Fenomena Langit Minggu Ini (5 Mac – 11 Mac 2018)

Fenomena

Dalam minggu ini, Bulan mula kembali mengecil di dalam fasa yang dikenali sebagai waning gibbous moon. Ia akan mula melintasi deretan 3 planet pada waktu Subuh.


Utarid dan Zuhrah

Zuhrah dan Utarid yang dirakam di Piwnice, Torun, Poland. Foto oleh Piotr Potępa. Sumber.

Sepanjang minggu ini, kedua-dua planet ini seolah-olah berlumba sambil bergerak ke arah utara langit. Berdasarkan pandangan mata kita, dari hari ke hari, planet-planet ini akan kelihatan bergerak ke sebelah kanan, dan semakin tinggi sedikit demi sedikit.

Kedudukan Zuhrah dan Utarid pada Maghrib, 6 Mac 2018. Simulasi Sky Safari 5 Pro

Zuhrah merupakan yang paling terang di antara kedua planet ini. Utarid akan berada di sebelah kanan Zuhrah. Cuba cari kedua-dua planet ini sekitar 20 minit selepas Maghrib, pada waktu langit sudah pun semakin gelap. Zuhrah akan berada sekitar 7 darjah di atas ufuk pada waktu tersebut, dan menjelang hujung minggu, ia akan semakin tinggi menjadi 8 darjah.

Jangan cuba mencerap pada waktu Isya’ kerana kedua-dua planet ini sudah pun terbenam sekitar 50 minit selepas Maghrib.


Marikh

Trio planet yang dirakam oleh penulis pada 27 Feb 2018 lepas. Sumber.

Planet merah Marikh mula terbit sekitar jam 1.50 pagi (12:50 pagi di Sabah). Kecerahannya sekarang ialah pada amgbitud 0.8 , sedikit lebih cerah berbanding bintang Antares yang berada di sebelah atas kanannya.

Menerusi teleskop, ia masih kecil. Namun setelah dirakam menerusi kamera video khas untuk merakam planet, dan disambung pada teleskop berfokal panjang, saya mendapati kita sudah boleh melihat kawasan-kawasan gelap di atas permukaannya.

Planet ini masih sedang merentasi buruj Ophiuchus, dan berada di antara Scorpius dan Sagittarius.

Berhampiran dengan Marikh, ada sebuah bintang kebiruan yang bernama theta Ophiuchi. Pada awal minggu ini kedua-dua objek ini akan dipisahkan sejauh 2.5 darjah, dan semakin jauh dari hari  ke hari. Cerapan menerusi binokular akan menampakkan kedua-duanya serentak, dan jika dirakam menerusi kamera, saya jangkakan ia akan cantik, sebab warnanya amat berlawanan antara satu sama lain, Marikh berwarna merah, manakala bintang theta Oph berwarna kebiruan.

Pada Subuh, hari Sabtu 10 Mac, Bulan akan melintasi hampir dengan planet ini.


Musytari

Planet gergasi ini mula terbit sekitar jam 11:45 malam (10:45 malam di Sabah). Menjelang Subuh, ia sudahpun melepas garisan meridian, iaitu satu garisan yang menyambungkan titik utara dan selatan. Maknanya , ia tinggi di atas langit pada waktu Subuh nanti.

Menerusi teleskop, planet Musytari cukup indah dan banyak ciri-ciri permukaan yang boleh dilihat. Paling utama ialah garisan berbelang yang merentasinya. Itu ialah jalur-jalur awan yang mempunyai variasi warna yang berbeza-beza. Lagi besar teleskop digunakan, lagi banyak jalur yang dapat dilihat.

4 buah planet utama planet ini, iaitu Io, Europa. Ganymede dan Europa, merupakan target mudah yang senang dapat dilihat walaupun menggunakan teleskop yang kecil. Disebabkan Musytari terbit awal, kita akan mempunyai lebih kurang 6 jam untuk mencerapnya. Dalam masa 6 jam ini, kita akan dapat lihat keempat-empat bulan ini berubah kedudukan dengan banyaknya.

Contoh di bawah menunjukkan kedudukan bulan-bulan ini jika dicerap dalam sela masa 1 jam sahaja.

Selain daripada pergerakan yang laju, bulan-bulan ini juga kadangkala akan menghasilkan bayang-bayang di atas permukaan Musytari. Bayang-bayang ini umpama gerhana matahari yang sedang berlaku di sana. Menerusi teleskop berkuasa tinggi, ia akan kelihatan seperti titik hitam yang bergerak sama laju dengan bulan yang menghasilkannya.

InsyaAllah dalam masa terdekat, saya cuba siapkan sebuah artikel khas mengenai cara menjejaki bayang-bayang ini.

Tiada lintasan dengan bintang-bintang yang terang sepanjang minggu ini.

Pada Subuh, 7 dan 8 Mac, Bulan akan berada hampir dengan planet ini.


Zuhal

Zuhal melintasi hampir dengan gugusan bintang glob, M22 (bawah kanan). Foto oleh shahgazer

Zuhal mula terbit sekitar jam 3 pagi (2 pagi di Sabah).  Pada waktu Subuh, ia sudah berada agak tinggi sekitar 45 darjah di atas ufuk tenggara.

Planet bergelang ini masih berkeliaran di dalam kawasan buruj Sagittarius. Dalam masa beberapa hari ini, ia akan semakin mendekati gugusan bintang glob, M22. Kedua-dua objek ini dipisahkan kurang dari 2 darjah.

Pada Subuh, hari Ahad 11 Mac 2018 nanti, Bulan akan melintasi hampir dengan planet ini.


Bulan

4 objek sistem suria sederat, pada Subuh 9 Mac 2018. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Bulan akan berada hampir dengan bintang bernama Spica, pada 5 dan 6 Mac 2018 nanti. Bintang Spica ini merupakan bintang utama dalam buruj Virgo. Spica terletak hampir dengan garisan ekliptik, iaitu satah laluan Bulan, Planet dan Matahari. Itulah sebabnya ia sentiasa dilawati oleh Bulan, setiap bulan!

Pada 7 & 8 Mac 2018, Bulan akan lintas Musytari.

Pada 9 Mac, Bulan akan membentuk segi tiga bersama-sama dengan Marikh dan bintang Antares. Pada hari ini juga, Bulan berada di dalam fasa sukuan akhir.

Pada 10 Mac, Bulan akan berada hampir dengan Marikh.

Pada 11 Mac, Bulan akan melintasi Zuhal dan berada pada poin paling ke selatan di langit.


Wallahua’lam.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments