Langit Minggu Ini 21 – 27 Januari 2019

Fenomena

Gerhana Bulan yang kita tak nampak, lagi penghijaban kluster, berkenalan dengan bintang tercerah buruj Leo, lintasan Zuhrah dan Musytari.


21 Jan (Isnin)

Fenomena Gerhana Bulan Penuh akan berlaku dan bermula pada jam 1:16 pm waktu Malaysia. Malangnya kali ini kita tak dapat melihatnya. Giliran peminat langit di sebelah benua Amerika, Eropah dan Asia Barat pula bersiap siaga untuk menikmati satu kejadian alam yang cukup indah.

Namun dalam zaman internet serba laju berdesup sekarang ni, dengan mudah kita boleh turut sama mengikuti fasa-fasa gerhana tersebut secara online.

Screenshot 2019-01-20 at 7.38.30 PM.jpg
Gerhana Bulan Penuh yang dilihat dari Malaysia pada bulan Julai 2018 lepas. Foto oleh shahgazer

Bulan juga berada dalam fasa Bulan Penuh pada jam 1:17 pm.

Di sini kita dapat lihat kejadian gerhana bulan sentiasa berlaku ketika fasa Bulan penuh sahaja. Satu fakta yang mudah tapi ramai yang tak perasan.

Pada waktu malamnya, bermula sekitar 1 jam selepas Isya’, Bulan akan menghijab kluster Beehive. 

moonbeehive.gif
Lintasan Bulan di hadapan kluster Beehive. Simulasi Sky Safari.

Namun penghijaban kali ini paling mencabar kerana bintang-bintang di dalam kliuster Beehive ini agak kelam, dan Bulan berada dalam fasa purnama. Cahaya Bulan dijangka akan menjadi sangat silau dan mungkin hampir mustahil untuk kita melihat hilang dan munculnya bintang-bintang ini.

Walaupun begitu, bagi yang ingin mencuba saya amat galakkan. Anda perlukan teleskop untuk mencerap fenomena ini.

Proses penghijaban ini akan berterusan sehingga selepas tengah malam.


22 Jan (Selasa)

Pada sekitar jam 4 pagi, Bulan akan berada dalam kedudukan perigee, yakni paling hampir dengan Bumi.

Kalau kita lihat di sini, tarikh fasa Bulan Penuh hampir sama dengan perigee. Jadi persoalannya adakah ia Bulan Penuh Perigee atau lebih popular sekarang digelar sebagai supermoon?

Bagi saya tidak, kerana fasa Bulan Purnama berlaku pada 21 Jan, 1:17 pm, dan hanya 14 jam kemudian barulah Bulan di posisi terdekat. Secara lebih tepatnya, Bulan Penuh Perigee yang paling tepat hanya berlaku bulan Februari nanti.


23 Jan (Rabu)

Menjelang Subuh hari ini, Bulan akan melintasi hampir dengan sebuah bintang bernama Regulus. Bintang ini ialah yang tercerah di dalam buruj Leo.

Secara turutannya, Regulus ialah bintang ke-21 paling cerah di langit. Di persekitaran Regulus, kalau kita lihat betul-betul ada beberapa buah bintang yang akan membentuk seperti tanda soal yang terbalik. Susunan bintang-bintang ini (termasuk Regulus) dikenali sebagai “Sickle”.

Screenshot 2019-01-20 at 7.40.10 PM.jpg
Bulan berhampiran dengan bintang Regulus dan susuna asterim yang digelar “Sickle”. Simulasi Sky Safari.

Satu perkara unik mengenai Regulus selain daripada jaraknya 77.5 tahun cahaya daripada Bumi, ialah ia berputar atas paksi dalam kadar yang amat laju!

Walaupun saiznya 3.5 kali lebih besar daripada Matahari, tetapi ia berpusing satu pusingan atas paksinya selama 15.9 JAM sahaja! Kesannya ialah bentuknya seperti bola ragbi, diameter di garisan ‘khatulistiwanya’ 32% lebih panjang berbanding diameter kutubnya!

Regulus-sun-comparison.jpg
Gambaran bentuk bintang Regulus yang seperti bola ragbi, hasil putarannya yang sangat laju. Sumber.

Guano tu??!

Menjelang Subuh, halakan pandangan kita ke ufuk timur. Kita akan disaksikan dengan pasangan planet Zuhrah dan Musytari yang amat indah! Pada Subuh ini, kedua-dua hanya dipisahkan sejauh 2.5 darjah sahaja!

Screenshot 2019-01-20 at 7.43.57 PM.jpg
Pasangan planet Zuhrah dan Musytari seperti yang akan dapat dilihat Subuh, 23 Jan 2019 nanti. Simulasi Sky Safari.

Pandangan mata kasar, kita akan dapati planet-planet ini seperti 2 bintang ‘kembar’ yang terang! Cukup-cukup cantik untuk diamati dengan mata, teleskop dan juga dirakam menerusi kamera!

Selepas tarikh ini ia akan mula menjauhi. Untuk menunggu lintasan Zuhrah dan Musytari selepas ini ialah pada 24 Nov 2019, di mana jarak kedua-duanya lebih dekat iaitu 1.5 darjah sahaja!


27 Jan (Ahad)

Pada lewat malam hingga ke Subuh hari ini, Bulan akan melintasi hampir dengan bintang Spica. Bintang ini paling cerah di dalam buruj Virgo.

Screenshot 2019-01-20 at 7.45.50 PM.jpg
Bulan melintasi bintang Spica pada awal Subuh 27 Jan 2019. Simulasi Sky Safari.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments