Asteroid bersaiz 2 kali ganda Menara KL akan melintasi Bumi … pada jarak yang selamat

Orbit asteroid 2002 AJ129 berbanding dengan planet-planet dalaman. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Baru-baru ini ada berita yang tersebar luas mengenai sebuah asteroid bersaiz bangunan Burj Khalifa yang akan melintasi Bumi. Ada juga menambah dengan mengatakan ia berpotensi  akan berlanggar dengan Bumi pada bulan Februari 2018 nanti.

Tajuk-tajuk demikian memang bakal menarik perhatian sesiapa sahaja pun (termasuk saya), tetapi yang lebih penting sebenarnya ialah isi kandungan dan berita sebenar yang hendak diceritakan. Kalau kita hanya baca tajuk sahaja, 1001 macam spekulasi akan timbul!

Ok sekarang kita lihat apa sebenarnya yang berlaku.

Kiraan trajektori asteroid yang diberi nama 2002 AJ129 ini menunjukkan pada 4 Februari 2018 nanti, ia akan melintasi Bumi pada jarak 10 kali ganda LEBIH JAUH daripada jarak Bulan, iaitu lebih kurang 4.2 juta kilometer. 

Jarak purata Bulan ke Bumi ialah 384,400 km.

Kedudukan asteroid 2002 AJ129 pada tarikh ia melintasi Bumi. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Pada jarak itu, ia tidak akan berlanggar dengan Bumi. Sebelum ini pun kita sering dilawati oleh banyak asteroid yang melintasi Bumi pada jarak yang lebih dekat dari 2002 AJ129 tu!

Cuma mungkin yang menambahkan kegelisahan pembaca ialah saiz asteroid tersebut. Menurut Paul Chodas, pengurus Center of Near-Earth Object,  berdasarkan pemerhatian yang dibuat selama 14 tahun sebelum ini, para saintis menganggarkan diameter asteroid ini ialah sekitar 0.5 hingga 1.2 km. Sebagai perbandingan, bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa berdiri pada ketinggian 0.82 km.

Jika kita nak dibandingkan dengan Menara Kuala Lumpur, asteroid ini akan berada pada saiz 1.5 hingga 2 kali lebih besar!

Namun begitu, kebanyakan berita yang tersebar tidak mencerita situasi sebenar apa yang berlaku di sekeliling Bumi kita ini.

Secara amnya, setiap minggu ada sahaja batu-batu angkasa yang bergerak agak hampir dengan Bumi. Kebanyakan kecil, dan sekali-sekala ada yang agak besar. Objek-objek ini dikenali sebagai Near Earth Objects, dan pusat pemantauan utamanya ialah di Center of Near-Earth Object di Jet Propulsion Laboratory.

Kita boleh lihat sendiri senarai objek-objek jenis ini yang sedang melintasi Bumi pada waktu sekarang, menerusi laman web Spaceweather.com (skrol ke bahagian bawah di bawah tajuk Near Earth Asteroids)

Kita kadangkala terperangkap dengan berita sensasi yang sekali sekala keluar, hinggalah terlupa bahawa di atas sana memang banyak objek sebegini yang melintas. Paling terbaru ialah pada 18 Jan lepas, apabila sebuah asteroid bersaiz sebuah kereta (2018 DB) melintasi jarak HANYA 0.09 kali jarak Bumi ke Bulan (34,600km)!

Dekat tu!

Pada 19 Jan pula, sebuah lagi asteroid bersaiz kereta atau bas, melintasi Bumi pada jarak 0.73 kali ganda jarak Bumi ke Bulan (280,670km)!  Jika kita perasan, jarak kedua-dua asteroid tersebut sebenarnya berada di dalam kawasan orbit satelit-satelit GPS yang ada sekarang ini!

Tambahan lagi, pada 1 Sep 2017, sebuah asteroid bernama Florence, melepasi Bumi pada kedudukan 18 kali ganda  jarak Bumi ke Bulan. Asteroid ini bersaiz 4.4 km! Sebuah lagi asteroid bersaiz sebuah bas, 2017 SX17 melintasi Bumi pada jarak 87,065 km atau 0.2 jarak Bumi-Bulan pada 2 Okt 2017.

Perkataan potentially harzadous’ atau berpotensi berbahaya yang sering digunapakai sebenarnya merupakan sebuah definisi piawai mana-mana asteroid yang memenuhi kriteria di bawah:

  1. Lebih besar daripada 140 meter
  2. Melintasi Bumi pada jarak lebih dekat daripada 7.48 juta km

Jadi berbalik kepada al-kisah asteroid sebesar Burj Khalifa tu…

  1. Ya. memang ia sebuah asteroid yang besar.
  2. Tak. Ia tidak akan berlanggar dengan Bumi. Malah berdasarkan kiraan dan perangai pergerakannya sekarang, ia tidak akan berlanggar Bumi hingga 100 tahun lagi, InsyaAllah.
  3. Tarikh melintasi Bumi ialah pada 4 Februari 2018

Jika ada yang berminat nak cuba memantau pergerakan asteroid 2002 AJ19 ini, kordinatnya boleh didapati menerusi pautan di ini. Masukkan orbital elements asteroid ini ke dalam aplikasi astronomi kegemaran anda seperti Stellarium.

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

  • Empayar Islah

    Tq tuan. Menarik.

Skip to toolbar