Fenomena langit minggu ini (22-28 Jan 2018)

Fenomena

Masuk minggu keempat bulan Januari ini, Bulan sudah pun kembali menerangi langit senja kita. Dalam suasana cuaca yang masih tidak menentu, kita bernasib baik juga kerana tidak ada sebarang fenomena yang unik yang berlaku sepanjang minggu lepas. 😉

Melungsuri Almanak Astronomi 2018, kita akan dapati maklumat berikut:

  • 25 Jan – Bulan Sukuan Awal pada jam 6.20 pagi [i]
  • 26 Jan – Zuhal mula masuk ke dalam lingkungan 5º dan semakin mendekati kawasan kluster M22 dan M28 dalam buruj Sagittarius. Lihat ufuk timur selepas Subuh. [b][afk][aft]
  • 27 Jan – Bulan berada 1.8º dari bintang Aldebaran dan hampir dengan kluster Hyades. Boleh dilihat selepas Maghrib hinggalah ke selepas tengah malam. [m][b][t][afk][aft]

Planet-planet

Utarid

Planet Utarid semakin susah untuk dilihat di langit kerana ia berada terlalu dekat dengan Matahari. Apabila ia terbit, langit sudah pun semakin terang dan menyukarkan kita untuk mencarinya.

Utarid dan Zuhal pada 22 Januari 2018, 15 minit selepas Subuh. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Zuhrah

Planet Zuhrah secara amnya sudah berada di sebelah timur Matahari. Ini bermakna, ia sudah mula secara perlahan-lahan muncul di langit senja. Namun begitu, disebabkan ia masih lagi jauh di belakang matahari serta terlalu hampir dengannya, maka planet in masih tidak boleh dilihat dengan mudah. Kiraan menerusi Sky Safari 5 Pro menunjukkan ia berlegar sekitar 3-5 darjah sahaja daripada Matahari, terlalu dekat untuk sebarang cerapan yang berguna. Lagipun, disebabkan ia masih terlalu jauh daripada Bumi, bentuknya pun kecil dan tidak menyerlah.

Kedudukan planet Zuhrah berbanding dengan Bumi, jika dilihat dari orbit. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Marikh

Planet Marikh terbit sekitar jam 3 pagi (4 pagi di Sabah), dan menjelang Subuh, ia berada agak tinggi sekitar 45 darjah di atas ufuk timur. Walau bagaimanapun, ia masih terlalu kecil dan jauh. Menerusi teleskop, masih sukar untuk kita lihat sebarang rupa bentuk permukaannya. Bersinar pada kecerahan magnitude +1.3, ia kelihatan seperti sebuti bintang merah yang agak terang.

Kedudukan Musytari dan Marikh, kini berada di antara buruj Libra dan buruj Scorpius. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Musytari

Musytari pula semakin hari semakin awal kelihatan di langit. Minggu ini ia terbit lebih kurang pada jam 2.:2 pagi (3:20 pagi di Sabah). Planet ini amat terang dan hampir mustahil untuk kita boleh terlepas pandangnya! Ia kelihatan seperti sebutir bintang kekuningan yang terang di timur. Marikh berada di sebelah bawahnya. Beberapa minggu lepas, kedua-dua planet ini melintasi amat dekat antara satu sama lain. Kini ia semakin jauh terpisah.

Musytari masih berada di dalam kawasan buruj Libra, sebuah buruj berbentuk dacing yang dibentuk oleh 4-5 buah bintang yang agak kelam. Sekali imbas kita boleh tak perasan kewujudan buruj ini.

Zuhal

Planet Zuhal masih rendah di ufuk timur. Ia terbit lebih kurang 30 minit sebelum Subuh. Menjelang Subuh, ia akan berada pada ketinggian sekitar 10 darjah. Disebabkan ia terlalu rendah, sebarang cerapan terhadapnya tidak akan menghasilkan sebarang imej yang bagus kerana ia berada di dalam kawasan langit yang bergelora dan tidak stabil. Untuk cerapan planet, waktu yang terbaik mencerapnya ialah ketika ia tinggi di langit. Nampak gayanya kena tunggu lama sikit lah.

Uranus dan Neptune

Kedua-dua planet ini berada di langit senja dan ke sebelah barat. Anda perlukan teleskop untuk mencarinya. Gunakan peta bintang untuk mengenalpasti planet-planet ini disebalik puluhan bintang di kawasannya. Saya cadangkan anda gunakan teleskop berkomputer jenis GoTo, atau pergi ke balai cerap berdekatan untuk mendapat peluang melihatnya dengan lebih jelas.


Bulan

Bulan memulakan minggu ini dengan bentuk sabitnya semakin ‘menggemuk’. Pada 25 Januari nanti, ia memasuki fasa sukuan awal. Waktu-waktu sebegini merupakan antara momen yang menarik untuk meneropong suasana permukaan Bulan yang penuh dengan lubang, lekuk dan bonjolan gunung-ganang. Disebabkan sudut matahari yang masih lagi ‘sedang terbit’ jika kita berada di permukaan Bulan pada masa ini, gabungan cahaya dan bayang-bayang akan memberi satu pemandangan yang mengasyikkan.

Bulan sukuan pertama ialah antara waktu paling menarik untuk melihat sempadan malam dan siang di permukaan Bulan. Foto oleh shahgazer

Bulan akan merentasi kawasan buruj-buruj yang agak ‘boring’, seperti Aquarius dan Pisces. ‘Boring’ di sini saya maksudkan tidak mempunyai sebarang bintang-bintang cerah yang boleh menarik perhatian kita!

Namun begitu, menjelang huujung minggu nanti, pada 27 Januari, Bulan akan berada amat hampir dengan gugusan bintang Hyades dan bintang gergasi merah Aldebaran, di dalam buruj Taurus. Buat maklumat semua, untuk tahun 2018 ini, Bulan akan melintasi masuk ke kawasan gugusan bintang ini dan menghasilkan sekali lagi fenomena penghijaban. Cuba rujuk Almanak Astronomi 2018 untuk mendapatkan tarikhnya.

Bulan berhampiran dengan bintang Aldebaran dan kluster Hyades. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Lintasan Zuhal dan kluster bintang

Pada Subuh, 26 Januari 2018 nanti, planet Zuhal akan mula memasuki kawasan persekitaran beberapa buah gugusan bintang yang agak ‘terang’ di dalam buruj Sagittarius, iaitu M22 dan M28. Gugusan bintang ini amat popular dan mudah untuk dirakam menerusi kamera DSLR. Bermula daripada tarikh ini, Zuhal akan berada dalam lingkungan 5 darjah daripada kedua-dua gugusan bintang ini.

Zuhal bersama-sama kluster M22 dan M28 di dalam lingkungan 5 darjah, Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Mencerapnya agak mencabar juga kerana Zuhal masih lagi rendah di ufuk. Namun, saya jangkakan anda masih lagi boleh sekurang-kurang mendapat rakaman astrofoto yang agak memuaskan. Jika anda cuba melihatnya secara visual menerusi teleskop, anda perlu berada di kawasan langit yang gelap dan bebas dari gangguan cahaya.


Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments