Planet bergelang Zuhal kembali menghiasi langit malam

Zuhal menerusi teleskop yang dirakam pada 7 Jun 2018 lepas. Foto oleh Shahrin

Jika anda mengikuti pos-pos di FB FalakOnline pada beberapa bulan yang lepas, saya ada mengajak anda memerhatikan 3 buah planet yang mendominasi langit pada waktu Subuh, iaitu Musytari, Zuhal dan Marikh. Ketika itu, planet-planet ini merupakan penghias waktu Subuh, dan berada di persekitaran kawasan buruj Scorpious dan Sagittarius. Pergerakan planet-planet ini membuatkan ia lama-kelamaan semakin awal terbitnya

Lebih kurang sebulan lebih yang lepas, pada tarikh PRU14, planet Musytari telah pun berada dalam kedudukan bersetentang dengan matahari, yakni ia terbit di timur sebaik sahaja matahari terbenam di barat dan kelihatan sepanjang malam hinggalah ke Subuh.

Pada 27 Jun 2018 ini tiba giliran planet Zuhal pula berada di posisi bersetentang atau istiqbal atau juga dikenali sebagai oposisi!

Zuhal merupakan planet yang paling cantik untuk diteropong menerusi teleskop. Ia merupakan salah satu daripada 4 buah planet (selain daripada Musytari, Uranus dan Neptune) yang memiliki sistem gelang di sekelilingnya. Uniknya ialah sistem gelang Zuhal ini satu-satunya gelang yang amat jelas dan paling mudah dilihat daripada Bumi.

Menerusi mata kasar, planet Zuhal kelihatan seperti sebutir bintang yang agak terang. Namun, ia tidaklah sehebat sinarannya seperti Musytari dan Zuhrah. Kesederhanaan kecerahannya itu selalu menyebabkan orang awam terkelirunya dengan bintang ‘biasa’.

Untuk melihat gelangnya, anda perlukan sebuah teleskop. Jangan guna binokular kerana alat itu tidak cukup kuat kuasa pembesarannya. Tidak ada pilihan… pergilah cari sebuah teleskop.

Saiz teleskop juga tidaklah begitu penting. Hanya dengan menggunakan teleskop ‘murah’ yang mempunyai panjang F=700mm ke atas, dan menggunakan kanta mata yang sederhana kuasa pembesarannya, pun sudah cukup menunjukkan bentuk Zuhal ini yang agak ‘pelik’.

Ada yang menyatakan ia kelihatan seperti ‘mata’!

Teleskop yang ‘murah’ seperti jenis refractor ini pun sudah memadai untuk anda melihat sedikit bentuk gelang Zuhal.

Jika anda mempunyai teleskop yang lebih besar saiz aperturnya ( lebih besar daripada 5 inci ) dan panjang F melebihi 1000mm, bentuk gelangnya akan menjadi lebih jelas.

Malah, jika mata anda tajam, gelang Zuhal itu sendiri akan kelihatan berbelang-belang seperti ada belahan di celah-celahnya. Itu bukan ilusi, tetapi memang hakikat sebenar bentuk gelang tersebut.

Permukaan atau kawasan lapisan awan Zuhal pula tidak begitu banyak tekstur seperti planet Musytari. Paling jelas pun sekadar ada 2 atau 3 zon garisan yang berlainan tone warna. Itupun agak sukar dilihat secara visual menerusi teleskop.

Bulan-bulan Zuhal pula tidak banyak yang terang dan mudah dilihat. Hanya sebuah sahaja yang agak mudah dicari, iaitu bulannya yang bernama Titan. Kedudukan bulan Titan ini juga tidak sesatah dengan gelang Zuhal. Jadi, kedudukannnya kadang kala berada di sebalah ‘atas’ atau ‘bawah’ Zuhal, selain daripada ‘kiri’ atau ‘kanan’. Ini menjadikan aktiviti mengenalpasti Titan agak mencabar.

Perubahan sudut gelang Zuhal selama 6 tahun. Rakaman foto oleh Alan Friedman.

Pada tahun 2018 ini, kita bernasib baik kerana sudut pandangan kita dari Bumi, menyebabkan gelang Zuhal ini kelihatan ‘terbuka luas’. Kesan daripada ini ialah kita dapat melihatnya dalam rupa bentuk paling cantik dan terselah keindahannya. Perubahan sudut pendangan ini adalah disebabkan paksi Zuhal ini senget 27 darjah.

Pandangan ini akan berubah dari tahun-tahun.  Pada tahun 2025 nanti, kita akan melihat Zuhal daripada ‘tepi’. Ketika ini gelangnya akan kelihatan seperti satu garis lurus sahaja!

Merakam Zuhal dan gelangnya memerlukan peralatan yang betul. Di dalam zaman handphone sekarang ini, pasti ada yang akan ‘cuba’ zoom ke arah Zuhal di langit untuk mencuba merakam bentuk gelang itu. Saya nasihatkan tak payah lah. Itu bukan caranya!

Anda memang terpaksa menggunakan teleskop untuk merakamnya. Alat rakaman yang digunakan mungkin handphone dan ada juga menggunakan DSLR tetapi kedua-duanya mesti digunakan pada teleskop. Tetapi kaedah sebenar untuk merakam gambar planet dalam jarak dekat ialah menggunakan CMOS video kamera.

Kedudukan Zuhal ketika ini ialah masih berada di dalam buruj Sagittarius dan berhampiran dengan jalur Bima Sakti yang popular itu.

Marikh dan Zuhal yang berada di dalam kawasan Bima Sakti. Foto ini diambil ada 29 Mac 2018 lepas. Cuba guna aplikasi peta langit untuk kenalpasti yang mana satukah Zuhal. Foto oleh Shahrin.

 

Kebetulan pula pada tarikh 27 dan 28 Jun nanti, Bulan purnama berada bersebelahan dengan Zuhal. Maka, gunalah Bulan sebagai panduan mudah untuk mengenalpasti Zuhal di kalangan bintang-bintang di langit.

Kedudukan Bulan pada 27 Jun 2018 nanti akan memudahkan anda mencari planet Zuhal. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

 

Selepas Zuhal, giliran Marikh pula istiqbal dan ini akan berlaku bulan hadapan, serentak dengan fenomena Gerhana Bulan Penuh!

Rupa bentuk planet-planet yang ada di langit ketika ini amat berbeza antara satu sama lain. Foto oleh Shahrin.

 

Wow! Banyak betul fenomena samawi yang berlaku pada pertengahan tahun ini.!

Jom teropong!

Teleskop yang digunakan oleh Bos FO ketika merakam foto-foto planet di atas.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *