Fenomena Langit Minggu Ini (26 Feb – 4 Mac 2018)

Fenomena

Kita dah sampai ke penghujung Februari pula! Begitu cepat masa berlalu!

Minggu ini, Bulan sedang melintasi langit selepas Maghrib, dan mendominasi langit sehingga tengah malam. Zuhrah kembali di langit senja dan lintasan asteroid dengan sebuah objek deep sky.


Planet-planet

Utarid

Planet kecil ini mula muncul di langit senja selepas Maghrib. Ia agak rendah dan agak mencabar untuk mencarinya dalam suasana langit yang masih terang. Cuba arahkan pandangan anda ke ufuk barat, sekitar 20 minit selepas matahari terbenam.

Jangan terkeliru dengan Zuhrah, kerana planet ini juga berada di dalam kawasan yang sama. Jika anda ‘ternampak’ dengan senang, sebutir bintang yang terang rendah di kaki langit, itu Zuhrah dan bukannya Utarid.

Rujuk peta di bawah untuk kenalpasti kedudukan Utarid berpandukan Zuhrah.

Kedudukan Zuhrah dan Utarid sepanjang minggu ini. Simulasi Sky Safari 5 Pro

 

Zuhrah

Bercakap mengenai Zuhrah, planet ini sudah pun muncul di kaki langit barat selepas Maghrib. Disebabkan ia begitu cerah, ia mudah dilihat sekitar 20 minit selepas Maghrib. Anda hanya perlukan kawasan pandangan langit yang luas dan tiada halangan. Kawasan pantai barat yang mengadap laut merupakan antara contoh kawasan yang strategik untuk melihat planet ini pada minggu ini.

Ia akan kelihatan semakin tinggi hari demi hari dan bergerak sedikit ke kanan (arah utara) pada waktu yang sama.

2 atau 3 hari menjelang senja hari Ahad, 4 Mac 2018 nanti, cuba perhatikan kehadiran planet Utarid yang akan melintasi planet Zuhrah ini, daripada sudut bawah kiri dan bergerak ke atas kanan.

Kedua-dua planet ini akan terpisah sejauh 1 darjah sahaja, iaitu lebih kurang 2 kali diameter bulan purnama.

Marikh

Marikh semakin hari semakin tinggi setiap hari. Ia kini sedikit lebih cerah berbanding bintang Antares, yang berada di sebelah atas kanannya.

Ia terbit sekitar jam 2 pagi (1 pagi di Sabah). Menjelang Subuh, ia sudah berada tinggi mendongak  dari arah tenggara. Walaupun ia kelihatan berada di antara Scorpius dan Sagittarius, tetapi secara rasminya ia berada di dalam kawasan sempadan buruj Ophiuchus, sebuah buruj besar yang terdiri daripada bintang-bintang yang sederhana terang.

Menerusi teleskop, Marikh masih kecil dan kurang menarik. Anda perlu melihatnya menerusi teleskop yang besar-besar seperti di balai cerap, baru best sikit.

Kedudukan Zuhal, Marikh dan Musytari pada waktu Subuh sepanjang minggu ini. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 

Musytari

Musytari masih kekal di takhta sebagai objek paling terang pada waktu Subuh. Ia tinggi di atas kepala pada waktu tersebut, dan agak mustahil untuk kita terkelirunya dengan bintang lain.

Ia berada di dalam kawasan buruj Libra dan dikelilingnya hanya bintang-bintang yang kurang menyerlah.

Cuba lihatnya menerusi teleskop. Jalur-jalur awannya amat menari perhatian, selain daripada 4 buah bulan-bulan kecilnya.

Planet ini sudah mula terbit sekitar 12.15 tengah malam (11:15 malam di Sabah). Jika anda yang jenis tidur lewat, cuba perhatikan kawasan ufuk timur sekitar jam 1 pagi. Musytari akan berada terang di situ.

Zuhal

Zuhal semakin tinggi di ufuk timur. Ketika azan Subuh, ketinggiannya sudah pun mencecah 40 darjah. Ia masih bergerak-gerak di celah-celah bintang dan objek-objek deepsky yang berada di sekitar buruj Sagittarius. Ia mula terbit sekitar jam 3.20 pagi (2.20 pagi di Sabah). Dibandingkan dengan bintang-bintang lain di dalam buruj Sagittarius, planet ini jauh lebih terang.

Menerusi teleskop atau binokular, perhatikan berhampiran dengan planet ini, terdapat sebuah gugusan bintang yang agak besar. Ini ialah gugusan bintang M22, sebuah objek deep sky yang popular di dalam buruj Sagittarius. Zuhal akan melintasi agak hampir dengan M22 pada minggu ke-3 bulan Mac nanti.


Bulan

Pada 26 Feb, Bulan akan berada pada titik paling ke utara. Ia berada di dalam kawasan buruj Gemini.

Pada 28 Feb dan 1 Mac, Bulan akan melintasi bintang Regulus, bintang tercerah di dalam buruj Leo.

Pada 2 Mac, ia akan masuk ke dalam fasa bulan purnama. Ini bermakna, sudah sebulan kita menyaksikan gerhana bulan penuh yang lalu, dan tinggal 5 bulan lagi untuk gerhana bulan penuh yang kedua bagi tahun 2018 ini.


Asteroid Vesta.

Kedudukan asteroid Vesta pada 4 Mac 2018 nanti. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 

Asteroid Vesta akan melintasi hampir dengan gugusan bintang glob, M9, di dalam buruj Ophiuchus, pada jarak 1.2 darjah sahaja. Vesta tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan memerlukan sekurang-kurangnya binokular untuk melihatnya. Ia bersinar pada magnitud 7.4

Ini ialah satu peluang astrofoto yang agak menarik. Boleh cuba ‘tangkap’ asteroid ni!


Wallahua’lam

Rujukan

Almanak Astronomi 2018

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments