BepiColombo – Misi terbaru ke planet Utarid

Lakaran artis rupa bentuk prob BepiColombo. Sumber.

Utarid merupakan planet kecil dan paling hampir kedudukannya dengan Matahari. Ia juga sebuah planet yang masih banyak perlu dipelajari. Sehingga hari ini, hanya 2 misi prob angkasa sahaja yang telah menerokai planet ini dari jarak dekat, iaitu Mariner 10 pada tahun 1974-75 dan MESSENGER pada sekitar tahun 2011.

Disebabkan saiznya yang kecil, cerapan dari Bumi juga amat-amat terhad. Malah, menerusi teleskop pun, planet ini kekal kecil selain amat susah untuk diamati dengan mudah kerana ianya sentiasa berada hampir dengan sinaran terang cahaya Matahari.

Namun begitu, kita bakal berpeluang mendalami pengetahuan kita mengenai planet Utarid dengan lebih mendalam pada Disember 2025 nanti, apabila misi terbaru bernama BepiColombo telah berjaya dilancarkan pada 20 Oktober 2018 lalu.

(Atas) Perlancaran misi BepiColombo di atas Ariane 5 pada 20 Okt 2018, 1:45 GMT

BepiColombo

Misi BepiColombo merupakan kerjasama di antara 2 buah agensi angkasa besar dunia, iaitu European Space Agency (ESA) dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA). Menurut laporan, kos misi ini sahaja mencecah USD$2 bilion dan akan dikongsi bersama-sama oleh ESA dan JAXA. Ini merupakan misi pertama ke planet Utarid oleh agensi angkasa tersebut.

Lakaran artis menunjukkan prob BepiColombo sedang menghampiri planet Utarid.. Copyright spacecraft: ESA/ATG medialab; Mercury: NASA/JPL. Sumber

BepiColombo terdiri daripada 2 buah satelit kecil, Mercury Planetary Orbiter (MPO) yang dikendalikan oleh ESA, dan Mercury Magnetospheric Orbiter (MMO) oleh JAXA. Kapal induk utama,Mercury Composite Spacecraft (MCS), akan membawa kedua-dua satelit kecil tadi merentasi angkasa lepas selama 7 tahun, sebelum ia sampai ke destinasi pada lewat 2025.

Lakaran artis prob ESA, Mercury Planetary Orbiter (kanan) and JAXA Mercury Magnetospheric Orbiter (kiri).Copyright: Spacecraft: ESA/ATG medialab; Mercury: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington. Sumber

Perjalanan 7 tahun

Walaupun Utarid ini boleh dikatakan hampir dengan Bumi, perjalanan keseluruhan BepiColombo ini terpaksa mengambil masa yang agak lama, iaitu 7 tahun.

Ini adalah disebabkan kapal utamanya, MCM, terpaksa memperlahankan pergerakannya sambil pada waktu yang sama terpaksa ‘berlawan’ dengan tarikan graviti Matahari yang semakin kuat akibat jaraknya yang hampir Matahari.

Selain itu, prob angkasa ini pun terpaksa mengubah satah orbitnya supaya sama dengan satah orbit planet Utarid.

Keseluruhan pergerakan BepiColombo ini sungguh kompleks dan unik, dan di luar kemampuan saya untuk menulisnya dalam bentuk tulisan yang mudah faham. Mohon pembaca semua rujuk penerangan yang agak terperinci ini.

Apa pun, secara amnya prob ini akan melintasi Bumi sekali, 2 kali dengan planet Zuhrah dan 6 kali dengan planet Utarid, sebelum ianya masuk ke dalam orbit yang stabil mengelilingi Utarid pada lewat 2025 nanti.

Apa yang bakal diterokai nanti

Saintis yang mengendali BepiColombo mempunyai objektif kajian yang agak banyak yang bakal membolehkan kita memahami lebih mendalam mengenai planet Utarid selain daripada persoalan-persoalan lain. Di antaranya:

  • Bagaimanakah sistem suria ini terbentuk?
  • Adakah Utarid mempunyai teras pepejal dan cecair seperti Bumi, dan berapa ketebalannya? Apakah komposisi teras planet ini sebenarnya?
  • Adakah planet ini masih aktif hari ini, dari sudut geologinya? 
  • Bolehkah kita menguji teori relativiti Einstein menggunakan data cerapan pergerakan orbit Utarid yang unik ini?
  • Utarid didapati mempunyai satu lapisan ‘atmosfera’ yang amat-amat nipis (yang diberi nama exosfera) , dan boleh dikatakan hampir tidak wujud. Namun ia tetap boleh dikesan dengan instrumen. Bagaimanakah exosfera ini terbentuk dan masih wujud hingga hari ini?

Banyak lagi sebenarnya persoalan yang cuba dijawab oleh para saintis. Diharapkan apabila prob BepiColombo ini selamat sampai nanti, kita bakal disajikan dengan penemuan-penemuan baru yang mengujakan.

Kajian-kajian yang bakal dijalankan dalam misi BepiColombo. (c)ESA Sumber

Maklumat tambahan.

Selain daripada maklumat dari FalakOnline (web, FB, twitter) dan ngomelan saya sendiri di FB dan Twitter, anda juga boleh mendapatkan berita terkini dalam masa sebenar daripada pusat kawalan dan mereka yang mengendalikan misi ini menerui akaun twitter seperti @BepiColombo, @ESA_Bepi, dan @JAXA_MMO atau terus lakukan carian #BepiColombo

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *