Hayabusa2 menghampiri asteroid Ryugu yang berbentuk kuib seperti kapal angkasa Borg!

Foto asteroid Ryugu yang dirakam oleh Hayabusa2

Dalam diam-diam, misi angkasa Hayabusa2 sudah pun menghampiri ke destinasinya, asteroid bernama Ryugu.

Ketika kita sibuk bercuti Aidilfitri, dan dengan keadaan line data di kampung yang tersangkut-sangkut, rupa-rupanya prob ini sudah pun memulakan fasa-fasa akhir, yakni memasuki orbit di sekeliling asteroid Ryugu, sebuah objek yang mempunyai saiz sekitar 900 meter!

Jika ada yang masih ingat, pada tahun 2003 dulu, Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), telah pun melancarkan sebuah misi yang namanya hampir sama, iaitu Hayabusa. Misi tersebut merupakan misi ‘abang’ kepada Hayabusa2, yang mana ia telah pun berjaya mengumpul beberapa sampel bahan-bahan permukaan sebuah asteroid bernama Itokawa dan dibawa pulang ke Bumi pada 13 Jun 2010.

Bertitik-tolak daripada itu, misi Hayabusa2 ini mempunyai tujuan yang sama, iaitu berusaha membawa pulang lagi banyak sampel asteroid. Ia dilancarkan pada tahun 2014 yang lalu. Menerusi laluan orbit yang sungguh kompleks bagi menjimatkan bahan api, Hayabusa2 ini dijangka akan memasuki orbit Ryugu pada 27 Jun 2018 nanti.

Sila klik pautan INI untuk dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai misi Hayabusa2

Ketika artikel ini ditulis, prob ini sudah berada kurang daripada 60km daripada Ryugu. Menerusi foto-foto yang dirakam sebelum ini, didapati asteroid ini mempunyai bentuk yang pelik. Ia kelihatan seperti sebuah kuib!

Foto terbaru Ryugu pada 20 Jun 2018.

Bentuk bersegi-segi ini adalah dipercayai kerana jisim asteroid ini terlalu kecil untuk menghasilkan daya tarikan graviti yang kuat . Hasilnya, bentuknya tidak mempunyai bentuk yang konsisten dan tersusun, atau dalam erti kata lain ia tidak mampu menjadikan dirinya berbentuk sfera.

Banyak komen di media sosial yang menyamai bentuk asteroid ini seperti kuib rubik ataupun seperti kapal angkasa makhluk asing Borg dalam siri Star Trek! 🙂

Siri sains fiksyen Star Trek yang memperkenalkan kapal angkasa berbentuk kuib oleh maklukh yang dikenali sebagai Borg.

 

Satu lagi pemerhatian yang dibuat ialah, ia berpusing lengkap di atas paksinya selama 7.5 jam.

Foto-foto awal Ryugu ini telah mengejutkan pengurus misi JAXA, Makoto Yoshikawa. Beliau mengatakan bentuk Ryugu ini hampir sama dengan sebuah lagi asteroid bernama Bennu, yang mana sebuah lagi misi peninjau OSIRIS-REx sedang berjalan. Ia juga berbentuk hampir sama dengan sebuah lagi asteroid, 2008 EV5, yang mana satu lagi misi kendalian negara-negara Eropah sedang dijalankan.

“Setakat ini , semua asetroid yang telah diterokai mempunyai bentuk yang berbeza-beza. Ryugu dan Bennu merupakan kali pertama 2 buah asteroid berlainan yang mempunyai bentuk yang hampir sama.” Ujar beliau lagi.

Lakaran artis, peninjau angkasa Hayabusa2 sedang menghampiri permukaan asteroid Ryugu.

 

Apakah yang akan dilakukan oleh Hayabusa2 selepas ini? Sebaik sahaja ia memasuki orbit, dan berada sekitar 20 km di atas permukaan Ryugu, ia akan melepaskan sebuah pendarat yang kecil, bernama Mobile Asteroid Surface Scout (MASCOT), serta 3 buah rover. Ini akan dilakukan di antara September 2018 dan Julai 2019 nanti.

(Atas: Video menarik menunjukkan bagaimana MASCOT akan dilepaskan daripada Hayabusa2 dan mendarat di atas Ryugu)

Satu lagi yang menarik ialah, Hayabusa2 akan menghentam permukaan asteroid ini dan menghasilkan sebuah kawah ‘buatan manusia’. Kemudian ia akan perlahan-lahan turun dan mengumpul bahan-bahan yang telah dihambur keluar daripada bawah permukaan Ryugu. Jika berjaya, bahan-bahan ini akan dibawa pulang ke Bumi pada hujung 2020 nanti untuk dianalisa.

(Atas: simulasi laluan orbit Hayabusa2 semasa ia bergerak menghampiri Ryugu)

Keseluruhan misi Hayabusa2 ini sungguh kompleks, terutama sekali dari segi kejuruteraannya. Segala kawalan dan perancangan yang dibuat harus tepat dan sempurna kerana ketika ini, pesawat dan asteroid ini berada 300 juta km daripada Bumi! Isyarat yang dihantar ke sana mengambil masa lebih kurang 16 minit untuk sampai, dan perlu menunggu 16 minit lagi untuk mendapat sebarang feedback daripada pesawat tersebut.

Walau apa pun, hari-hari yang mendatang ini bakal menyajikan penemuan-penemuan baru dan unik. Kita sama-sama tunggu, lihat dan belajar.

*Untuk mendapatkan berita ringkas dan terkini mengenai misi Hayabusa2 ini, sila follow akaun twitter FalakOnline https://twitter.com/falakonline

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar