Pencerap bintang amatur merakam saat-saat awal letupan supernova!

Supernova 2016gkg (tandaan merah) di dalam galaksi NGC 613,yang terletak antara 40-80 juta tahun cahaya dari Bumi di dalam buruj Sculptor. (Foto oleh C. Kilpatrick, UC Santa Cruz, dan Carnegie Institution for Science, Las Campanas Observatory, Chile)

 

Adalah amat jarang untuk seorang pemerhati langit menemui sebuah bintang yang sedang meletup, atau dikenali sebagai supernova. Di dalam zaman sekarang di mana proses mencerap langit dilakukan secara automatik menerusi jaringan balai cerap moden dan canggih, peluang untuk seseorang mendapat peluang sedemikian semakin tipis.

Supernova merupakan satu kejadian di mana sebuah bintang yang berada di hujung hayatnya, mati dengan cara meletup yang amat dahsyat. Tenaga yang dijanakan ketika letupan sesebuah supernova ini menyamai jumlah KESEMUA tenaga atau cahaya bintang-bintang di dalam sebuah galaksi!

Selalunya, ahli astronomi hanya dapat melihat kejadian ini apabila bintang itu sudah pun meletup hancur. Tidak pernah dalam sejarah, kita pernah melihat proses ia SEBELUM dan SEDANG meletup… hinggalah sekarang!

Victor Buso di hadapan teleskopnya yang berjaya merakam supernova 2016gkg. (Victor Buso)

 

Pada 20 Sep 2016, seorang ahli amatur dari Argentina, Victor Buso, sedang melakukan ujikaji kamera barunya pada teleskop 16 inci.. Beliau merakam beberapa siri foto ke atas sebuah galaksi bernama NGC 613 di dalam buruj Sculptor, yang terletak lebih kurang antara 40-80 juta tahun cahaya daripada Bumi.

Semasa beliau meneliti kembali foto yang diambil, didapati wujudnya sebutir ‘bintang’ yang sepatutnya tidak berada di dalam kawasan galaksi tersebut. ‘Bintang’ ini dilihatnya semakin cerah dan terang, daripada satu frame gambar ke frame gambar yang selepasnya.

Ahli astronomi, Melina Bersten dna rakan-rakan pengkajinya di Instituto de Astrofisica de La Plata, apabila dihubungi oleh Victor, mendapati ini merupakan satu fenomena yang unik yang telah berjaya dirakam oleh Victor.

Foto negatif yang menunjukkan kemunculan supernova SN 2016gkg ketika ia mula muncul dan semakin cerah. Kesemua foto ini dirakam dalam julat masa 25 minit sahaja! . Foto oleh Vistor Buso, data oleh Melina Bersten.

 

Apa yang dilihat di atas ialah saat-saat awal cahaya yang terhasil daripada sebuah supernova yang ‘baru sahaja meletup’! Digelar sebagai ‘the first optical light’, ia merupakan cahaya yang terbentuk apabila tekanan supersonik yang amat kuat hasil di dalam teras bintang tadi, berlanggar dengan gas-gas di bahagian lapisan luar bintang tersebut dan memanaskannya dalam keadaan yang amat dahsyat sehingga menghasilkan cahaya yang terang secara mendadak.

Paling menarik perhatian saya di sini ialah jarak masa di antara foto pertama dengan yang terakhir ialah 25 minit sahaja! Cepat benor perubahan cahaya akibat letupan supernova ini!

Video di bawah merupakan SIMULASI keadaan saat-saat awal letupan sebuah supernova

 

Menurut seorang ahli astronomi popular yang sering muncul dalam Discovery Channel, Alex Filippenko, dari UC Berkeley, fenomena fasa awal letupan supernova ini tidak pernah berjaya dicerap sebelum ini dan sudah menjadi idaman saintis sejak sekian lama! Selalunya apa yang kita berjaya rakam ialah kesan pancaran dalam julat cahaya yang lain, seperti pancaran gamma dan pancaran x-ray.

“Ia seperti menang loteri!” kata Filippenko.

“Kebarangkalian Victor menemui fenomena seperti ini adalah seperti 1 dalam 10 juta, atau mungkin lebih kecil dari 1 dalam 100 juta!” tambah Melina.

Supernova yang diberi nama SN 2016gkg telah dirakam dan dikaji selama 2 bulan selepas itu oleh Melina Bersten dan rakan sekerjanya, dan juga pasukan Filippenko.

Hasil pemerhatian yang dibuat dan diserasikan dengan model teori yang sedia ada, menunjukkan jisim bintang yang asal itu adalah sekitar 20 kali lebih berat berbanding matahari, tetapi turun menjadi 5 kali berat matahari sahaja sebelum ia meletup. Pengurangan ini mungkin disebabkan sebahagian jisimnya ‘dicuri’ oleh sebuah lagi bintang pasangan yang berada berhampirannya.

Penemuan unik ini merupakan satu lagi detik bersejarah dalam kajian astrofizik menerusi usaha memahami perangai atau cara hidup dan mati sesebuah bintang.

Laporan asal ini telah diterbitkan di dalam jurnal Nature baru-baru ini.


Rujukan

 

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar