Alamak! Zuhal bakal kehilangan gelangnya ‘tak lama lagi’

Siapa sangka planet yang paling comel dan cantik di dalam sistem suria kita ini, Zuhal, yang dikelilingi oleh sistem gelang yang amat mempersonakan itu bakal kehilangan asetnya paling berharga tidak lama lagi.

Tidak lama lagi tu ialah lebih kurang antara 100-300 juta tahun lagi!

Walaupun jika dibandingkan dengan jangka hayat manusia, ia merupakan masa yang amat panjang, namun jika dibandingkan dengan jangka hayat sistem suria ini ia seolah-olah ia akan berlaku ‘minggu depan’ je!

Lakaran artis yang menunjukkan rupa bentuk planet Zuhal dalam masa ratusan juta tahun akan datang. Kredit: NASA/Cassini/James O’Donoghue

Menurut penulis utama kerja kajian Observations of the chemical and thermal response of ‘ring rain’ on Saturn’s ionosphere”,  James O’Donoghue dari NASA’s Goddard Space Flight Center, partikel-partikel halus yang membentuk gelang ini secara perlahan-lahan ditarik masuk ke dalam planet ini kesan daripada medan magnetik yang kuat yang berada di sekeliling planet ke-2 terbesar ini.

cassinigraph20181004-16.jpg

Rajah ini menunjukkan kesan medan magnet Zuhal yang kuat menarik masuk partikel-partikel gelangnya. Credits: NASA/JPL-Caltech

Digelar sebagai hujan gelang atau ring rain, partikel yang ditarik masuk ini mempunyai komponen air yang cukup untuk memuatkan sebuah kolam renang bersaiz olimpik dalam masa 30 minit sahaja!. Menurut O’Donoghue lagi, dengan kadar ini Zuhal bakal akan hilang keseluruhan gelangnya dalam masa 300 juta tahun sahaja. Namun begitu jangka masa ini mungkin lebih pantas iaitu 100 juta tahun jika berdasarkan cerapan yang dibuat oleh prob angkasa Cassini.

Lebih menarik lagi, menurut beliau, kita mungkin sedang berada di dalam fasa yang unik yang mana gelang Zuhal berada di dalam fasa pertengahan dan sempat untuk  manusia melihat keindahannya. “Jika gelang ialah sesuatu yang wujud sementara, kita mungkin telah terlepas peluang melihat Musytari, Uranus dan Neptune dihiasi gelang yang cantik suatu masa dahulu!” ujar O’Donoghue lagi.

Editor’s Note: Kebetulan pula saya sedang menonton rakaman dokumentari “Strip the Cosmos” petang tadi yang mengulas cerita yang sama! Macam tau-tau je!

Fenomena ring rain ini telah berdekad-dekad dikaji oleh para saintis, dan konklusi terbaru ini adalah hasil cerapan yang dibuat pada tahun 2011 menerusi teleskop di Hawaii.

Menerusi cerapan tersebut, partikel-partikel air yang jatuh ke atas atmosfera Zuhal menghasilkan satu bentuk hidrogen yang unik yang akan bersinar terang menerusi cahaya infra-merah.

Penemuan terbaru ini membuktikan lagi betapa dinamiknya jasad-jasad samawi yang ada disekeliling kita, dan masih banyak lagi perlu dipelajari dan dilihat dari pelbagai sudut.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...