Raja planet dah kembali di waktu Subuh.. dan melintasi Zuhrah

Dalam diam-diam, planet Musytari sudah pun melintasi belakang Matahari dan mula muncul kembali ke langit Subuh.

Namun, ada sesuatu yang menarik yang akan berlaku dalam masa 3,4 hari akan datang ini. Musytari bukan ‘berseorangan’.  Ia akan melintas amat hampir dengan planet Zuhrah!

Lintasan kedua buah planet ini (fenomena yang juga dikenali sebagai conjunction) bukanlah sesuatu yang unik. Ia telah berlaku berulang-ulang kali. Tetapi seolah-olah fenomena ini  sentiasa menarik perhatian kita. Maklumlah Zuhrah merupakan planet paling terang di langit, manakala Musytari sentiasa kelihatan terang dan besar menerusi teleskop.

Carabarannya kali ini ialah kedua-dua planet ini berada amat rendah di ufuk langit timur. Berdasarkan kiraan, kita hanya mampu dapat melihatnya dengan ‘agak selesa’ lebih kurang 45 minit SELEPAS waktu Subuh. Itu pun pada kedudukan sekitar 6 atau 7 darjah sahaja dari atas ufuk dan langit sudah pun semakin terang kerana menghampiri waktu Matahari terbit.

Kedua-duanya akan berada pada kedudukan paling dekat pada awal Subuh, hari Isnin 13 Nov 2017 nanti. Ia dipisahkan sejauh 29 arc minit sahaja, atau lebih kurang saiz diameter bulan purnama. Jika anda mempunyai teleskop berkuasa rendah, anda boleh melihat kedua-duanya dalam satu medan pandangan secara serentak!

Walaupun kita boleh melihatnya dengan mata, tetapi disyorkan agar menggunakan binokular untuk melihat dengan lebih jelas.

Satu perkara penting, disebabkan planet-planet ini agak hampir dengan matahari, jangan cuba mencarinya pada waktu matahari sudah pun terbit jika anda tidak pernah melakukannya. Bahaya!

Rajah di bawah menunjukkan kedudukan Zuhrah (paling terang) dan Musytari bermula dari esok, 12 Nov hingga 14 Nov.

45 minit selepas Subuh, 12 Nov 2017

 

45 minit selepas Subuh, 13 Nov 2017

 

45 minit selepas Subuh, 14 Nov 2017

 

45 minit selepas Subuh, 15 Nov 2017

 

Menerusi teleskop berkuasa rendah, pemandangan adalah seperti di bawah. Zuhrah berada jauh menghampiri ‘belakang’ matahari, maka ia akan kelihatan kecil dan ‘kurang menarik’. Musytari pula sentiasa kelihatan ‘besar’ dan mudah dilihat bentuk permukaannya.

Kali terakhir Musytari melintasi Zuhrah ialah pada 27 dan 28 Ogos 2016 lepas, di mana fenomena itu dapat dilihat di langit sebelah barat pada waktu Maghrib.

Saya dapat merakamnya pada saat tersebut, di celah-celah cuaca yang tidak menentu pada tarikh tersebut. (Foto bawah)

Rakaman lintasan Musytari dan Zuhrah pada 28 Ogos 2017 dari balai cerap penulis di Kuala Lumpur. Sumber.

Selepas ini, kita terpaksa menunggu sehingga 28 Sep 2018, tetapi itu pun kedua-dua planet ini berada agak jauh, iaitu sekitar 13 DARJAH!

Jadi, cuba jangan lepaskan peluang ini!

Jom teropong!

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar