InSight selamat mendarat. Marikh ada geng baru!

Marikh mempunyai makhluk asing terbaru dari Bumi! 

Sebuah robot perayau bernama InSight, akhirnya telah selamat berjaya mendarat di atas permukaan planet Marikh, menerusi satu proses kompleks untuk memperlahankannya secara mendadak selama lebih kurang 7 minit.

Pendaratan ini berjaya dilakukan pada jam 3:50 pagi tadi (27 Nov) waktu Malaysia. Menerusi beberapa pos status twitter rasmi @NASAInsight, perayau ini telah menghantar gambar pertamanya menerusi kamera yang masih belum dibuka penutup lensanya!

Foto pertama yang dirakam oleh InSight apabila ia mendarat di permukaan Marikh. Sumber.

Setelah beberapa minit yang mendebarkan, akhirnya ibu pejabat misi kawalan InSight di California riuh rendah dengan sorakan gembira apabila menerima dengan jelas isyarat pendaratan perayau ini.

InSight telah mendarat di kawasan lapang yang dikenali sebagai Elysium Planitia, di sekitar khatulistiwa planet Marikh. Ia juga digelar sebagai kawasan parkir ‘paling luas’ di Marikh! 😀

Gambar awal ini masih kabur kerana penutup lens kamera masih belum dibuka. Dijangka dalam masa beberapa hari nanti, lebih banyak gambar yang lebih jelas akan dimuat turun.

Pendaratan InSight ini adalah yang pertama oleh agensi angkasa NASA sejak tahun 2012. Setelah perayau ini mendarat, masih banyak lagi tugasan yang mana ia perlu lakukan.

Paling penting dan utama ialah ia perlu ‘mengeluarkan’ panel tenaga solarnya. Ketika dalam proses mendarat, panel ini dilipat dan disimpan di dalam badan perayau ini. Panel solar ini penting kerana ia perlu berfungsi untuk memanaskan segala perkakasan di dalam InSight, kerana suhu di Marikh sekarang berada di bawah paras beku!

Ketika artikel ini ditulis, belum ada lagi maklumat lanjut mengenai status pembukaan panel solar ini.

Komponen utama ujikaji yang akan dilakukan oleh InSight. Sumber.

Isyarat pendaratan InSight telah dipancarkan kembali ke Bumi oleh sebuah satelit kecil (cubesat) yang terbang bersama-sama dengan InSight. Dikenali sebagai prob angkasa Mars Cube One  (atau marCO), ia merupakan cubesat pertama yang dihantar keluar daripada orbit disekeliling Bumi. 

Foto dari marCO-b. Sumber.

Foto di atas dirakam daripada salah satu daripada 2 satelit cubesat yang dihantar, iaitu marCO-b. Tidak seperti InSight, cubesat marCO ini tidak akan mengorbit Marikh, tetapi akan terus meluncur di angkasa lepas.

Jika anda terlepas saat-saat mendebarkan ketika InSight mendarat, boleh ikuti rakaman di bawah.

Kalau tak sabar nak lihat ketika isyarat pertama diterima, boleh terus lompat ke minit ke-54 ini.

Kita terus tunggu berita terkini daripada misi ini, di hari-hari yang mendatang.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...