Langit Minggu Ini 14-20 Januari 2019

Minggu ketiga tahun 2019 ini akan dihiasi dengan beberapa siri penghijaban bintang-bintang kluster Hyades oleh Bulan. Kita juga cuba perhatikan pergerakan Zuhrah dan Musytari yang semakin menghampiri fenomena konjungsi minggu hadapan. Selain itu, jom berkenalan dengan buruj Biduk dan bintang super kembar, Mizar dan Alcor!


14 Jan (Isnin)

Kita mulakan minggu ini dengan memerhatikan posisi planet Zuhrah dan Musytari pada sekitar waktu Subuh (Astronomical dawn). Kedua-dua planet ini akan kelihatan semakin mendekati antara satu sama lain.

Lebih tepat lagi, Zuhrah akan semakin rendah setiap hari, manakala Musytari pula semakin tinggi.

Screenshot 2019-01-13 at 2.21.34 PM.jpg

Zuhrah dan Musytari pada waktu Subuh, 14 Jan 2019. Simulasi Sky Safari.

Kemuncaknya ialah pada minggu hadapan, apabila kedua-dua planet cerah ini akan sekali lagi melintasi bersebelahan, di dalam satu fenomena yang dikenali sebagai konjungsi (conjunction).

Cuba lakukan pemerhatian setiap pagi. Kalau boleh rakam dan rekod kedudukan planet ini.

Pada pagi ini, kedua-duanya berpisah sejauh 8 darjah.

Bulan pula akan memasuki fasa Bulan Sukuan Pertama pada jam 2:26 PM.

Satu bentuk bayang-bayang seperti huruf X, yang juga dikenali sebagai “Lunar-X” boleh dilihat dalam lingkungan 4 jam daripada waktu di atas. Kita mungkin ‘terlepas sedikit’ waktunya jika nak cuba cari selepas waktu Maghrib. Saya cadangkan, jika langit cerah menjelang 1 jam sebelum Maghrib, cuba teropong dan rakamnya bentuk X tersebut.

Lunar X

(Atas: Foto Lunar-X yang dirakam oleh saya pada 15 Jan 2015.)


15 Jan (Selasa)

Jarak antara Zuhrah dan Musytari semakin berkurang menjadi 7 darjah.

Halakan teleskop ke arah Zuhrah, kita akan dapat lihat sebuah bintang sederhana terang bernama Chi Ophiuchi berada kurang 1 darjah di sebelah bawahnya.

Screenshot 2019-01-13 at 2.28.16 PM.jpg

Zuhrah dan bintang Chi Ophiuchi jika dilihat menerusi teleskop berkuasa rendah. Simulasi Sky Safari.


16 Jan (Rabu)

Zuhrah kini berada 6.5 darjah dari Musytari. Bersama-sama dengan bintang Antares yang berada di sebelah kanan, ketiga-tiga objek ini membentuk segi tiga yang cantik.

Screenshot 2019-01-13 at 2.29.54 PM.jpg

3 sekawan, Zuhrah, Musytari dan Antares. Simulasi Sky Safari Pro.


17 Jan (Khamis)

★ ★ Bulan berada di dalam kawasan gugusan Hyades. Beberapa siri penghijaban bintang akan berlaku.

Hyades ialah sebuah gugusan bintang yang agak luas tersebar di dalam buruj Taurus. Nak kenalnya senang saja. Bintang merah bernama Aldebaran berada di kawasan yang sama dengan gugusan ini..

Walaupun Aldebaran dilihat seperti sebahagian daripada gugusan ini, tapi sebenarnya tidak begitu. Gugusan Hyades berada lebih jauh ke belakang pada jarak 152 tahun cahaya, manakala bintang Aldebaran berada dekat sedikit iaitu 65 tahun cahaya daripada Bumi.

Bermula selepas Maghrib hinggalah ke tengah malam, cuba perhatikan bintang-bintang yang berada di sekeliling Bulan. Guna teleskop lebih jelas.

Pemerhatian ini nanti akan menyaksikan beberapa buah bintang akan dilihat terhijab atau terlindung daripada pandangan kita oleh jasad Bulan.

Bintang yang mana akan hilang dan muncul bergantung kepada lokasi kita. Saya syorkan guna aplikasi seperti Stellarium (PC) atau Sky Safari AR (telefon pintar) bagi mengenalpasti bintang yang terlibat bagi kawasan anda.

moonhyadesJan2019.gif

Penghijaban bintang Hyadum II dan Delta3 Tauri yang kelihatan dari Kuala Lumpur. Simulasi Sky Safari.

Kalau dari Kuala Lumpur, sebuah bintang bernama Hyadum II (magnitud 3.8) akan mula terhijab pada jam 8:08 pm dan muncul semula pada jam 9:33 pm.

Sebuah lagi bintang, Delta3 Tauri (magnitud 4.3) pula akan terhijab jam 10:06 pm dan muncul pada jam 11:40 pm.

Jika anda pelajar bidang Falak, yang sedang memikirkan tajuk projek tahun akhir, mungkin fenomena penghijaban seperti ini boleh dijadikan satu peluang yang bagus untuk dijadikan kajian.


18 Jan (Jumaat)

Kembali perhatikan Zuhrah dan Musytari pada waktu Subuh ini. Kedua-duanya sudah semakin dekat, 4.8 darjah sahaja antara satu sama lain.


19 Jan (Sabtu)

Zuhrah dan Musytari kini 4 darjah sahaja.

Sementara itu, pada waktu yang sama perhatikan ke arah utara. Di sana kelihatan buruj yang paling popular iaitu Buruj Biduk atau Big Dipper.

Screenshot 2019-01-13 at 2.03.33 PM.jpg

Buruj Biduk atau Ursa Major yang dapat dilihat tinggi di sebelah langit utara menjelang waktu Subuh. Simulasi Sky Safari.

Susunan 7 bintang terang ini sudah dikenali oleh tamadun manusia sejak zaman berzaman. Ia sebenarnya sebahagian daripada sebuah buruj yang lebih besar yang dikenali sebagai Ursa Major.

Secara teknikalnya, Big Dipper itu sendiri bukanlah buruj, tetapi ia adalah sebuah asterim. Asterim juga ialah susunan corak bintang-bintang di langit (seperti buruj juga), tetapi selalunya ia terdiri daripada gabungan bintang-bintang yang lebih kecil dan membentuk sesuatu yang unik. Kadangkala ada juga asterim yang menggabungkan bintang-bintang dari buruj yang berlainan.

Dua buah bintang yang paling kanan sekali, iaitu Merak dan Dhube, jika dibuat satu garisan ke arah ufuk, akan sampai ke bintang kutub kita, iaitu Polaris.

Malangnya bintang Polaris ini amat susah (tetapi tidak mustahil) untuk dilihat dari Malaysia atau negara-negara berhampiran dengan garisan Khatulistiwa.

Namun, kita masih tahu dimanakah titik utara kita dengan membuat garisan dari bintang-bintang tersebut.


20 Jan (Ahad)

Zuhrah dan Musytari kini 3.5 darjah sahaja.

Semalam kita dah perhatikan bentuk buruj Biduk. Pagi ini cuba perhatikan satu lagi bintang di bahagian ‘ekor’ buruj tersebut, iaitu bintang kedua daripada sebelah sisi kanan, bernama Mizar.

Bintang Mizar ini amat popular kerana jika kita perhatikan betul-betul, ia sebenarnya terdiri daripada 2 buah bintang!

Ia adalah bintang kembar. Kembarnya bernama Alcor, dikatakan boleh dilihat dengan mata, amat mudah dengan binocular dan ‘kacang’ dengan teleskop!

Screenshot 2019-01-13 at 2.07.26 PM.jpg

Pasangan bintang Mizar (kanan) dan Alcor yang dirakam menerusi teleskop. Kredit Fred Espanak.

Lagi menarik kalau kita lihat menerusi teleskop, bintang Mizar itu sendiri pun ialah bintang kembar! Dikenali sebagai Mizar A dan Mizar B! Ia boleh dilihat dengan mudah menerusi teleskop berkuasa sederhana.

Apabila peralatan cerapan semakin canggih, ahli astronomi mendapati setiap pasangan Mizar A dan Mizar B itu sendiri pun masing-masing ialah bintang kembar!!!!

Kembar empat tu!!

Screenshot 2019-01-13 at 2.10.59 PM

Pasangan Mizar A, yang berjaya dirakam menggunakan kaedah interferometer. Sumber.

Malangnya kita tak dapat lihat pasangan Mizar A dan Mizar B, sebab ia terlalu hampir. Penemuannya dibuat menggunakan kaedah yang dikenali sebagai spektroskopi!

Kisah bintang Mizar dan Alcor ini amat menarik. InsyaAllah saya cuba tulis sebuah artikel fokus kepada dua bintang ini.

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...