Istiqbal Musytari kembali lagi di hari mengundi!

Dalam diam-diam, rupa-rupanya kita sudah sampai ke tarikh keramat, iaitu fenomena istiqbal atau opposisi planet Musytari!

Pada jam 8:41 pagi, 9 Mei 2018, planet gergasi Musytari ini akan berada tepat bersetentang dengan kedudukan Matahari. Ini bermakna, sebaik sahaja waktu Maghrib bermula pada hari yang sama, planet ini akan mula terbit di ufuk timur.

Posisi istiqbal Musytari di mana ianya berada sederet dengan Bumi dan Matahari. Selain itu ianya bersetentang atau berlawanan arah dengan Matahari. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Fenomena isqtiqbal (atau opposition dalam bahasa Inggeris) merupakan fenomena biasa yang akan dialami oleh setiap planet yang berada di dalam orbit yang lebih jauh ke belakang daripada Bumi. Ini bermakna selain daripada Musytari, planet-planet seperti Marikh, Zuhal, Uranus, Neptune dan Pluto akan, pada tarikh-tarikh tertentu, berada pada kedudukan berlawanan arah dengan Matahari ini.


Apakah keistimewaan fenomena ini?

Ketika fenomena istiqbal ini, planet Musytari akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi. Ini akan memberi peluang untuk kita melihatnya dalam kedudukan yang dekat dan lebih jelas. Menerusi teleskop, jalur-jalur awan yang merentasi Musytari akan kelihatan semakin jelas. Ribut taufan gergasi yang dikenali sebagai the Great Red Spot akan lebih mudah dicerap dan diamati.

Pada ketika ini juga, planet Musytari akan dapat dilihat sepanjang malam, bermula Maghrib, hinggalah Matahari terbit pada keesokannya.

Ini bermakna, menjelang tengah malam, ianya akan berada tepat di atas kepala, serta berada pada kedudukan langit yang paling jelas dan stabil persekitarannya.

(Nota: Jika kita hendak melihat sesebuah planet dalam keadaan yang paling jelas dan tidak kelihatan ‘berombak-ombak’, ia perlu berada pada kedudukan paling tinggi di langit. Jika ia masih rendah di ufuk, ia tidak akan nampak begitu jelas kerana persekitaran langit di ufuk/kaki langit tidak sesuai untuk cerapan planet atau mana-mana objek angkasa lain)

Fenomena istiqbal ini secara amnya akan berlaku setahun sekali (kecuali Marikh, di mana ia berlaku setiap 2 tahun 2 bulan).

Kali terakhir Musytari berada pada posisi iqtiqbal ialah pada 7 April 2017.


Apakah perbezaan istiqbal Musytari tahun ini berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini?

Ia berlaku pada tarikh PRU14  😉


Bilakah kita boleh melihat Musytari ini?

Secara teknikalnya, pada 9 Mei 2018 nanti, ia sudah terbit semasa Maghrib. Namun, saya cadangkan, pandang ke arah TIMUR, sekitar 30 minit selepas Maghrib.

Musytari akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ yang amat cerah.

Harap kita jangan terkeliru dengan Zuhrah. Planet Zuhrah kini juga sedang memancar terang tetapi di dalam arah berlawanan di sebelah barat. Musytari berada di timur.

Musytari sudah mula kelihatan dengan lebih jelas sekitar 30-40 minit selepas Maghrib di arah Timur. Simulasi Sky Safari 6 Pro


Boleh nampak dengan mata kasar ke?

Ya. Planet Musytari ini sungguh terang dan ia mudah dilihat dengan mata kasar.

Namun, jika anda ingin melihat jalur-jalur awan, serta deretan bulan-bulannya, perlulah menggunakan sebuah teleskop berkuasa sederhana.


Di kawasan buruj manakah Musytari kini berada?

Musytari masih berada di dalam kawasan buruj Libra, sebuah buruj yang terbentuk hasil susunan bintang-bintang yang agak kelam. Secara amnya, Musytari berada bersebelahan dengan buruj Scorpius.

Kedudukan Musytari di dalam kawasan buruj Libra dan berhampiran dengan buruj Scorpius. Simulasi Sky Safari 6 Pro


Saya tak sempat nak tengoklah pada tarikh tersebut sebab sibuk nak tahu keputusan pilihanraya. Bilakah lagi saya dapat melihat planet ini?

Anda tidak perlu risau jika terlepas peluang menyaksikan saat-saat istiqbal ini. Fenomena istiqbal ini hanya sekadar meraikan kedudukan sesebuah planet bersetentang dengan Matahari. Itu saja pun.

Musytari masih boleh dilihat esok lusa atau malah berbulan-bulan selepas ini. Ia masih kelihatan sama, terang di langit dan mudah dilihat dengan mata kasar. Cuma kedudukannya sahaja akan berubah sedikit dari hari ke hari.


Kenapa saya tidak nampak planet ini sama dengan gambar-gambar di dalam internet?

Salah faham yang selalu berlaku di kalangan kita ialah membandingkan apa yang dilihat menerusi teleskop dengan gambar-gambar.

Kedua-dua cara ini akan memberi hasil yang berlainan.

Menggunakan mata menerusi teleskop, Musytari akan kelihatan seperti satu bebola kekuningan yang direntasi oleh 2 hingga 4 jalur-jalur gelap (awan-awannya), sementara bulan-bulan Musytari akan kelihatan seperti titik-titik terang seperti bintang di sisinya. Inilah apa yang dapat dijelmakan menerusi mata kita.

Bulan-bulan Musytari akan kelihatan seperti deretan titik-titik kecil di sisi planet tersebut. Foto ini dirakam oleh penulis pada 15 Feb 2017. Sumber

 

Manakala gambar-gambar yang dirakam, dapat menunjukkan dengan lebih jelas rupa bentuk awan-awan di Musytari, serta kadang-kala dapat melihat bentuk bulan-bulannya dengan lebih jelas (bukan sekadar titik-titik kecil). Gambar yang dirakam itu ialah apa yang dapat dilihat dengan kamera yang digunakan. Ia kemudian akan melalui proses post-processing seperti stacking dan sharpening, untuk menonjolkan lagi ciri-ciri yang mungkin sebelum ini kelihatan kabur sahaja.

Musytari yang dirakam pada 29 April 2018 oleh penulis. Lihat betapa jelasanya pusaran ribut taufan gergasi The Great Red Spot. Sumber.

 

Maka, secara amnya, kedua-dua kaedah ini mempunyai kelebihan masing-masing. Terpulang kepada anda memilih cara yang sesuai berdasarkan citarasa masing-masing.


Selamat mengundi dan mencerap Musytari!

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *