Fenomena Langit Minggu Ini (12-18 Feb 2018)

Minggu ini masing-masing rasanya sibuk dengan persiapan cuti panjang Tahun Baru Cina nanti. Langit pun agak sunyi daripada mana-mana fenomena yang menarik perhatian. Namun begitu, objek-objek samawi ini masih terus bergerak seperti biasa, Ia tidak menunggu kita, tetapi kitalah yang terpaksa mengejarnya. Jom kita cuba lihat apa yang boleh dilihat sepanjang minggu ini.


Utarid

Planet Utarid berada amat hampir dengan Matahari sepanjang minggu ini. Walaupun secara teknikalnya, ia berada di bahagian barat matahari (ini bermaksud ia merupakan objek langit sebelah pagi), tetapi kedudukannya sekarang menyebabkan mustahil untuk kita dapat melihatnya. Pada 17 Feb 2018 nanti, ia akan berada di kedudukan superior conjunction, iaitu ia berada di ‘belakang’ matahati dan berada paling jauh daripada Bumi.


Zuhrah

Zuhrah berada sekitar 8 atau 9 darjah di sebelah timur matahari, Ini bermakna ia merupakan objek langit di sebelah senja. Pada waktu matahari terbenam, ia berada sekitar 7-8 darjah di atas ufuk. Masih terlalu rendah untuk senang dilihat dengan mata. Namun, jika anda mempunyai teleskop, dan dengan cuba mencarinya SELEPAS matahari terbenam, saya rasa tidak mustahil untuk kita dapat melihatnya buat pertama kali setelah menghilangkan diri daripada langit pagi.

Jom kita tengok siapakah yang dapat melihat Zuhrah buat kali pertama!


Marikh

Marikh terbit sekitar 2.20 pagi (Kuala Lumpur), atau 1.20 pagi di Sabah. Sedikit demi sedikit ia semakin terang berbanding bintang-bintang lain di dalam buruj Scopius. Malah, kiraan skala magnitud menunjukkan, ia lebih sedikit lebih cerah daripada bintang Antares yang berada berdekatan dengannnya!

Marikh dan gugusan bintang M80 (atas kanan) yang dirakam pada 8 Feb 2018 lepas. Foto oleh abam shahgazer

 

Minggu lepas, Marikh melintasi sebuah gugusan bintang bernama M 80, di dalam buruj Scorpius. Minggu ini ia sudah bergerak semakin jauh daripada objek tersebut dan mula memasuki ke dalam kawasan buruj jiran, iaitu Sagittarius dan Ophiuchus.

Menerusi teleskop, ia masih terlalu kecil untuk menunjukkan sebarang ciri permukaan yang menarik.

Kedudukan Musytari, Marikh dan Zuhal sepanjang minggu ini. Lihat arah timur selepas Subuh. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 


Musytari

Musytari kini merupakan objek otai pada waktu Subuh. Jika anda memandang ke arah timur, dan mendongak ke atas, ia akan berada di situ bersinar dengan amat terang!  Malah, planet ini merupakan objek paling cerah pada waktu Subuh ketika ini!

Ia masih berada di dalam kawasan buruj Libra. Tiada lintasan dengan mana-mana objek samawi mahupun bintang-bintang yang terang sepanjang minggu ini.

Ia terbit sekitar jam 1 pagi (12 tengah malam di Sabah).


Zuhal

Zuhal pun semakin tinggi di ufuk timur selepas azan Subuh. Ia juga agak terang dan mudah untuk dikenali kerana di kawasan ini, tiada bintang yang lebih cerah daripadanya. Pada Subuh, 12 Feb, Bulan melintasi hampir dengannya.

Sepanjang minggu ini, Zuhal sedang bergerak perlahan-lahan di celah-celah 3 buah objek gugusan bintang di dalam buruj Sagittarius. M22 ialah gugusan bintang globular yang terang dan mudah dilihat menerusi teleskop, M28 juga jenis objek yang sama, sedikit kelam berbanding M22, tetapi masih boleh dilihat dengan binokular. Sebuah lagi gugusan bintang, M25 turut berada berhampiran.

Memandangkan Bulan pun sudah keluar daripada kawasan langit di sekitar Zuhal ini, anda bolehlah menggunakan peluang merakam kesemua objek-objek ini menerusi kamera DSLR dengan lens seperti 50mm f/1.8.

Persekitaran langit berhampiran dengan planet Zuhal, penuh dengan objek-objek deep sky yang menarik dan boleh dijadikan target astrofoto anda. Kotak menunjukkan medan pandangan kamera DSLR dan lens 50mm.  Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 


Uranus dan Neptune.

Uranus semakin rendah di ufuk barat, manakala Neptune boleh dikatakan mula tenggelam dek cahaya senja dan semakin sukar untuk dicerap,


Bulan.

Pada Subuh, 12 Feb 2018, Bulan berada pada poin paling ke selatan di dalam buruj Sagittarius. Selepas ini ia akan mula bergerak ke sebelah utara langit.

Cuba perhatikan bentuk sabit Bulan ini yang semakin hari semakin halus. Cabaran paling menarik ialah pada Subuh, 15 Feb nanti, di mana Bulan akan berada amat rendah di ufuk timur, dan hanya tinggal 10 jam sebelum ia memasuki fasa Bulan Baru. Ia akan berada amat rendah di ufuk. Anda perlu mencerap dari kawasan yang bebas daripada sebarang halangan. Kalau di pantai timur lagi bagus.

Adakah anda mampu mencarinya ketika saat-saat matahari hampir terbit?

Bulan sabit tua yang amat rendah sering menjadi bidikan popular di kalangan peminat hardcore astrofotografi dunia. Kedudukan Bulan pada 20 minit selepas Subuh, 14 Feb 2018 nanti. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Bulan memasuki fasa bulan baru pada 16 Feb 2018, jam 5.05 pagi.


Wallahua’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *