Fenomena langit minggu ini (1-7 Jan 2018)

Minggu pertama 2018 bermula dengan kehadiran planet Utarid di ufuk timur selepas Subuh. Pada awal pagi 1 Jan, ia berada pada kedudukan paling tinggi dan mudah untuk dijejaki.

Cuba halakan pandangan sekitar 20 minit selepas Subuh.  Ia akan berada lebih kurang 10 darjah di atas ufuk. Kalau nak lebih senang, gunakan kehadiran planet Musytari dan Marikh yang berada tinggi pada arah yang sama (timur). Unjurkan satu garisan daripada Marikh ke Musytari dan teruskan garisan ini ke arah kaki langit. Ia akan bertemu dengan Utarid.

Kedudukan Utarid, Musytari dan Marikh pada awal Subuh 1-3 Jan 2018

Bulan pula akan memasuki fasa bulan penuh pada ja, 10.24 pagi hari Selasa, 2 Jan 2018.

Istimewanya ialah ini merupakan Bulan Penuh Perigee (atau lebih popular di kalangan orang awam dengan nama supermoon). Ini ialah bulan purnama yang paling besar dan cerah untuk sepanjang tahun 2018 ini.

Supermoon atau Bulan Penuh Perigee pada 2 Jan 2018 nanti. Gambar hiasan

Kebetulan pula kedudukan Bulan di langit akan berada pada titik yang paling ke utara sekali. Ini bermakna ketika ia terbit pada malam 1 atau 2 Jan 2018 nanti, berdasarkan panduan landskap anda, ia akan kelihatan terbit pada kedudukan paling ke ‘kiri’ daripada titik azimuth arah timur.

Pada awal Subuh, 3 Jan pula, perhatikan ke arah planet Marikh. Jika anda amati betul-betul, berdekatan dengannnya akan kelihatan sebuah bintang sederhana terang. Lebih mudah jika anda gunakan binokular atau teleskop. Itulah sebuah bintang bernama unik, Zubenelgenubi, salah sebuah bintang yang membentuk buruj Libra.

Marikh dan Zubenelgenubi dalam satu medan penadangan yang sama, jika dilihat menerusi teleskop berkuasa sederhana tinggi.

Pada pagi tersebut, Marikh dan Zubenelgenubi hanya dipisahkan 0.5 darjah sahaja antara satu sama lain. Sama lebarnya dengan diameter Bulan.

Jika anda perhatikan kedua-dua objek ini bermula beberapa hari sebelum dan selepas tarikh di atas, anda akan dapat lihat planet Marikh yang bergerak perlahan-lahan di kalangan bintang-bintang di langit.

Bumi akan berada pada poin paling dekat dengan matahari di dalam pusingan orbitnya, atau dikenali sebagai perihelion pada jam 2 petang, 3 Jan 2018.

Pada tengah malam ke Subuh, 4 Jan, juraian meteor Quadrantids akan memuncak. Namun, pada tahun ini cahaya Bulan yang terang akan mengganggu kenampakan meteor-meteor ini.

Kemuncak fenomena minggu ini akan berlaku pada awal Subuh, hari Ahad 7 Jan 2018, di mana Musytari dan Marikh akan berada amat dekat antara satu sama lain, iaitu hanya 0.2 darjah sahaja!

Musytari dan Marikh melintasi hampir antara satu sama lain pada subuh, 7 Jan 2018.

Ini merupakan satu lintasan yang agak unik yang melibatkan planet ‘merah’ dan planet ‘gergasi’. Hakikatnya di angkasa lepas ia berada amat jauh antara satu sama lain, tetapi menerusi sudut pandangan kita di Bumi, ia nampak akan berselisih dengan begitu dekat sekali.

Fenomena ini juga bagus untuk mula cerap bermula awal minggu ini dan lihat pergerakan kedua-dua planet ini dari hari ke hari.


Dapatkan kalendar Almanak Astronomi 2018 di sini.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *