Kombo kembar merah – Oposisi Marikh dan Gerhana Bulan Penuh

Pada  hujung bulan Julai ini, kita akan disajikan dengan kombo 2 fenomena langit yang berlaku serentak pada satu malam yang sama. Marikh akan berada di oposisi atau istiqbal paling dekat sejak 2003, dan Bulan pula akan sekali lagi mengalami fenomena Gerhana Bulan Penuh.

Semuanya berlaku pada malam 27 Julai hingga awal subuh 28 Julai 2018.

Hujung minggu pulak tu! Best!

Ok jom kita tengok satu per satu fenomena yang akan berlaku nanti.


Oposisi Marikh

 

Fenomena oposisi atau juga dikenali sebagai istiqbal, bermaksud Marikh pada saat tersebut berada bersetentang dengan Matahari. Apabila ini berlaku, dari sudut pandangan kita di Bumi, planet merah tersebut akan terbit sebaik sahaja matahari terbenam pada waktu Maghrib.

Fenomena yang sama juga telah berlaku kepada 2 buah planet lain sebelum ini iaitu Musytari dan Zuhal.

Kejadian yang berlaku dengan Marikh ini berlaku setiap lebih kurang 2 tahun 2 bulan. Orbit Bumi lebih kecil dan hampir dengan Matahari, Oleh itu, kita bergerak lebih cepat berbanding Marikh. Setiap 2 tahun 2 bulan, Bumi akan kembali ‘mengejar’ Marikh, lalu pada satu ketika, Matahari, Bumi dan Marikh akan berada pada satu garisan lurus.

Kedudukan Marikh yang bersetentang dengan Matahari. Simulasi Sky Safari 6 Pro

 

Inilah yang dipanggil sebagai oposisi.

Oposisi Marikh sentiasa ditunggu-tunggu oleh penggemar astronomi seluruh dunia, kerana pada waktu ini, Marikh akan berada paling hampir dengan Bumi. Pada pandangan mata kasar, Marikh akan menjadi amat terang. Ketika artikel ini ditulis, ia sudah pun menjadi objek yang ke-4 tercerah di langit (selepas Matahari, Bulan dan Zuhrah).

Musytari pun sekarang kalah dengan Marikh!

Menerusi teleskop, disebabkan kedudukan Bumi dan Marikh dekat antara satu sama lain, kita berpeluang menyaksikan suasana permukaannya dengan lebih jelas.

Marikh yang dirakam menerusi teleskop pada 7 Jun 2018 lepas. Foto oleh shahgazer

Marikh ini sebuah planet yang kecil. Ia mempunyai diameter hanya separuh sahaja saiz Bumi. Maka, apabila ia jauh daripada Bumi, ia amat kecil, walaupun kita cuba melihatnya menerusi teleskop yang berkuasa tinggi.

Itulah sebabnya ramai penggemar astronomi cuba merebut peluang keemasan ini.

Oposisi Marikh berlaku pada 27 Julai 10:15 AM , manakala saat ia berada paling hampir dengan Bumi ialah 30 Julai 3:50 PM  waktu Malaysia.

Perkara yang menarik kali ini ialah, oposisi Marikh 2018 ini merupakan oposisi yang paling dekat sejak tahun 2003. Jika kita ingat pada tahun 2003 itu, seluruh dunia teruja kerana berpeluang melihat Marikh pada kedudukan terhampir dengan Bumi (pada jarak 56 juta km).

Maksudnya di sini ialah, sejak 2003, oposisi Marikh semuanya berlaku lebih jauh daripada jarak 56 juta km itu.

