika ia memasuki kawasan perumahan sistem suria kita. Pada kelajuan ini, adalah mustahil ia sebahagian daripada keluarga komet-komet di dalam Awan Oort kita.

Ketika ia mula-mula ditemui, kebanyakan saintis menyangkakan ia sebuah komet. Namun begitu, setelah pengamatan susulan dibuat, ia tidak menunjukkan sebarang ciri yang sama dengan sebuah komet. Ia lebih mirip kepada sebuah asteroid. Nama asalnya C/2017 U1 telah ditukar menjadi A/2017 U1.

Huruf “C” menandakan objek itu sebuah komet, sementara “A” menandakan ia sebuah asteroid.

Kekeliruan seperti ini adalah normal terutama sekali terhadap objek-objek yang baru ditemui dan masih jauh lagi daripada Bumi atau Matahari. Jika ia sebuah komet, A/2017 U1 sudah pun mempunyai sebuah gas yang dipanggil sebagai koma, di sekeliling nukleusnya, tetapi rekod pemerhatian terhadapnya tidak menunjukkan kesan seperti itu.

Satu lagi perkara yang menarik ialah mengenai berapa lama A/2017 U1 berterbangan di angkasa lepas. Walaupun kita boleh ‘mengagak’ dari kawasan langit manakah ia muncul, tetapi jika diamati tidak ada bintang-bintang yang ‘dekat’ dengan Bumi di situ.

Malah, dengan kelajuannya sekarang pun, andai kata asteroid ini datang dari bintang yang paling hampir dengan matahari, yang berada pada jarak 40 trillion km, ia akan mengambil masa 50,000 tahun untuk sampai ke sistem suria kita!

Namun begitu disebabkan ia muncul dari kawasan buruj Lyra, yang tiada bintang yang ‘dekat dengan matahari’, ia mungkin sudahpun berterbangan selama jutaan tahun di angkasa lepas!

Jika kita perhatikan dari mana pula ia sedang menuju, menurut Bill Gray, salah seorang pembangun perisian Project Pluto, yang sedang memantau pergerakan A/2017 U1 ini, ia bergerak ke kawasan buruj Pegasus pada kordinat RA=23h 51m and Dec=+24° 49′.

Di kawasan langi ini, bintang yang paling hampir dengan Bumi, bernama HD 223531, berada 400 Tahun Cahaya daripada Bumi! Asteroid ini hanya akan sampai di sana tidak kurang daripada 1 juta tahun (mungkin lebih), dan jika ia sampai pada waktu itu pun, bintang tersebut sudah pun begerak ke tempat lain!

Begitulah luasnya angkasa lepas.

Kebarangkalian untuk sebuah objek kecil ini melayang-layang terbang di antara kawasan bintang-bintang (interstellar) dan datang ‘singgah’  begitu hampir sekali dengan matahari, adalah amat-amat kecil, namun itulah yang berlaku terhadap A/2017 U1 ini.

Ketika ini, objek ini terlalu kelam untuk dirakam menggunakan teleskop kecil saya. Hanya balai cerap yang mempunyai teleskop bersaiz sangat besar sahaja masih mampu mengekorinya. Ia sekarang menyinar pada skala magnitud 22.65!!

Kita mungkin tidak akan tahu asal-usul sebenar A/2017 U1, tetapi memadaikan untuk kita sedar kehadirannya yang unik ini menunjukkan betapa luasnya alam ini dan begitu banyak lagi objek samawi asing yang sentiasa melintas-lintas di sekitar sistem suria kita ini.

Wallahua’lam

Rujukan

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar