Langit Minggu Ini 28 Jan – 3 Feb 2019

Ijtimak/himpunan planetari terbaik minggu ini! Bulan ziarah 3 buah planet, dan kemudian elok pulak membentuk garisan panjang bersama-sama planet ini merentasi separuh langit timur!


28 Jan (Isnin)

Bulan akan berada dalam Fasa Sukuan Akhir pada jam 5:12 AM. Ia akan terbit sekitar tengah malam.

Kedudukannya di langit akan berada di antara buruj Virgo dan Libra.

Fasa ini merupakan antara waktu kegemaran saya meneliti permukaan Bulan menerusi teleskop. Sudut pandangan kita tepat berada di sempadan siang dan malam di Bulan, ala-ala waktu Maghrib kita. Cuma di Bulan tiada atmosfera untuk menyerakkan cahaya Matahari. Maka itu jika ada angkasawan berada di sana, sebaik sahaja Matahari hilang dari pandangan, kawasan sekeliling akan menjadi gelap serta-merta!

Screenshot 2019-01-27 at 4.09.58 PM.jpg

Bulan dalam fasa sukuan akhir. Sumber.


29 Jan (Selasa)

Bulan mula menghampiri kawasan buruj Scorpius, serta planet-planet terang Zuhrah dan Musytari yang berada di kawasan itu. Jika anda merancang untuk merakam pergerakan serta perubahan objek-objek ini secara bersiri, bolehlah mulakan rakaman anda hari ini.

Screenshot 2019-01-27 at 4.12.07 PM.jpg

Kedudukan Bulan pada awal Subuh 29 Jan 2019. Simulasi Sky Safari.


30 Jan (Rabu)

Bintang Antares bersama planet Musytari dan Bulan membentuk tiga segi seluas 10 darjah. Arah timur bermula sekitar jam 3 pagi hinggalah ke Subuh.

Screenshot 2019-01-27 at 4.14.59 PM.jpg

Segi tiga Bulan, Musytari dan bintang Antares. Renungilah perbezaan jarak sebenar ketiga-tiga jasad ini! Simulasi Sky Safari.

Sebagai perbandingan jarak, ini merupakan satu contoh yang menarik untuk kita jadikan topik sembang dengan kawan.

Bulan mengelilingi Bumi dan cahayanya mengambil masa hanya 1.4 saat untuk sampai ke mata kita.

Jauh sikit ke belakang ialah planet Musytari. Ia adalah sebuah planet 12 kali ganda lebih besar dari Bumi tetapi disebabkan jauh, ia nampak seperti satu titik cahaya yang terang. Cahayanya mengambil masa 49 minit nak sampai ke Bumi!

Akhir sekali ialah bintang Antares. Ia sebuah bintang gergasi merah, diameternya ialah 400 kali ganda lebih besar dari Matahari! Kalaulah kita letak bintang ni di kedudukan Matahari kita, saiznya yang besar ni akan menelan Utarid, Zuhrah, Bumi dan sampaikan ke Marikh!! Nasib baik bintang ni jauh. Ia terletak 550 tahun cahaya dari Bumi!


31 Jan (Khamis)

Subuh ini, Musytari berada kurang 3 darjah di sebelah Bulan. Zuhrah pula berada 8 darjah ke timur Bulan. Lihat arah timur menjelang Subuh. Ketiga-tiga membentuk segitiga objek samawi yang cantik.

Screenshot 2019-01-27 at 4.17.57 PM.jpg

Segi tiga Bulan, Musytari dan Zuhrah pula pagi ni! Simulasi Sky Safari Pro.

Agak-agaknya bilakah kali terakhir anda pernah dapat lihat Bulan, Musytari dan Zuhrah berada sehampir macam ni?

Oh ya, sebelum terlupa, cahaya dari Zuhrah yang kita tengok tu sebenarnya cahayanya 7 minit dahulu!


1 Feb (Jumaat)

Giliran Zuhrah pula dilintasi Bulan. Subuh ini, planet Zuhrah berada 3 darjah di sebelah barat Bulan. Menerusi pandangan mata, nampak Bulan di bawah, Zuhrah di sebelah atas!

Screenshot 2019-01-27 at 4.20.06 PM.jpg

Bulan melintasi Zuhrah. Simulasi Sky Safari Pro.


2 Feb (Sabtu)

Dalam senyap-senyap, planet Zuhal dah mula kembali muncul. Kalau nak tahu yang mana satu, cuba gunakan peluang pagi ini untuk mencarinya dengan bantuan Bulan.

Screenshot 2019-01-27 at 4.21.15 PM.jpg

Cuba cari Zuhal berpandukan Bulan. Lihat rendah di ufuk timur 30 minit selepas Subuh.

Planet bergelang ini akan berada kurang 4 darjah dari Bulan. Lihat arah timur rendah di ufuk selepas Subuh. Waktu terbaik sekitar 30 minit selepas Subuh. Kalau awal sangat mungkin terlalu rendah nak tengok!


3 Feb (Ahad)

Zuhal berada 8 darjah di bahagian barat Bulan. Lihat arah timur rendah di ufuk selepas Subuh.

Screenshot 2019-01-27 at 4.22.37 PM.jpg

Pandang arah timur 30 minit selepas Subuh. Deretan 3 planet dan bulan!

Jika anda mempunyai pandangan ufuk yang luas dan bebas dari gangguan atau halangan, cuba perhatikan susunan berbentuk satu garisan, bermula dari Musytari di atas, kemudian Zuhrah, Zuhal dan berakhir dengan Bulan sabit tua yang halus dan rendah di ufuk! Waktu terbaik sekitar 30 minit selepas Subuh.

Ambik gambar! Comel tu!

#tabarakallah

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...