Setiap oposisi Marikh tidak sama, kerana jaraknya berlainan dari tahun ke tahun. Sumber

 

Cuba perhatikan jadual di bawah, yang saya petik daripada laman web ini. Tengok pada lajur Mkm (kedua dari kanan) yang merujuk kepada Million KM (saya dah bold)

Opposition                                 Closest Approach
   Date      UT     L_hel   RA    Dec  m_max    Date      UT   dist AU   Mkm  diam
2003 Aug 28 17:59  335:01 22:38 -15:49 -2.88 2003 Aug 27 09:52 0.37272  55.76 25.11
2005 Nov  7 07:59   45:01 02:51 +15:54 -2.33 2005 Oct 30 03:26 0.46406  69.42 20.19
2007 Dec 24 19:47   92:46 06:12 +26:46 -1.64 2007 Dec 18 23:47 0.58935  88.17 15.88
2010 Jan 29 19:37  129:39 08:54 +22:09 -1.28 2010 Jan 27 19:02 0.66398  99.33 14.10
2012 Mar  3 20:04  163:29 11:07 +10:17 -1.23 2012 Mar  5 17:01 0.67368 100.78 13.89
2014 Apr  8 20:57  198:44 13:14 -05:08 -1.48 2014 Apr 14 12:54 0.61756  92.39 15.16
2016 May 22 11:11  241:34 15:58 -21:39 -2.06 2016 May 30 21:36 0.50321  75.28 18.60
2018 Jul 27 05:07  303:53 20:33 -25:30 -2.78 2018 Jul 31 07:51 0.38496  57.59 24.31
2020 Oct 13 23:20   20:12 01:22 +05:26 -2.62 2020 Oct  6 14:19 0.41492  62.07 22.56

Jelas di sini, jarak Marikh ketika setiap oposisi tidak sama, malah  oposisi pada tahun 2012 adalah yang terjauh sejak 2003. Masa tu, Marikh kecil dan boring nak tengok!

Tahun 2018 ini, Marikh akan berada 57.59 JUTA km dari Bumi. Ia akan kelihatan 10 kali ganda lebih cerah daripada biasa.

Hoax.

Marikh yang dilihat menerusi TELESKOP berkuasa tinggi (kiri). Sementara Bulan (ketika gerhana penuh) yang dilihat menggunakan MATA KASAR.

Seperti kebiasaan, akan muncullah tular merapu seperti “Marikh akan menjadi sebesar Bulan… bla bla bla”. Tular ini dah muncul sejak 2003 lagi dan ia tidak benar. Walaupun Marikh berada ‘dekat’ dengan Bumi, di langit ia tetap kelihatan seperti sebutir ‘bintang merah’ yang amat terang TETAPI TAK DE LAH BESAR MACAM BULAN.

Bagi yang berminat dengan kiraan sebenar, Marikh akan kelihatan 75 kali ganda LEBIH KECIL daripada Bulan.

Inilah keadaan sebenar jika dilihat dengan mata kasar. Marikh kelihatan seperti sebutir bintang yang terang. Foto ini dirakam pada 30 Jun 2018 lepas. Sumber

Jadi, tolonglah saya, kalau ada yang terjumpa tular macam tu, sila jentik telinga tukang tular tu, biar dia menggelupur macam Neymar kena pijak kaki!

Secara amnya saya rumuskan..

  1. Marikh akan berada paling hampir dengan Bumi sejak 2003.
  2. Ia akan kelihatan seperti sebutir bintang merah yang amat terang di langit timur selepas Maghrib.
  3. Ia akan kelihatan sepanjang malam hingga ke Subuh.
  4. Ini peluang terbaik meneliti permukaan Marikh menggunakan teleskop berkuasa tinggi.
  5. Ia TIDAK AKAN MENJADI SEBESAR BULAN… ini semua hoax.

Oposisi Marikh yang akan datang berlaku pada 13 Oktober 2020.

Baiklah, dah selesai bab Marikh, jom kita tengok bab Gerhana Bulan pula.


Gerhana Bulan Penuh

Fasa Gerhana Bulan Penuh 2011. Foto oleh abam shahgazer

Buat kali kedua untuk tahun 2018 ini, kita berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh.

Bermula sekitar tengah malam hingga ke Subuh hari Sabtu, 28 Julai 2018 nanti, kita di Malaysia dan sebahagian besar Asia Tenggara, dan juga Asia Tengah serta sebahagian Eropah, akan menyaksikan Gerhana Bulan Penuh yang PALING PANJANG UNTUK ABAD ke-21 !

Keseluruhan fasa gerhana penuh akan berlaku selama 1 JAM 43 MINIT!  Hampir 2 jam tu!

Ketika itu, Bulan yang sedang berada dalam fasa purnama, akan menjadi merah gelap!


Bagaimana gerhana bulan penuh berlaku.

Geometri kedudukan Matahari, Bumi dan Bulan ketika Gerhana Bulan Penuh. Sumber.

Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila Bulan memasuki kawasan bayang-bayang Bumi yang dikenali sebagai umbra. Bahagian umbra ini merupakan kawasan yang paling gelap.

Bahagian bayang-bayang luar dan kurang gelap, dipanggil sebagai penumbra.

Sila rujuk artikel FO INI untuk penerangan lebih lanjut mengenai bayang-bayang umbra dan penumbra ini.


Fasa-fasa gerhana

Di bawah ialah jadual waktu fasa-fasa utama gerhana bulan penuh ini nanti. Waktunya ialah berdasarkan zon waktu Malaysia. Sama sahaja untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak (termasuk Brunei, Singapura dan sebahagian Indonesia yang menggunakan GMT+8)

Fasa Waktu Malaysia (GMT+8) Kelihatan di  Kuala Lumpur? Kelihatan di Kota Kinabalu?
Fasa Gerhana Penumbra bermula. Bulan memasuki penumbra. 28 Jul, 01:14:47 Ya Ya
Fasa Gerhana Separa bermula. Sebahagian Bulan memasuki umbra. Bahagian gelap Bulan secara perlahan-lahan menjadi kemerahan menjelang fasa gerhana penuh. 28 Jul, 02:24:27 Ya Ya
Fasa Gerhana Penuh bermula. Keseluruhan Bulan di dalam umbra. Warna Bulan menjadi jingga kemerahan. 28 Jul, 03:30:15 Ya Ya
Puncak fasa Gerhana Penuh. Warna Bulan jingga kemerahan paling gelap. 28 Jul, 04:21:44 Ya Ya
Fasa Gerhana Penuh tamat. Sebahagian Fasa Gerhana Separa bermula. Bulan mula keluar dari umbra. Warna kemerahan Bulan semakin sukar dilihat. 28 Jul, 05:13:11 Ya Ya
Fasa Gerhana Separa tamat. Keseluruhan Bulan keluar dari umbra. Sebahagian Bulan masih dalam penumbra. 28 Jul, 06:19:00 Ya Tidak kelihatan. Bulan sudah terbenam
Fasa Gerhana Penumbra tamat. Keseluruhan Bulan berada di luar penumbra. 28 Jul, 07:28:38 Tidak kelihatan. Bulan sudah terbenam Tidak kelihatan. Bulan sudah terbenam

Carta Gerhana Bulan Penuh oleh pakar gerhana, Fred Espanak. Waktu yang dipaparkan di sini ialah dalam Universal Time. Untuk tukar ke waktu Malaysia, tambah 8 jam.

 


Kenapa Gerhana Bulan Penuh ini paling panjang untuk abad ke-21 ini?

Faktor pertama ialah disebabkan satah orbit Bulan ini senget sekitar 5 darjah, laluan Bulan merentasi bahagian bayang-bayang umbra ini, berbeza dari gerhana ke gerhana yang lain.

Kali ini, Bulan bergerak amat hampir dengan kawasan titik tengah bayang-bayang umbra. Kesannya ialah ia mengambil masa lebih lama untuk bergerak merentasi kawasan bulatan umbra ini.

Faktor kedua ialah gerhana ini berlaku pada saat Bulan Penuh ini berada pada kedudukan paling jauh dengan Bumi, iaitu Apogee.

Maknanya pada 4:21 pagi, 28 Julai itu nanti ialah fasa Bulan Penuh Apogee, atau Bulan Penuh paling kecil untuk tahun 2018. Ini berlawanan dengan gerhana yang berlaku bulan Januari lepas, yang mana masa itu Bulan berada pada kedudukan Bulan Penuh Perigee (iaitu Bulan Penuh paling besar untuk 2018).

Kesannya ialah, Bulan berada lebih jauh berbanding biasa, kelihatan lebih kecil berbanding bulan-bulan penuh yang lain. Saiznya yang kecil ini akan mengakibatkan ia mengambil masa yang ‘lebih lama’ untuk merentasi bayang-bayang umbra.

Secara amnya…

  1. Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada awal pagi 28 Julai 2018.
  2. Gerhana kali ini berlaku selama 1 jam 43 minit. Paling panjang untuk abad ke-21
  3. Gerhana Bulan Penuh boleh dilihat dengan mata kasar.
  4. Gerhana kali ini berlaku ketika Bulan Penuh Apogee.
  5. Bulan akan kelihatan lebih kecil berbanding biasa.

Gerhana Bulan Penuh yang akan datang berlaku pada 21 Jan 2019, tetapi yang ini tak dapat dilihat dari Malaysia.


Apakah yang menarik untuk dilihat pada malam 27/28 Julai 2018 nanti?

Uniknya kali ini ialah 2 buah fenomena besar dan mudah dilihat dengan mata kasar akan berlaku serentak. Setakat kiraan kasar yang saya buat, fenomena yang HAMPIR serupa akan berlaku pada tahun 2044, iaitu lebih kurang 26 tahun lagi.

Ketika itu, Marikh berada di kedudukan oposisi pada 11 Mac 2044, dan Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada 14 Mac 2044, selang 3 hari kemudian.

Jadi kalau nak tunggu yang tu memang lambat lah!

Maka itu, jangan lepaskan peluang nanti. Huraian umum apa yang akan berlaku nanti adalah seperti berikut:

Selepas Maghrib – Bulan Penuh yang normal akan terbit di ufuk timur. Lebih kurang waktu yang sama, Marikh pun akan terbit. Kedudukan di langit nanti, Bulan di kiri, manakala Marikh di kanan.

Bulan purnama dan Marikh akan terbit selepas Maghrib, pada 27 Julai 2018. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Menjelang tengah malam – Bulan berada tegak di atas kepala. Marikh akan kelihatan berada di sebelah ‘bawah’ Bulan.

Fasa Gerhana Separa – Bulan penuh tadi mula kelihatan seperti ‘sompek’ sedikit. Marikh berada di sebelah bawah kiri Bulan. Kedua-dua mula bergerak ke langit barat.

Fasa Gerhana Penuh – Bulan akan kelihatan seperti bebola jingga kemerahan yang besar. Di sebelah kirinya, akan kelihatan Marikh seperti satu butir ‘bintang’ merah yang amat terang! Perhatikan juga jaluran Bima Sakti yang berada rendah di sebelah ufuk barat. Disebabkan cahaya Bulan ketika ini kelam dan malap, dijangka jalur Bima Sakti ini akan mudah dilihat dari kawasan langit yang gelap.

Suasana langit barat, ketika fasa Gerhana Bulan Penuh. Marikh di kiri Bulan,sementara jalur Bima Sakti rendah di ufuk barat. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

 

Menjelang Subuh – Bulan berada dalam fasa gerhana separa. Lebih kurang 1/3 Bulan masih berada dalam kegelapan. Langit kembali cerah perlahan-lahan.


Jom jangan lepaskan peluang! Semoga langit cerah dan tidak hujan pada saat tersebut!



Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *