Siapa sedia, juraian meteor Lyrids kembali pada awal pagi 22 April 2018!

Contoh lintasan sebuah meteor yang berjaya dirakam. Kredit Harris Jeffrey/ Sabah Stargazers

Pada hujung minggu ini, kita berpeluang menyaksikan satu lagi musim juraian meteor yang menarik. Meteor Lyrids dijangka akan berada pada kemuncaknya pada awal pagi, 22 April 2018 nanti.

Diskus artikel ini di Forum FalakOnline.

Meteor Lyrids ini merupakan peninggalan habuk dan debu daripada sebuah komet bernama Komet Thatcher, sebuah komet berdurasi lama yang mengorbit matahari setiap 415 tahun. Walaupun komet ini berada di dalam orbit yang sungguh besar, ia telah meninggal habuk dan debu yang tertanggal daripada jasadnya.

Menurut catatan sejarah, ahli astronomi China pernah merekod kemunculan meteor ini seawal 687 sebelum masihi. Komet Thatcher ini ditemui oleh A.E. Thatcher ketika  kemunculannya pada tahun 1861. Komet ini dijangka akan kembali menghampiri kawasan persekitaran orbit Bumi, pada tahun 2276.

Setiap tahun, di antara 16 April hingga 25 April, Bumi akan melintasi masuk ke dalam kawasan habuk dan debu ini. Apabila sebahagian daripada habuk ini berlanggar dengan atmosfera Bumi, ia akan menghasilkan meteor.


Bilangan meteor

 

Berdasarkan kajian dan rekod terdahulu, meteor Lyrids dijangka akan menghasilkan sekitar 15 hingga 20 meteor setiap jam, pada tarikh kemuncak 22 April 2018 nanti. Bilangannya akan berkurangan sebelum dan selepas tarikh tersebut.

Jangkaan terbaru untuk tahun ini ialah ia mungkin mencapai sekitar 18 meteor setiap jam.

Walau apa pun, bilangan sebenar meteor ini tidaklah perlu dirisaukan sangat. Apa yang penting, pergi keluar dan lihat sendiri kemunculan meteor-meteor tersebut!


Arah mana harus dipandang?

 

Meteor Lyrids ini akan kelihatan mula muncul dari arah sebuah buruj bernama Lyra. Titik muncul ini dipanggil sebagai radian. Buruj ini berada di kawasan langit sebelah utara,  Ia mula terbit sekitar tengah malam pada arah Timur Laut (dari langit Malaysia). Menjelang Subuh, buruj ini berada pada kedudukan paling tinggi, iaitu sekitar 60 darjah di atas ufuk Utara.

Simulasi arah munculnya meteor-meteor Lyrids, pada jam sekitar 4 pagi dari langit Malaysia dan Asia Tenggara. Simulasi Sky Safari 6 Pro

Namun begitu, seperti mana yang sering saya sebutkan sebelum ini, jangan tumpukan ke arah buruj Lyra ini sahaja. Meteor-meteor ini akan kelihatan muncul di mana-mana kawasan langit.

Anda hanya perlu fokus kepada kawasan langit yang paling gelap dan jauh daripada gangguan cahaya. Anda juga tidak perlu menggunakan sebarang alat. Pencerapan meteor hanya memerlukan mata sahaja. Tinggalkan teleskop atau binokular anda di rumah!

Prospek tahun 2018 ini agak bagus. Bulan terbenam sekitar tengah malam juga. Maka, kita akan disajikan dengan langit yang gelap dan tiada gangguan cahaya bulan, di sepanjang waktu cerapan meteor ini nanti! Cuba cari kawasan yang langitnya gelap dan berwarna hitam. Cuba elakkan melihat daripada kawasan tengah-tengah bandar yang banyak lampu.

Saya syorkan anda membaca artikel “Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu”. Menerusi artikel ini saya ada menerangkan apakah itu meteor, selain daripada cara melihat dan cara merakam gambarnya.

Diskus artikel ini di Forum FalakOnline.

Selamat mencerap Meteor Lyrids.


Rujuk Almanak Astronomi 2018 untuk senarai fenomena langit sepanjang 2018.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *