Sebuah bintang yang sedang menghampiri lohong hitam bakal menguji teori Einstein sekali lagi

Orbit bintang S0-2 (biru muda) mengelilingi lohong hitam supermasif Bima Sakti, bakal menguji teori Einstein General Relativity. KREDIT: S. SAKAI/A.GHEZ/W. M. KECK OBSERVATORY/ UCLA GALACTIC CENTER GROUP

Sebuah bintang yang amat besar, diberi nama SO-2 (atau ringkasannya S2), yang terletak berhampiran dengan pusat galaksi Bima Sakti sedang mengorbit lohong hitam gergasi yang terletak di sana pada jarak yang amat dekat. Berdasarkan pemerhatian yang dibuat sejak beberapa tahun lepas, didapati orbit bintang S2 ini makin lama makin mengecil, menunjukkan ia sedang menjunam menghampiri lohong hitam ini. Ahli astronomi sedang memerhatikan dengan penuh minat apakah yang akan terjadi dengan bintang ini nanti.

Bintang S2 ini merupakan sebuah bintang 15 kali ganda lebih besar daripada matahari, menjadikan ia amat terang dan ‘senang’ dilihat dari Bumi, walaupun ia terletak pada jarak 26,000 tahun cahaya daripada kita.

Lohong hitam yang terletak di pusat Bima Sakti kita ini pula, dikenali dengan nama Sagittarius A* (atau singkatan Sgr A*), merupakan sebuah lohong hitam 4 JUTA kali ganda jisim matahari!  Walaupun bunyinya ‘besar’ tetapi hakikatnya lohong hitam Sgr A* ini akan normal dan biasa berbanding lohong-lohong hitam lain di dalam galaksi lain. Para saintis yang mengkaji mengenai objek lohong hitam ini telah mendapati seperti ada kaitan di antara jisimnya dengan saiz sesebuah galaksi.

Bagaimana cara untuk mengira jisim ini? Salah satu metodnya ialah mengira pergerakan objek-objek di sekeliling lohong hitam ini, dengan menggunakan formula seperti hukum Kepler. Maka di sini, kejadian yang bakal dihadapi oleh bintang S2 ini nanti akan dapat membantu kita memahami lebih mendalam ciri-ciri galaksi Bima Sakti yang kita duduki sekarang.

S2 mengorbit Sgr A* di dalam orbit yang berbentuk elips dan mengambil masa 15 tahun untuk melengkapi satu pusingan. Ia kini berada pada jarak 300 bilion km daripada lohong hitam itu tadi. Apabila ia semakin hampir dengan Sgr A*, jaraknya akan menjadi hanya 18 bilion km sahaja.

18 bilion km dalam skala astronomi, amat-amat dekat dengan lohong hitam tersebut!

Malah, pada saat tersebut, graviti melampau Sgr A* itu akan menyebabkan bintang S2 ini bergerak pada kelajuan 6000 km sesaat! Kalau dinisbahkan, ia umpama ulang alik dari Padang Besar (Perlis) ke Johor Bahru sebanyak 7 kali dalam masa 1 saat sahaja!

Laju tu!


Kiraan berdasarkan lintasan terakhir bintang S2 dengan Sgr A* pada tahun 2002 menunjukkan jisim lohong hitam ini ialah sebanyak 4.5 juta kali ganda matahari!

Ada banyak lagi pemerhatian yang sedang dibuat. Ada juga kemungkinan faktor-faktor yang tidak diketahui yang bakal ‘merosakkan’ kiraan itu nanti. Di antaranya ialah ada kemungkinan S2 merupakan sebuah sistem bintang kembar. Ini bermaksud ia terdiri daripada 2 bintang yang saling mengorbit antara satu sama lain. Jika betul, maka kiraan semula terpaksa dilakukan dan nilai 4.5 juta tadi tu mungkin berubah.

Namun begitu, nasib menyebelahi para saintis. Data cerapan terbaru yang dibuat oleh ahli astronomi dari UCLA di Hawaii baru-baru ini menunjukkan bintang S2 ini ialah bintang tunggal.

Bonusnya di sini ialah pengkaji berpeluang membuktikan satu lagi teori Einstein (General Relativity) yang meramalkan cahaya yang datang daripada satu sumber graviti yang kuat akan diregangkan. Mereka mendapati pergerakan bintang S2 ini merentasi lohong hitam dalam jarak yang amat dekat ini boleh membuktikan teori ini menerusi cerapan yang dibuat.

Kajian-kajian ini amat menarik di mana gabungan pengetahuan fizik, kiraan matematik dan lain-lain cabang ilmu, dapat menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai objek misteri lohong hitam Sgr A* yang terletak nun jauh 26,000 tahun cahaya daripada bumi!

Sedikit penerangan. Disebabkan Sgr A* ini tertetak pada jarak tersebut, ini bermakna apa yang kita sedang lihat dan cerap sekarang ini sebenarnya dah berlaku 26,000 tahun dahulu. Cahayanya baru saja sampai kepada kita sekarang.

*MasyaAllah.


Bacaan lanjut

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar