Fenomena Langit Minggu Ini (19-25 Feb 2018)

Trafik jam punya pasal, habis terlambat nak kemaskini fenomena mingguan langit kali ini. Mungkin bila dah ada teknologi teleportasi.. atau Malaysia masuk ke dalam Federation of Planets, baru la masalah ini selesai kot… adoiii…!

 

Ok kali ini ringkas sikit, kerana dah nak masuk hari Selasa… jom kita tengok apa yang ada di langit.


Utarid

Planet kecil ini sudah pun melintasi bahagian belakang matahari, dan kini ia berada di sebelah timur matahari. Ini bermakna, ia merupakan planet waktu senja. Namun, disebabkan ia masih terlalu hampir dengan matahari, maka agak sukar untuk kita melihatnya dengan mata kasar.  Menjelang hujung minggu nanti, ia hanya berada 6 darjah sahaja daripada matahari, terlalu hampir dan amat sukar dengan keadaan ufuk kita di Malaysia yang sentiasa berawan.

Mahu mencarinya? Lupakan dulu buat sementara waktu.


Zuhrah

Zuhrah juga masih rendah di ufuk barat. Namun dari hari ke hari, ia sebenarnya sedang perlahan-lahan menjarakkan dirinya daripada matahari. Pada sekitar 20 minit selepas Maghrib (sunset), planet ini berada 4 darjah di atas ufuk pada 19 Feb, dan menjelang 25 Feb, ia tinggi sedikit  sekitar 5.5 darjah.

Ada sesiapa yang sudah berjaya melihat planet ini buat kali pertama  pada waktu senja?


Marikh

Kedudukan Musytari, Marikh dan Zuhal di awal Subuh sepanjang minggu ini. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Marikh secara rasminya sedikit cerah berbanding bintang merah yang berhampirannya, iaitu bintang Antares. Mungkin kita agak terkeliru yang mana satu Marikh dan mana satu Antares. Secara mudahnya, Marikh berada di sebelah kiri.

Ia terbit sekitar jam 2:11 pagi di Kuala Lumpur (sejam lebih awal di Sabah). Kecerahannya kali ini semain terserlah, malah telah mengubah ‘corak’ atau bentuk buruj Scorpius!

Jika anda mempunyai teleskop bersaiz sederhana (sekitar 4 inci ke atas) dan minat astrofotografi, sesuatu yang menarik bakal berlaku pasa Subuh 20 Feb 2018. Planet ini akan melintasi amat hampir dengan sebuah gugusan bintang bernama NGC 6235, iaitu sekitar 0.05 darjah sahaja!

Boleh dikatakan seolah-olah planet ini ‘masuk’ ke dalam kawasan ribuan bintang gugusan NGC 6235 ini.

KedudukanMarikh dan NGC 6235 pada Subuh, 20 Feb 2018. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Pandangan ini lebih jelas jika anda merakamnnya menerusi kamera dan teleskop.

Lintasan ini agak menarik buat saya sendiri, kerana belum pernah berpeluang menyaksikan lintasan yang sungguh hampir sebegini yang melibatkan planet Marikh! Mudah-mudahan cuaca ok nanti.


Musytari

Musytari merupakan objek yang paling cerah di waktu Subuh. Malah, apabila ia mula terbit sekitar jam 12:30 tengah malam (11:30 malam di Sabah), sinarannya yang terang itu pasti menarik perhatian kita ketika ia sedang terbit di ufuk timur.

Ia masih berada di dalam kawasan buruj Libra.

Disebabkan ia sudah terbit semakin awal, kita sudah boleh mula mencerapnya dengan agak lama.


Zuhal

Zuhal juga terbit semakin awal, iaitu sekitar jam 3:50 pagi. Ia masih bergerak di celah-celah objek-objek deep sky, yang terdiri daripada nebula dan gugusan bintang yang cantik-cantik.

Pada 22 Feb 2018, Zuhal bersama-sama dengan 2 buah gugusan bintang yang terang, iaitu M22 dan M28, di dalam buruj Sagittarius, akan membentuk formasi segi tiga yang menarik! Ketiga-tiganya akan berada di dalam ruang medan 3 darjah sahaja. Jika anda mempunyai sebuah lens kamera atau teleskop yang mempunyai panjang fokal sekitar 300mm, ia boleh memuatkan kesemua objek ini!

Selepas itu, Zuhal akan semakin menghampiri gugusan M22, yang sungguh cantik itu. Foto di bawah di rakam pada 16 Feb lepas, menunjukkan kedudukan Zuhal dan M22, yang dirakam menerusi teleskop F=420mm.

Zuhal dan M22, pada 16 Feb 2018. Foto oleh shahgazer

 


Uranus dan Neptune

Semakin sukar dan hilang dari pandangan. Bye bye.


Bulan

Kedudukan Bulan yang tepat berada di dalam gugusan bintang Hyades, pada 23 Feb 2018 nanti. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Bulan akan memasuki fasa sukuan awal pada 23 Feb 2018 nanti. Namun, isitmewanya kali ini ialah ia melintasi betul-betul di hadapan gugusan bintang Hyades, iaitu di dalam buruj Taurus.

Ini bermakna, begitu banyak penghijaban akan berlaku pada waktu tersebut! Kita akan berpeluang melihat bintang-bintang di dalam gugusan ini hilang dan muncul dalam masa beberapa jam!

Cuma yang mencabarkan kali ini ialah cahaya bulan yang agak terang, mungkin menyukarkan sedikit penglihatan kita nanti. Gunakan binokular ataupun teleskop untuk mencerapnya. Mata kasar mungkin susah sikit.

Pandangan Bulan dan gugusan Hyades menerusi Binokular.

 

Artikel lebih lengkap akan menyusul nanti!


Dapatkan senarai lengkap Almanak Astronomi 2018 di sini.

Wallahua’lam

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *