Zuhrah – pemandangan terbaru menerusi data rakaman Akatsuki

JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic

Dua hari lepas saya terpandang sebuah tweet yang menunjukkan rupa bentuk planet Zuhrah yang dirakam oleh kapal angkasa Akatsuki. Mulanya saya ingatkan ini cerita lama yang diulang tayang, tetapi rupa-rupanya bukan! Foto-foto yang dikongsi menerusi tweet tersebut merupakan hasil pemprosesan semula daripada data-data lama Akatsuki yang telah berjaya menunjukkan hiruk-pikuk tonggang terbalik atmosfera Zuhrah di dalam bentuk yang paling jelas dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

Akatsuki ialah sebuah prob angkasa lepas kepunyaan agensi angkasa Jepun yang kini sedang mengorbit planet Zuhrah dan melakukan kajian terperinci mengenai keadaan cuacanya. Dilancarkan pada tahun 2010, ia sepatutnya masuk ke dalam orbit planet tersebut pada bulan Disember 2010. Namun atas sebab kerosakan salah sebuah roketnya, prob ini terlajak ‘ke depan’ dan terpaksa mengorbit matahari beberapa kali sebelum ia berjaya dimasukkan ke dalam orbit yang betul pada bulan Disember 2015. Kisah Akatsuki ini ada saya tulis menerusi artikel INI.

Berbalik kepada foto terbaru Zuhrah, seorang peminat astronomi, Damia Bouic, telah menyelongkar beberapa imej lama Zuhrah yang disimpan di dalam Akatasuki Science Data Archive, lalu memproses kembali data-data raw. Hasilnya cukup menakjubkan.

Jom kita lihat satu per satu:


JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic 

Foto di atas menunjukkan bahagian ‘malam’ planet Zuhrah. Mengapa ia kelihatan terang, padahal sepatutnya gelap gelita? Ia terhasil dari data yang diambil menerusi 2 buah kamera jenis IR yang merakam pada julat gelombang 1.74 dan 2.26 mikron, dan sebuah kamera  jenis UVI yang merakam pada gelombang ultraviolet.

Kedua-dua gelombang cahaya ini tidak dapat dikesan menerusi mata, tetapi ia boleh dirakam oleh kamera khas seperti di atas.

Damia telah menggabungkan 2 set data gelombang cahaya tadi dan menghasilkan sebuah imej yang ‘bukan berwarna sebenar’.. atau dikenali sebagai false color image. Saintis selalunya menggunakan kaedah ini untuk melihat dengan lebih jelas apa yang berlaku dan dapat memberi gambaran lebih terperinci mengenai sifat objek yang dicerap.

Di dalam kes foto Zuhrah di atas, kamera UVI dapat melihat lapisan awan dan jerebu yang terletak pada ketinggian 65-75 km di atas permukaan Zuhrah, manakala kamera IR2 menunjukan lapisan yang lebih rendah, iaitu pada sekitar 48-55 km.

Lapisan awan yang tebal akan kelihatan lebih gelap. Warna-warna lain juga menunjukkan perbezaan komposisi atau saiz partikel yang terapung-apung di kawasan tersebut.


JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic

Formasi awan yang dirakam menerusi kamera gelombang ultraviolet UVI. Variasi warna di sini ada menunjukkan kehadiran gas sulfur dioksida yang muncul daripada lapisan bawah atmosfera dan menerjah naik ke lapisan awan. Para saintis planetari masih belum pasti sumber sebenar gas ini. Ada kemungkinan juga ia terhasil daripada sumber gunung berapi di permukaan Zuhrah. Perhatikan juga formasi pergerakan awan yang lebih ‘licin’ di kawasan kutub berbanding di kawasan latitud rendah dan khatulistiwanya.

JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic

Pandangan lebih jelas pusaran vortex yang mengelilingi kawasan kutub selatan Zuhrah. Cahaya yang diterima di kawasan ini ialah pada waktu ‘pagi’ di sana.

JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic

Kawasan di garisan lintang khatulistiwa menunjukkan rupa bentuk awan-awan yang agak kompleks. Perbezaan nada warna di sini menunjukkan adanya komponen misteri yang menyerapkan cahaya ultraviolet dan juga wujudnya gas sulfur dioksida di dalam lapisan atmosferanya.


JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic

Menerusi kamera gelombang infra-merah, IR2, jalur kawasan yang terang menunjukkan kawasan di mana suhunya lebih tinggi berbanding kawasan lain. Kena ingat, planet Zuhrah ini pun memang panas sangat, maka kawasan ‘gelap’ menerusi kamera IR2 ini tidak semestinya menunjukkan ia sejuk dan nyaman!

Jelas kelihatan dari aspek kajian meteorologi, planet Zuhrah ini sungguh kompleks dan masih banyak perlu dipelajari.


JAXA / ISAS / DARTS / Damia Bouic

Foto ini merupakan gabungan 2 buah rakaman yang dibuat pada jarak yang berlainan, bagi menampung ‘kekosongan’ data yang ada pada foto yang lebih terperinci sebelum ini. Banyak bentuk yang menarik dapat dilihat seperti rupa bentuk “V” senget yang mengelilingi Zuhrah di kawasan latitud rendahnya.

Ada banyak lagi foto-foto yang dihasilkan oleh Damia, dan ia boleh didapati di sini.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *