Siap siaga semua. Komet 46/P Wirtanen dah mai!

Foto Komet 46/P Wirtanen yang menakjubkan oleh Rolando Ligustri pada 28 Nov 2018. Sumber.

Komet 46/P Wirtanen kini dalam perjalanan menghala ke arah berhampiran Bumi dan kecerahannya bakal mencecah tahap mata kasar. Berdasarkan laporan daripada pencerap komet serata dunia, Komet Wirtanen telah dikesan memancar pada magnitud 6.5.

Kiraan orbit menunjukkan ketulan debu, batu dan ais ini akan melintasi Bumi pada jarak 11.5 juta km. Ini meletakkannya 10 komet paling dekat dengan Bumi sejak bermulanya zaman angkasa atau Space Age.  Tarikh lintasan ini akan berlaku pada 16 Disember 2018 nanti.

Pencerap tersohor komet masa kini, Terry Lovejoy merakam Komet 46/P Wirtanen ini pada 26 Nov 2018 lepas. Sumber.

Sejarah dan Orbit

Komet 46/P Wirtanen mengelilingi matahari di dalam orbit yang agak kecil, bermula dari jarak persekitaran orbit Musytari hingga ke Bumi. Jangka waktu ia melengkapkan satu pusingan orbit ialah sekitar 5.4 tahun.

Ia ditemui oleh Carl Alvar Wirtanen, seorang pembantu pencerap di Balai cerap Lick di California, pada 15 Januari 1948. Asalnya, komet ini mempunyai jangka orbit yang lebih panjang, iaitu 6.7 tahun, tetapi hasil daripada beberapa lintasannya dengan planet Musytari, graviti planet gergasi ini telah mengubah sedikit orbitnya dari semasa ke semasa. 

Orbit Komet 46/P Wirtanen jika dilihat daripada sudut ‘atas’. Simulasi Sky Safari.

Komet 46P dikenali juga sebagai komet yang kecil tetapi hiperaktif. Ia didapati menghamburkan banyak debu dan ais di sepanjang laluannya menuju ke arah matahari. Ini menyebabkan ia dijangka agak cerah dan mudah dilihat.

Lokasi di langit

Seperti mana sebelum ini, jasad bernama komet ini mempunyai perangai yang agak unik. Walaupun menurut perkiraan kita boleh mengagak kecerahannya pada waktu-waktu tertentu, namun realitinya tidak selalu sama seperti yang dijangka!

Rakaman Komet Wirtanen yang dibuat oleh penulis dari kawasan langit Lembah Kelang, pada 17 NOv 2018 lepas. Sumber.

Bagi saya, kecerahan sesebuah komet agak rumit untuk dijangka, tetapi kedudukan atau laluannya di langit boleh dikira dengan tepat.

Ketika artikel ini ditulis (29 Nov), Komet 46P berada di langit tenggara, melungsuri kawasan buruj kecil bernama Fornax. Ia sudahpun terbit pada waktu Maghrib. Menjelang Isya’ ia sudahpun tinggi sekitar 40 darjah. Ia akan melintasi garisan meridian pada sekitar jam 11 malam.

Laluan Komet 46P Wirtanen bermula hari ini hingga hujung tahun 2018 nanti. Simulasi Sky Safari.

Pergerakan komet ini agak laju dari hari ke hari kerana ia semakin hampir dengan Bumi. Oleh itu, kedudukannya di langit berubah agak banyak menjelang 16 Disember nanti.

Pencerap dari Australia, Dylan O’Donnell merakam pergerakan Komet Wirtanen. Sumber 

Komet 46P akan bergerak menuju ke utara, merentasi buruj Eridanus, sebuah buruj yang besar tetapi dipenuhi dengan bintang-bintang yang kelam.

Menjelang 12 Disember, komet ini akan mula masuk ke dalam kawasan buruj Taurus dan mula bergerak di antara 2 gugusan bintang yang popular iaitu Hyades dan Seven Sisters.

Tarikh puncak 16 Disember itu nanti, ia akan berada sekitar 3 darjah sahaja daripada gugusan Seven Sisters. Pada jarak ini, kedua-dua objek ini boleh dilihat serentak menerusi sebuah binokular!

Pandangan dari sebuah Binokular, apabila Komet Wirtanen melintasi berhampiran dengan gugusan Seven Sisters pada 16 Disember 2018 nanti. Simulasi Sky Safari.

Selepas itu, ia mula bergerak ke kawasan langit timur laut, memasuki kawasan buruj Auriga. Pada 23 dan 24 Disember, ia akan berada hampir dengan bintang paling terang di dalam buruj ini, iaitu Capella.

Komet Wirtanen melintasi bintang Capella pada 23 Disember 2018. Simulasi Sky Safari.

Peluang terbaik untuk mencari dan merakam komet ini ialah bermula hari ini hinggalah pertengahan Disember. Waktu-waktu ini, langit kita gelap dan bebas daripada gangguan cahaya Bulan.

Kebetulan pula pada 14-15 Disember ialah tarikh puncak juraian Meteor Geminids. Maka, sambil-sambil anda melihat juraian meteor ini, bolehlah cuba uji skil dan cari Komet Wirtanen ini.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...