Fenomena Langit Minggu Ini (5-11 Feb 2018)

Minggu lepas ramai yang memfokus segala usaha dan tumpuan terhadap fenomena Gerhana Bulan Penuh yang sungguh indah. Majoriti daripada Malaysia telah berjaya melihatnya dengan langit yang penuh indah dan cantik. Saya cukup berpuas hati dan bersyukur dengan kesungguhan anda semua, terutama sekali dalam usaha kajian gerhana yang dibuat.

Pada minggu ini pula, begitu banyak fenomena conjunction, ataupun lintasan di antara objek-objek sistem suria. Maklumlah, ketika ini Bulan memasuki fasa mengecil, dan ia pun mula bergerak di dalam kawasan langit yang terdapat banyak planet yang terang-terang.

Jom kita lihat satu per satu, apa cerita planet-planet ini.


Utarid.

Ok, kawan kita ni dah terlampau dekat dengan matahari, dan sememangnya mustahil untuk dilihat di langit. Maka, tak perlu susah-susah nak carinya!


Zuhrah.

Zuhrah pun sama. Ia masih terlalu rendah di ufuk barat, selepas Maghrib. Kedudukannya yang hampir dengan matahari menyukarkan kita menjejakinya. Tunggu lagi 2,3 minggu.


Marikh

Kedudukan Marikh bersama-sama dengan banyak objek-objek deepsky, serta Bulan. Pada Subuh 9 Feb 2018. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Marikh semakin tinggi di langit selepas Subuh. Ia terbit sekitar jam 2.30 pagi di Semenanjung, ( lebih kurang 1.30 pagi di Sabah). Ia sudah memasuki ke dalam kawasan yang padat dengan bintang-bintang di dalam buruj Scorpius. Kedudukannya pun semakin menghampiri dengan bintang Antares yang berada di bawahnya.

Jika anda masih keliru yang mana satu planet Marikh, cuba lihatnya pada Subuh, 9 Feb 2018 nanti. Bulan akan melintasi hampir dengannnya. Selain itu juga, Bulan, Marikh dan Antares akan membentuk satu garis yang hampir lurus.

Jika anda mempunyai binokular, halakan ke arah Marikh. Di sebelah bawahnya kanan bawahnya, lebih kurang 2 darjah sahaja, ada sebuah gugusan bintang bernama M80. Untuk lebih mudah melihatnya, gunakan kamera DSLR, dan lens 50mm atau lebih panjang. Rakam kawasan ini dengan waktu dedahan yang panjang, sekitar 15-30 saat.

Selain itu juga, bagi penggemar astrofotografi deepsky, Marikh berada hampir dengan nebula gelap Rho Ophiuhi Nebula yang sangat popular itu. Lebih kurang 5 darjah ke kanan lagi, berhampiran dengan bintang Antares, ada sebuah lagi gugusan bintang, M4.

Minggu yang sibuk untuk Marikh!


Musytari

Musytari terbit sekitar jam 1.30 pagi. Kebetulan pada Sabtu malam Ahad lepas, langit cantik di KL, saya berpeluang melihatnya terbit sekitar jam 2 pagi, memang terang benderang!

Ia masih berada dalam kawasan buruj Libra.

Kedudukan Bulan yang hampir dengan Musytari, pada Subuh 8 Feb 2018. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 

Pada Subuh, 8 Feb nanti, Bulan akan melintasi hampir dengan planet ini. Jika anda masih tidak tahu yang mana satu Musytari, gunalah peluang pada lagi tersebut.


Zuhal

Zuhal pun semakin tinggi setiap hari. Ia terbit sekitar 4.40 pagi (3.40 pagi di Sabah), dan menjelang azan Subuh, ia berada agak tinggi di ufuk timur dan kita mudah dapat melihatnya. Namun begitu kedudukannya yang rendah, ia masih kurang sesuai untuk dirakam menggunakan kamera planetary kerana perolakan udara yang tidak stabil di kawasan rendah sebegitu. Tunggu sebulan dua lagi untuk ia menjadi lebih tinggi dan berada di kawasan langit yang lebih stabil.

Zuhal, satu-satunya objek yang cerah berhampiran dengan ufuk sebelah timur. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Kebetulan pula, sepanjang minggu ini, Zuhal semakin hampir dengan beberada objek deepsky yang menarik di dalam buruj Sagittarius. Gugusan bintang M22 dan M28, serta M25, kesemuanya berada di dalam lingkungan 5 darjah sahaja daripada Zuhal!

Persekitaran planet Zuhal pada minggu ini, penuh dengan objek-objek deepsky seperti gugusan bintang dan nebula. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

 

Peluang astrofografi yang menarik!


Uranus dan Neptune.

Kedua-dua planet ini berada di langit barat, semakin rendah. Jika anda masih mahu cuba menjejakinya menggunakan teleskop, masih ada peluang lagi.


Bulan

Bulan yang dirakam pada 4 Feb 2018 lepas. Foto oleh shahgazer.

 

Pada awal Subuh, 6 Feb, Bulan akan berada hampir dengan bintang Spica. Bintang Spica ini terletak amat hampir dengan garisan ekliptik, iaitu sebuah garisan laluan planet-planet dan Bulan. Maka, ia sentiasa dilintasi oleh Bulan setiap bulan!

Pada 7 Feb nanti, Bulan akan memasuki fasa Sukuan Akhir. Ketika ini ia berada di antara buruj Virgo dan Libra.

Pada Subuh 8 Feb, Bulan akan bergerak hampir dengan Musytari.

Pada Subuh, 9 Feb, Bulan akan melintasi hampir dengan Marikh pula.

Pada Subuh, 11 Feb, Bulan akan berada rendah di ufuk timur. Planet Zuhal akan berada di sebelah bawahnya! Peluang untuk mengenalpasti yang mana satu planet Zuhal!


Jangan lupa rujuk Almanak Astronomi 2018 untuk senarai fenomena menarik akan datang.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *