Komet 21P menghiasi langit sepanjang September ini.

Komet 21P/Giacobini-Zinner dirakam oleh ahli astronomi amatur Rusia, Alexander Vasenin pada 17 Ogos 2018. Kredit: Alexander Vasenin, CC BY-SA 4.0

Dalam diam-diam, sebuah komet sedang melungsuri kawasan langit utara pada waktu lewat tengah malam hingga ke Subuh.

Komet yang nama panjangnya, Comet 21P/Giacobini-Zinner, ketika ini sedang melintasi kawasan buruj Perseus dan memasuki buruj Auriga, iaitu di kawasan langit sebelah timur laut.

 


Latar belakang

 

Comet 21P/Giacobini-Zinner atau lebih mudah kita panggil 21P, ditemui oleh Michel GIacobini dari Nice, Peranchis, pada 20 Disember 1900. Kemudian, berlaku sedikit kekeliruan apabila seorang lagi pencerap, Ernst Zinner ‘menjumpainya’ 6.5 tahun selepas itu.

Akhirnya, nama komet ini dikongsi bersama menjadi Komet Giacobini-Zinner.

Komet 21P mengelilingi matahari setiap 6.8 tahun. Ia dipercayai mempunyai diameter sekitar hanya 2 km sahaja (saiz yang kecil untuk sebuah komet).


Lokasi

 

Komet 21P sedang menghampiri kawasan persekitaran Bumi pada kelajuan 23 km SESAAT! Kalau nak dibayangkan kelajuan ini, ia umpama kita boleh drive dari KL ke JB dalam masa 13 SAAT je!

Titik paling hampir ia dengan Bumi ialah pada 10 Sep 2018 nanti, di mana ia akan melintasi Bumi pada jarak selamat 58 JUTA KM. Kebetulan pula titik komet ini paling hampir dengan Matahari jatuh pada hari yang sama.

58 Juta km ini sama dengan jarak Bumi ke Marikh. Maknanya jauh la tu! Tetapi apabila kita membincangkan mengenai objek seperti komet. jarak ini dikira dekat!

Kedudukan Komet 21P di dalam orbitnya, pada 10 Sep 2018 nanti. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

 

Berdasarkan kiraan kasar, Komet 21P akan menyinar pada magnitud 6.5 hingga 7. Malangnya pada tahap kecerahan ini, ia TIDAK DAPAT DILIHAT DENGAN MATA KASAR.

Anda perlukan sekurang-kurangnya sebuah binokular untuk melihatnya.

Graf kecerahan komet yang dijanakan menerusi laporan di  laman web COBS menunjukkan komet ini berada di ‘landasan yang betul’ dari segi kecerahannya.  Jika anda masih ingat lintasan komet-komet lain sebelum ini, majoriti daripada kiraan kecerahan komet akan tersasar jauh daripada ramalan, kerana komet ialah sebuah objek yang sungguh volatile, yakni tidak stabil dan boleh pecah dalam bila-bila masa sahaja.

Graf kecerahan Komet 21P berdasarkan model vs cerapan ahli astronomi

Secara amnya, 21P akan terbit sekitar jam 1 pagi (12 tengah malam di Sabah). Ia akan berada pada ketinggian lebih daripada 30 darjah daripada ufuk, sekitar 1 jam sebelum Subuh, iaitu lebih kurang jam 5 pagi (Semenanjung).

Berdasarkan simulasi pergerakannya menerusi perisian Sky Safari 6 Pro, didapati komet ini akan bergerak di dalam kawasan langit yang mempunyai banyak bintang terang dan gugusan-gugusan bintang yang menarik.

Laluan Komet 21P sehingga hujung bulan Sep 2018 nanti. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Pada minggu ini (29 hingga 2 Sep), ia akan bergerak di bawah buruj Perseus (di sebelah utara)

Tandakan kalendar anda pada Subuh, hari Isnin 3 Sep 2018. Komet 21P akan melintasi amat hampir dengan bintang cerah bernama Capella!

Kedudukan Komet 21P ketika ia melintasi bintang Capella. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Bintang Capella ini terletak di sebelah utara dari buruj Orion. Jika anda dapat lihat Orion pada pagi tersebut, buat satu garisan ke arah ‘kiri’. Ia akan bertemu dengan sebutir bintang kekuningan yang nampak ‘keseorangan’! Itulah Capella.

Namun, pada Subuh 3 Sep nanti, ia akan ditemani komet 21P dan kedua-duanya dipisahkan kurang dari 1 darjah sahaja!

Kemudian pada minggu pertama dan kedua September, ia akan bergerak menghampiri sempadan buruj Gemini dan Orion.

Di sepanjang laluan ini, ia akan melintasi beberapa gugusan bintang yang menarik seperti di bawah:

  • 11 Sep – Gugusan M37 di dalam buruj Auriga
  • 15-16 Sep – Gugusan M35 di dalam buruj Gemini
  • 26 Sep – Melintasi antara Nebula Cone dan Nebula Rosette.

Lintasan Komet 21P di sekitar gugusan bintang dan nebula di dalam buruj Gemini dan Monoceros. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

10 Sep ialah tarikh komet ini berada paling hampir dengan Bumi. Selepas daripada tarikh ini ia akan semakin jauh hari demi hari.

Cerapan yang dibuat oleh Northolt Branch Observatory di London baru-baru ini menunjukkan koma atau bahagian wap ais yang mengembang di kepala nukleus komet 21P ini mempunyai diameter sebesar 290,000 KM. Ini ialah 2 KALI GANDA LEBIH BESAR daripada planet Musytari!

Tetapi anda tak perlu risau. Unsur-unsur gas di dalam koma ini amat kecil dan tidak memberi apa-apa kesan berbahaya.


Cerapan dari Kuala Lumpur

 

Baru-baru ini Komet 21P berjaya dirakam daripada balai cerap saya. Alhamdulillah walaupun dalam keadaan langit sedikit berawan nipis dan berjerebu, Komet 21P ini amat mudah dirakam walaupun menggunakan waktu dedahan kamera selama 15-30 saat sahaja.

Foto di bawah menggunakan teleskop TQ65Q dengan F=420mm. Kamera yang digunakan ialah Fuji X-T20 dengan waktu dedahan 30 saat, serta ISO1600.

Sebanyak 56 keping gambar dengan tetapan kamera yang sama dirakam dan ditindih (stacking) menggunakan perisian PixInsight.

Komet 21P dari langit Kuala Lumpur. Foto oleh @shahgazer

Warna kehijauan komet menunjukkan ia mempunyai bilangan gas cynogen dan diatomic carbon yang banyak. Gas-gas ini akan kelihatan hijau apabila ia disinari cahaya matahari.

Amat jarang komet secerah ini melintasi langit, apatah lagi mudah dilihat dari Malaysia. Saya syorkan agar peminat astronomi semua mengambil peluang yang ada lagi.

Namun begitu ini baru permulaan. Pada hujung tahun ini ada sebuah lagi komet yang dijangkakan LEBIH TERANG akan menyinari langit kita, iaitu Komet Wirtanen. Perincian mengenai komet ini akan menyusul nanti.

Jom teropong!

 

 

 

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Skip to toolbar