Musytari ada tambahan 12 bulan baru! Salah sebuah daripadanya err.. degil sikit!

Pernahkah anda cuba mencari sesuatu, tetapi akhirnya terjumpa benda lain? Contoh nak cari kunci kereta, tiba-tiba terjumpa duit lima puluh ringgit?

Sama juga kisahnya bagi ahli astronomi dari Carnegie Institution for Science di Washington, DC, Scott Sheppard. Beliau telah menemui sedozen bulan baru yang mengorbit planet Musytari, menjadikan jumlah keseluruhan bulan di planet tersebut kepada 79 buah kesemuanya!

Penemuan baru ini mengujakan peminat tegar planet Musytari. Ia merupakan planet terbesar di dalam Sistem Suria dan mempunyai bilangan satelit semulajadi yang sungguh banyak, seolah-olah ia umpama sebuah mini sistem suria.

Namun, sebelum kita sembang berkenaan dengan bulan-bulan baru ini, kita cuba lihat apakah sebenarnya yang dibuat oleh Sheppard hinggakan secara tidak sengaja ‘terjumpa’ bulan-bulan ini.

Pasukan saintis yang diketuai oleh Sheppard sedang melakukan pencarian rutin terhadap objek-objek yang mungkin masih wujud nun jauh di sempadan sistem suria. Kamera yang digunakan, Dark Energy Camera (atau DECam), sebuah alat yang amat sensitif, bersaiz sebuah kereta kecil, telah dipasang pada sebuah teleskop bersaiz 4 meter bernama, Blanco 4m Telescope, di Chile.

Suasana di dalam balai cerap Blanco pada waktu malam. Kredit Alex Tudorica.

Perincian mengenai teleskop Blanco ini boleh didapati di sini.

Pada awal tahun 2017, ahli astronomi mendapati kawasan langit di mana DECam akan mencerap, sama dengan kedudukan di mana planet Musytari berada pada ketika itu. Lalu, mereka mengambil keputusan untuk mengubah sedikit rutin pencarian mereka daripada mencari objek yang jauh-jauh kepada objek yang berada di persekitaran Musytari.

Kaedah yang digunakan amat mudah. Mereka akan ‘membuang’ bintang-bintang yang berada di latar belakang kawasan langit itu (dengan menggunakan foto terdahulu) daripada foto yang dirakam pada tarikh tersebut. Hasilnya, mana-mana titik-titik yang tertinggal di dalam foto itu, samada sebahagian daripada sistem Musytari, atau mungkin juga objek yang baru dan belum ditemui sebelum ini.

Bulan kecil Valetudo yang dirakam menerusi Teleskop Magellan di Las Campanas Observatory di Chile. Kredit Carnegie Institution for Science

Hanya beberapa hari selepas itu, mereka telah menemui lebih 2 dozen objek baru. Namun, mereka terpaksa menunggu lebih daripada setahun sebelum mengumumkan penemuan ini kerana mereka perlu pastikan yang mana satu bergerak mengelilingi Musytari, dan yang mana tidak ada kaitan langsung dengan planet tersebut!

Saat paling mengujakan berlaku pada bulan Mei tahun ini, di mana 12 buah objek telah disahkan, berdasarkan pemerhatian selama setahun.

Pada hari Selasa lepas, International Astronomical Union telah mengesahkan penemuan itu, dan seterusnya menjadikan bilangan bulan-bulan Musytari kepada 79 buah kesemuanya!

12 bulan baru ini pun agak berbeza antara satu sama lain.

Satelit semulajdi Musytari secara amnya boleh dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Kumpulan pertama ialah 4 buah satelit gergasi, yang juga dikenali sebagai bulan-bulan Galilean, iaitu bulan Io, Europa, Ganymede dan Callisto. 4 buah bulan ini mudah dilihat menerusi teleskop daripada Bumi.

Jauh ke belakang lagi, sekitar 6 juta batu daripada Musytari, ada sekumpulan bulan-bulan kecil yang banyak, kesemuanya mengikut mengelilingi Musytari di dalam arah prograde iaitu sama arah dengan arah putaran paksi Musytari.

2 daripada 12 bulan baru yang ditemui tadi mengikut arah prograde ini.

Nun jauh lagi ke belakang, lebih kurang 2 kali ganda lebih jauh daripada kumpulan bulan-bulan prograde tadi, ada sekumpulan lagi yang mengorbit pada arah berlawanan dengan putaran Musytari, pada arah retograde.

9 daripada 12 buah baru tadi mempunyai orbit retograde ini.

Walaupun 2 kumpulan prograde dan retograde ini bergerak dalam arah berlawanan, tetapi ia tidak berlanggar kerana jarak di antara kedua kumpulan ini amat jauh.

Paling pelik ialah baki sebuah bulan lagi tu. Ia bergerak pada arah prograde TETAPI ia berada tepat di dalam kawasan orbit bulan-bulan retograde tadi!

Umpama sebuah kereta yang masuk lorong yang salah dan berlawanan arah di dalam sesebuah lebuhraya!

Orbit bulan Valetudo (hijau) yang berlawanan arah dengan bulan-bulan lain di kawasan orbitnya. Kredit Roberto Molar-Candanosa/Carnegie Institution for Science

Bulan kecil ini, diberi nama timang-timangan Valetudo, amat kecil, malah ia mungkin yang terkecil di kalangan 79 buah bulan Musytari

Menurut Sheppard, bulan Valetudo ini mempunyai diameter kurang dari 800 meter sahaja, dan ia mungkin asalnya bersaiz lebih besar. Namun disebabkan berlaku perlanggaran yang banyak (disebabkan ia masuk laluan yang ‘salah’!), ia akhirnya tinggal serpihan yang kecil sahaja.

Penemuan ‘tidak sengaja’ ini merupakan antara bukti betapa banyaknya perkara yang masih kita belum tahu mengenai objek-objek di angkasa lepas. Hanya dengan pemerhatian yang konsisten, teknik yang teliti dan usaha yang bersungguh-sungguh akan membolehkan kita terus meningkatkan pengetahuan dan menerobos lebih banyak rahsia sistem suria.

Rujukan lain

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar