Meteor Perseids kembali. Jangan lepaskan peluang!

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid
Sebutir meteor (sisi bawah gambar) yang berjaya dirakam oleh penulis. @shahgazer

Bermula tengah malam hingga ke awal Subuh, 13 Ogos 2018 nanti, sekali lagi kita berpeluang menyaksikan kehadiran puluhan hingga ratusan meteor Perseids. Segempak manakah kehadiran meteor ini nanti dan adakah kita di Malaysia berpeluang menyaksikannya?

Jom baca dulu.


Meteor Perseids merupakan antara juraian meteor yang paling popular di kalangan peminat astronomi. Ia juga merupakan antara meteor yang paling aktif, iaitu boleh menghasilkan di antara 60 hingga 70 meteor setiap jam pada tarikh kemuncak kemunculannya. Ada tahun-tahun tertentu ia boleh mencapai hingga 90-100 meteor sejam!

Sebuah meteor yang terang yang berjaya dirakam menggunakan kamera DSLR. Foto kredit Harris Jeffery

Berdasarkan laporan ini, Perseids ini akan memuncak pada tengah malam hingga ke Subuh 13 Ogos 2018. Tahun ini prospek kenampakannya lebih bagus kerana tiada gangguan daripada cahaya Bulan.


Asal usul Perseids.

 

Setiap bulan Julai dan Ogos, Bumi akan bergerak masuk di dalam kawasan habuk dan debu peninggalan sebuah komet bernama 109P/Swift-Tuttle. Komet ini mengorbit Matahari setiap 133 tahun, dan kali terakhir ia berada di dalam kawasan orbit Bumi ialah pada tahun 1992 dahulu.

Bumi akan melintasi masuk ke kawasan debu dan habuk paling padat di dalam orbit komet Swift-Tuttle pada 12-13 Ogos 2018. Kredit American Meteor Society

Namun, walaupun sekarang ia berada jauh, di sepanjang laluannya itu ia meninggalkan banyak habuk, debu dan ais. Bahan-bahan kecil inilah yang apabila ia berlanggar dengan atmosfera Bumi, akan menghasilkan pancaran cahaya yang dikenali sebagai tahi bintang atau meteor.


Mana datangnya nama Perseids?

 

Meteor ini diberi nama Perseids kerana apabila kita melihat meteor-meteor ini muncul di langit, ia akan kelihatan ‘bermula’ dari arah sebuah buruj bernama Perseus.

Buruj Perseus terletak di sebelah kiri daripada buruj Orion dan Taurus. Ia mula terbit sekitar jam 3 pagi di arah timur laut. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Buruj Perseus ini ialah sebuah buruj yang cantik terletak di sebalah langit utara, berhampiran dengan buruj Taurus. Di Malaysia, buruj ini tidak akan naik tinggi di atas kepala. Namun, ia masih dapat dilihat dengan mudah dan bentuknya senang untuk dikenalpasti.


Bilakah waktu terbaik untuk melihat Perseids?

Laporan terperinci daripada IMO menyatakan seperti dibawah:

Perseids (007 PER)

Active: July 17–August 24; Maximum: August 12, 20h to 13, 08h UT (node at λ⊙ = 140◦.0– 140 ◦. 1), but see text; ZHR = 110;

Apa yang boleh difahamkan daripada maklumat di atas:

  1. Meteor Perseids akan mula aktif bermula 17 Julai hingga 24 Ogos.
  2. Kemuncaknya ialah antara 4 pagi  hingga 4 petang hari Isnin, 13 Ogos 2018. Ini adalah waktu Malaysia.

Waktu terbaik untuk melihat kemunculannya ialah bermula tengah malam (dah masuk hari Isnin) hinggalah menjelang Subuh, pada 13 Ogos nanti.

Namun begitu, kita masih boleh melihat bilangan meteor yang agak banyak pada sehari sebelum dan selepas tarikh berkenaan, iaitu sekitar menjelang Subuh hari Ahad 12 Ogos, dan juga menjelang Subuh hari Selasa 14 Ogos.

Bulan akan berada pada fasa bulan sabit yang masih muda, maka ia akan terbenam sebelum tengah malam. Ini memberi peluang yang baik untuk kita melihat meteor yang banyak kerana tidak akan terganggu oleh cahaya Bulan.

5 pagi langit Semenanjung Malaysia (6 pagi langit Sabah). SImulasi Sky Safari 6 Pro

 


Arah manakah harus saya lihat?

Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana sahaja, dan pada bila-bila masa. Walaupun titik munculnya (juga dikenali sebagai radiant) berada di dalam kawasan buruj Perseus di langit sebelah utara, anda tidak perlu terlalu fokus ke arah kawasan itu.

Nasihat daripada penggemar meteor ialah, arahkan pandangan kita ke kawasan jauh atau berlawanan arah daripada radiant tadi. Di dalam kes ini, cuba pandang ke kawasan langit tenggara, selatan atau barat-daya. Di sini, meteor-meteor ini akan kelihatan lebih ‘panjang’ dan sempat dilihat, berbanding dengan kawasan langit utara,


Di kawasan manakah harus saya lakukan aktiviti cerapan meteor?

 

Cuba cari kawasan yang gelap jauh daripada gangguan cahaya.  Kawasan bandar besar tidak sesuai untuk melihat meteor disebabkan langit di bandar-bandar besar sentiasa cerah dan akan menenggelamkan sinaran cahaya daripada meteor.

Keluar daripada bandar, dan carilah kawasan di mana langitnya berwarna hitam pekat!

Selain itu, kehadiran lampu-lampu jalan atau spotlight daripada bangunan juga akan mengganggu. Jangan cerap daripada kawasan seperti itu.

Jangan cuba ‘mencari meteor’ menerusi tingkap rumah atau apartment! Cara ini tidak sesuai sebab kita terhad melihat satu kawasan langit sahaja. Meteor-meteor ini akan muncul di seluruh kawasan langit. Oleh itu carilah kawasan yang lapang dan tidak ada sebarang gangguan pemandangan seperti pokok atau bangunan yang tinggi-tinggi.


Kaedah terbaik untuk melihat meteor?

 

Seeloknya, bentang tikar dan baring sambil memandang ke langit.  Jangan duduk di atas kerusi yang tegak. Jika ada kerusi ‘malas’ yang boleh disengetkan ke bawah, itu pun sesuai.

Suasana cerapan meteor di Sabah, pada tahun 2016 lepas. Foto kredit Harris Jefrrey

Anda juga perlu duduk lama di dalam kawasan gelap. Ini bagi membolehkan mata anda secara perlahan-lahan disesuaikan dengan suasana langit gelap. Secara amnya, anda perlukan masa sekitar 30 minit untuk anak mata terbuka paling maksimum. Jika selepas itu, tiba-tiba ada cahaya yang muncul, seperti cahaya daripada kereta atau handphone, anda kena tunggu 30 minit lagi.

Itulah antara sebab jangan ON handphone ketika mencerap meteor!

Cara salah mencerap meteor! Sakit tengkuk bro kalau guna cara ni! Gambar hiasan.

Namun, jika anda amat perlukan cahaya untuk bergerak sana-sini di dalam gelap, tutuplah sumber cahaya itu dengan plastik berwarna merah. Contoh seperti plastik merah bungkusan hamper tu.

Contoh lampu suluh menggunakan bulb berwarna merah. Anda boleh juga menggunakan plastik lutsinar merah sebagai ganti. Gambar hiasan

Selain daripada melihat meteor, apakah sumbangan lain yang saya boleh buat demi kemajuan sains astronomi dunia? #cewah

Bilangan meteor yang muncul nanti penting bagi pengkaji profesional meteor cuba memahami kawasan debu dan habuk yang sedang dilalui oleh Bumi pada ketika itu. Disebabkan debu-debu ini amat halus dan tidak boleh dilihat ketika terapung-apung di angkasa lepas, satu-satunya waktu yang membolehkan kita tahu kewujudan dan ketumpatan debu-debu ini ialah ketika ia masuk dan jatuh ke dalam atmosfera Bumi.

Oleh itu, apa yang kita boleh sumbangkan ialah dengan mengira jumlah meteor yang muncul itu nanti.

Cara yang kerap digunakan ialah:

  1. Mencerap bersama-sama dengan kumpulan yang besar, sekitar 5-10 orang.
  2. Setiap seorang ditugaskan menghadap ke satu kawasan langit sahaja. Contoh si-A mengadap ke barat, si-B mengadap ke selatan.
  3. Apabila meteor pertama muncul, jeritlah nombor “SATU”. Kemudian jika orang yang lain melihat meteor yang baru, sambung dengan “DUA” dan seterusnya (jangan diulang pulak menjadi satu!)
  4. Bilangan akhir nanti boleh dijadikan sebagai data yang berguna untuk pengkaji meteor khususnya.

Nota: InsyaAllah saya akan sediakan sebuah Google Form untuk dimasukkan data ke dalamnya nanti.

Selamat mencerap!


Wallahua’lam
0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments