Meteor Orionid dah mula muncul! Jom tengok!

Juraian meteor Orionid akan memuncak pada awal pagi 22 Oktober 2017 ini. Meteor ini dinamakan “Orionids” bersempena dengan kawasan buruj di mana meteor-meteor pada waktu itu kelihatan ‘muncul’, iaitu di sekitar kawasan buruj Orion.

Meteor ini merupakan saki baki habuk dan debu daripada komet yang rasanya paling popular di kalangan tamadun manusia, iaitu Komet Halley. Pada suatu ketika dahulu, jika saya tanya orang ramai, apakah nama komet? Majoriti akan menjawab “Komet Halley”. Ia merupakan komet yang termasuk di dalam kategori “jangka-pendek” atau short-period comet yang mempunyai orbit yang mengambil masa kurang 200 tahun ataupun pernah dicerap lebih daripada sekali ketika komet itu melintasi berhampiran matahari (juga dikenali sebagai perihelion).

Komet Halley ketika ia muncul pada tahun 1986.

Komet Halley kali terakhir muncul ialah pada tahun 1986, dan akan kembali muncul di langit pada sekitar tahun 2061lambat lagi tu… Walaupun begitu habuk dan debu di sepanjang laluan komet ini melintasi dengan orbit Bumi dan menghasilkan meteor yang kita kenali sebagai Meteor Orionid.

Namun begitu, pergerakan objek-objek kecil seperti habuk dan debu  ini sentiasa berubah-ubah, terutama sekali jika ia bergerak menghampiri planet-planet yang mempunyai tarikan graviti yang kuat. Kesannya, adalah agak sukar untuk meramal, kepadatan habuk dan debu yang akan berlanggar dengan Bumi.

Kajian terkini menunjukkan habuk dan debu ini berada dalam pusingan resonan yang mempunyai kitaran selama 12 tahun dengan planet Musytari. Trend menunjukkan kali terakhir meteor Orionid yang direkodkan paling banyak ialah pada tahun 2006. Jumlah ini menurun pada awal tahun 2000. Diharapkan ia akan kembali memuncak pada tahun-tahun mendatang.

 

Prospek tahun 2017.

Titik muncul meteor Orionid ini (atau dikenali sebagai radiant), ialah buruj Orion. Berdasarkan kiraan, buruj ini akan terbit sekitar jam 11 malam (12 tengah malam di Sabah).  Namun begitu, waktu ini masih belum sesuai untuk membuat cerapan kerana radiant-nya masih terlalu rendah.

Tunggulah sekitar 2 jam selepas itu, iaitu selepas tengah malam, untuk lakukan cerapan sebenar.

Disebabkan meteor-meteor ini akan kelihatan ‘muncul’ dari kawasan Orion, jika anda tumpukan mata pada buruj ini, meteor-meteor ini akan kelihatan pendek dan cepat muncul cepat hilang!

Dicadangkan, halakan pandangan anda di arah berlawanan daripada buruj Orion, kerana di kawasan langit itu, geometri laluan meteor ini akan lebih ‘landai’ dan menghasilkan meteor yang lebih panjang dan ‘sempat’ untuk kita tengok!

Sebagai contoh, jika anda mencerap pada jam 1 pagi, Orion sedang terbit di timur, halakan pandangan anda samada

  1. Ke arah barat, berlawanan dari Orion
  2. Ke arah utara. Orion akan berada di kanan anda.
  3. Ke arah selatan. Orion akan berada di kiri anda.

Pandanglah kawasan langit yang jauh dari buruj Orion untuk melihat meteor yang lebih panjang. Ini pandangan arah utara sekitar jam 1-2 pagi.

 

Ini pandangan arah selatan sekitar jam 1-2 pagi.

Menjelang Subuh, jumlah meteor ini akan bertambah banyak, tetapi Orion sudahpun berada tegak di atas kepala. Ketika ini, cuba halakan pandangan di sepanjang ufuk (horizon) di sekeliling anda (tak kisah arah mana pun). Tak perlu pandang tepat ke arah Orion.

Senang cerita, pandanglah di mana-mana kawasan langit. Tak perlu terlampau cerewet dan hanya fokus kepada buruj Orion sahaja.

BIlangan meteor

Secara puratanya sekitar 20-25 meteor akan kelihatan muncul pada setiap jam pada tarikh puncak 22 Oktober 2017 nanti. Namun, ‘nilai’ ini hanyalah sebagai panduan kasar. Faktor sekeliling seperti keadaan cuaca, kawasan langit persekitaran akan menyebabkan jumlah ini menjadi jauh lebih kecil.

Oleh itu, kita kena terima realiti dan jangan terlalu ‘berpegang’ kepada nilai 20-25 meteor sejam tadi. Itu hanyalah sebagai panduan piawai yang digunakan seluruh dunia.

Satu perkara yang menarik mengenai meteor Orionid ini ialah walaupun tarikh puncaknya 22 Oktober, tetapi ia sebenarnya memuncak pada beberapa hari sebelum dan selepas tarikh tersebut. 

Maknanya, jika anda cuba mencerap pada awal pagi 22 Oktober 2017, tetapi berawan, jangan risau. Masih ada peluang untuk mencerapnya 2,3 hari selepas tarikh itu.

Malah, mulai hari ini (tarikh artikel ini ditulis), kita sudahpun berpeluang melihat kemunculan Orionid ini.

Untuk tahu lebih lanjut lagi mengenai meteor, saya syorkan anda baca artikel ini …

Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu

Selamat mencerap meteor!

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar