Chang’e-4 berjaya mendarat di bahagian belakang Bulan

Buat pertama kali dalam sejarah, sebuah kapal angkasa telah mendarat di bahagian belakang Bulan, iaitu bahagian Bulan yang tidak dapat dilihat dari Bumi.

(Ada banyak kekeliruan yang saya dapati mengenai kawasan Bulan ini. Ada beberapa saluran media mengatakan Chang’e-4 mendarat di bahagian gelap Bulan. Sebenarnya Bulan tidak mempunyai bahagian gelap. Ia mengalami siang dan malam seperti Bumi. Saya ada mengomel sedikit perihal ni)

Chang’e-4, sebuah prob kecil kepunyaan agensi angkasa negara China, telah melakukan pendaratan semalam, 3 Januari 2019 pada jam 10:26 am waktu Beijing. Ia mendarat di dalam sebuah kawah bernama Von Kármán, di kawasan sebuah basin besar bernama South Pole-Aitken (SPA).

DwA-iqgWsAE8-z8

Satelit Lunar Reconnaissance Orbiter merakam kawasan di mana Chang’e mendarat, berdasarkan foto yang dipancarkan semalam. Sumber.

Misi ini telah dilancarkan lebih kurang sebulan lepas dan memasuki orbit Bulan pada 12 Disember 2018. Salah satu komplikasi misi ini ialah pusat kawalan di Bumi tidak dapat berhubung secara terus dengan Chang’e-4 kerana ia berada di bahagian Bulan yang terlindung dari pandangan kita di Bumi. Maka apa telah yang dilakukan ialah isyarat dan datanya dipancarkan terlebih dahulu ke sebuah satelit geganti yang berada di dalam orbit Bulan, Queqiao.

Menurut China Global Television Network, beberapa jam setelah mendarat, Chang’e-4 telah menghantar kembali gambar pertama kawasan Bulan yang belum pernah diterokai permukaannya sebelum ini.

Dv9g-QmVYAERcXm

Antara foto pertama yang dipancarkan ke Bumi dari Chang’e-4. Sumber.

Di dalam pesawat utama Chang’e-4, ada sebuah perayau kecil Yutu-2, yang telah selamat dikeluarkan daripada kapal induknya. Yutu-2 sebenarnya sebuah spare part kepada misi sebelum ini, Chang’e-3, yang turut berjaya mendarat di Bulan tetapi di bahagian yang mengadap dengan Bumi kita.

Dv_rGTmXcAA-qBj

Saat-saat perayau Yutu-2 dikeluarkan daripada kapal induk. Sumber

DwAwvAmVAAAH0Wc

Ryutu-2 yang berjaya dilepaskan dipermukaan Bulan daripada kapal induk, Chang’e-4. Sumber.

Kawasan Bulan ini tidak ‘dicemari’ oleh isyarat radio daripada Bumi kita. Para saintis menjangkakan ia amat sesuai untuk cerapan dan kajian dalam bidang Radio Astronomi. Sebuah spektrometer yang berada di atas Chang’e-4 akan cuba mengesahkan idea ini.

Sebuah lagi alat, Advanced Small Analyzer for Neutrals (ASAN), akan mengukur angin suria berinteraksi dengan permukaan Bulan.

Selain itu, kawasan di mana pesawat ini mendarat, basin SPA, mungkin mempunyai bahan-bahan daripada lapisan mantel Bulan, hasil satu hentaman gergasi bilion tahun dahulu. Jika benar, ia memberi peluang kepada kita memahami dengan lebih jelads bagaimana proses Bulan ini terbentuk.

Kita tunggu maklumat lanjut.

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...