Fenomena langit minggu ini (8-14 Jan 2018)

Masuk minggu kedua bulan Januari 2018 ini, suasana langit agak ‘sepi’ daripada sebarang fenomena langit yang mengujakan.


Planet-planet

Musytari dan Marikh berdampingan dekat antara satu sama lain pada Subuh, 7 Jan 2018. Foto oleh shahgazer

Setelah lintasan atau conjunction yang sungguh dekat, berlaku pada awal Subuh 7 Jan yang lalu, Musytari dan Marikh semakin menjarakkan diri masing-masing. Bagi yang perasan, warna kedua planet ini sungguh berbeza. Marikh berwarna merah manakala Musytari berwarna putih.

Pada 11 dan 12 Januari nanti, Bulan akan bergerak menghampiri pasangan planet Musytari dan Marikh. Walaupun kedudukannya tidaklah dekat sangat, namun dari pandangan mata kasar, ketiga-tiga objek terang ini bakal menghasilkan satu susunan yang cukup indah untuk dipandang.

Kedudukan Bulan, Musytari dan Marikh pada Subuh 11 Jan 2018 nanti. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Kita alihkan perhatian kepada planet Zuhrah pula. Setelah begitu lama mendominasi langit sebelah Subuh, akhirnya  pada jam 3 petang hari Selasa, 9 Januari 2018, ia berada di kedudukan superior conjunction, iaitu daripada sudut pandangan kita dari Bumi, ia berada di ‘belakang’ matahari. Zuhrah berada pada poin yang paling jauh dan tidak dapat dilihat di langit kerana ia berada amat hampir dengan matahari.

Selepas daripada tarikh ini, ia mula muncul kembali secara perlahan-lahan di langit senja.

Bulan pula memasuki fasa sukuan akhir pada 9 Januari 2018 juga. Tinggal lebih kurang 3 minggu lagi sebelum ia masuk ke dalam bayang-bayang bumi dan berlakunya kejadian gerhana bulan penuh yang dinanti-nantikan.

Pada Subuh, 13 Januari nanti satu lagi lintasan planet atau conjunction akan berlaku. Kali ini ialah antara Zuhal dan Utarid. Ia berlaku lewat Subuh dan pada kedudukan yang amat rendah di ufuk langit sebelah timur. Anda perlu mencari kawasan yang lapang selain cuaca yang tidak berawan.

Cabarannya di sini ialah ketika azan Subuh berkumandang, kedua-dua planet ini masih rendah di ufuk. Kita perlu tunggu lewat sedikit. Cuba cari sekitar 30-45 minit selepas Subuh. Namun masalahnya di sini ialah langit sudah semakin cerah, walaupun kedudukan kedua-duanya semakin tinggi.

Kedudukan Zuhal dan Utarid pada Subuh 14 Jan 2018. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Kecerahan Zuhal dan Utarid lebih cerah berbanding Marikh, jadi anda boleh buat anggaran secerah mana ianya nanti.

Saya galakkan juga, lakukan cerapan beberapa hari sebelum 13 Januari itu nanti. Anda akan dapat lihat perubahan kedudukan kedua planet ini (sama seperti apa yang berlaku di antara Musytari dan Zuhal).


Buruj

Bintang-bintang di dalam buruj Orion. Kedudukan pada waktu Maghrib dan Isya’ sekarang ini. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Buruj yang mendominasi langi senja sekarang ini ialah Orion. Ia sudahpun terbit selepas waktu Maghrib. Pandang arah timur dan kita dengan mudah akan dapati bintang-bintang terang seperti Rigel dam Betelegeuse, selain daripada 3 bintang sederet Alnitak, Alnilam, Mintaka.

Jika anda perhatikan bintang-bintang dalam buruj ini, Betelgeuse ialah satu-satunya berwarna merah. Ahli astronomi mendapati bintang ini ialah jenis super gergasi merah (red supergiant). Satelit angkasa Hipparcos telah mengira kedudukan iaitu sekitar 425 Tahun Cahaya. Namun, jarak ini masih belum tentu kerana kajian terbaru ada yang menunjukkan ia mungkin pada kedudukan 500-640 Tahun Cahaya.

Bintang Betelgeuse ini sungguh besar, iaitu 650 kali ganda lebih besar daripada matahari! Jika ia ‘diletakkan’ di dalam sistem suria kita dengan menggantikan matahari, saiz diameternya akan hampir sampai lebih separuh jalan ke Musytari! Dalam erti kata lain, planet Utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh, kesemuanya akan berada ‘di dalam’ jasad Betelgeuse!

Biduk yang mudah kelihatan pada waktu Subuh sekarang. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Pada waktu Subuh pula, buruj Ursa Major (atau lebih dikenali sebagai Biduk bagi kita di Malaysia) berada tinggi dengan mudah kelihatan di langit sebelah utara. Dua buah bintang yang paling kirinya, iaitu bintang Merak dan Dubhe, jika dibuat garisan akan menunjuk ke arah bintang kutub utara, Polaris.

Bintang Polaris amat sukar (tetapi tidak mustahil) untuk dilihat dari langit Malaysia kerana ia berada amat rendah di ufuk utara.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *