Meteor Geminids bakal menggegar tahun ini

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid

Dalam diam-diam, kita sudah sampai ke hujung tahun 2018. Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, fenomena langit tahunan kita ini bakal dilabuhkan tirainya dengan satu fenomena kegemaran ramai… iaitu pancuran Meteor Geminids!

Perseids - single - 0417am
Contoh lintasan sebuah meteor dari kawasan Kuala Lumpur. Foto oleh @shahgazer

Meteor Geminids ialah satu kumpulan pancuran meteor yang agak aktif. Aktif di sini bermaksud jumlah meteor yang kita akan dapat lihat nanti mencapai bilangan yang agak banyak dan mengujakan sesiapa sahaja yang akan cuba melihatnya nanti.

Screenshot 2018-12-11 at 3.24.12 PM
Simulasi laluan meteoroid Geminids. Sumber

Asal-usul meteor ini dipercayai datang daripada sebuah komet/asteroid yang bernama 3200 Phaethon. Setiap bulan Disember, Bumi akan bergerak melintasi hampir dengan orbit objek ini. Kemuncaknya ialah pada 14 Disember setiap tahun.

Laporan International Meteor Organization menunjukkan jumlah meteor yang akan dapat dilihat dalam suasana langit gelap gelita dan juga titik radian (titik munculnya meteor ini) berada tegak di zenith (atas kepala), ialah sekitar 120 meteor setiap jam.

Harus diingatkan di sini, jumlah 120 itu adalah dari langit yang ideal dan memenuhi syarat-syarat di atas. Jika kita di Malaysia, titik radian Geminids tidak akan berada di atas kepala, maka jumlah ini akan berkurangan. Selain itu, jika kita mencerap di kawasan langit yang diterangi cahaya, jumlah ini akan turun dengan mendadak.

Jumlah munculnya meteor Geminids ini sudah mula dapat dilihat bertambah dengan banyaknya mulai sekarang hingga ke tarikh puncak nanti. Kemudian selepas tarikh tersebut bilangannya akan turun mendadak.

Menurut kenyataan IMO lagi, kemuncaknya ialah pada 14 Disember, jam 12:30 UT. Jika ditukar ke waktu Malaysia, ini bersamaan 8:30 malam 14 Disember. Maka di sini saya boleh rumusnya, kebarangkalian kita melihatnya dengan banyak ialah bermula Maghrib 14 Disember hinggalah ke Subuh 15 Disember. 

Screenshot 2018-12-11 at 3.29.39 PM.jpg
Kedudukan titik radian (titik munculnya meteor Geminids) yang berada di buruj Gemini, pada waktu selepas tengah malam 15 Disember 2018 nanti. Simulasi SkySafari  6 Pro

Meteor-meteor Geminids ini akan kelihatan muncul dari kawasan buruj Gemini, sebuah buruj dalam kumpulan zodiak yang terkenal dan terletak di sebelah langit utara.  Buruj ini akan terbit sekitar jam 9 malam (10 malam di Sabah), di kawasan ufuk timur laut. Menjelang jam 3 pagi (4 pagi di Sabah), ia akan melintasi garisan meridian (garisan yang dibuat dari utara ke selatan) dan berada pada poin paling tinggi.

Prospek kemunculan Geminids tahun ini agak bagus, kerana bermula tengah malam hingga ke Subuh, tiada gangguan cahaya Bulan langsung.

Jika anda mahu melihatnya pada waktu sebelum tengah malam, meteor-meteor yang muncul akan kelihatan panjang dan bergerak ‘sedikit’ perlahan.

Menjelang jam 3 pagi, meteor-meteor ini akan kelihatan bergerak lebih laju dan membentuk garisan cahaya yang lebih pendek.

Perbezaan ini berlaku akibat sudut pandangan kita daripada permukaan Bumi berubah akibat putaran planet ini.

Cara terbaik untuk anda melihat meteor-meteor ini ialah dengan baring sambil memandang ke langit. Anda juga perlu lakukan cerapan di kawasan luar bandar, di mana langitnya lebih gelap dan tidak terganggu oleh cahaya-cahaya dari bangunan, rumah atau lampu jalan.

Tak perlu guna sebarang alat seperti teleskop atau binokular. Kaedah betul untuk cerapan meteor ialah dengan mata kasar sahaja.!

Seperti mana saya pernah sebut sebelum ini, tumpukan perhatian mata anda di satu kawasan langit sahaja. Fokus dan disiplin. Ini adalah kerana kita tidak tahu bila dan kawasan langit mana meteor-meteor ini akan muncul. Maka adalah lebih baik kita simpan tenaga dan fokus ke kawasan langit yang paling gelap dan ideal.

Jika anda ingin merakamnya, gunalah kamera DSLR yang mempunyai intervalometer. Guna lens paling lebar pandangannya (wide angle). Tetapkan waktu dedahan yang panjang, contoh 30 saat. Kemudian tetapkan intervalometer kamera anda supaya ia mengambil gambar secara berterusan secara automatik sepanjang malam! (atau bateri habis atau kad memori habis dulu!). Boleh juga rujuk sini.

p02z15bg.jpg

Namun harus ingat, walaupun jika menerusi cerapan mata, anda dapat lihat berpuluh-puluh meteor, tetapi tidak semestinnya semua dapat dirakam menerusi kamera! Maka, tidak hairanlah jika sepanjang malam itu nanti anda mempunyai ribuan set gambar, tetapi hanya sekeping dua sahaja yang ada meteor!

14905980540_c9e4eded5e_o
Meteor yang tak sengaja dirakam oleh @shahgazer pada tahun 2012 di Australia.

Itu normal! Bersyukur lah kalau dapat rakam tu!

Semoga langit kita tidak berawan dan tidak hujan pada malam 14-15 Disember nanti!

Amin!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments