Langit Minggu Ini – 7 Jan 2019 – 13 Jan 2019

Minggu kedua tahun 2019 ini bermula dengan kembali munculnya Bulan muda, serta lintasannya berhampiran dengan planet Marikh. Selain itu kita cuba berkenalan dengan bintang yang terang tetapi jarang diketahui oleh orang kebanyakan, iaitu Fomalhaut.

 


7 Jan 2019 (Isnin)

Mulakan minggu kedua tahun 2019 ini dengan menikmati keindahan langit waktu Subuh.

Sekitar jam 6 pagi (5 pagi di Sabah), di sebelah arah timur akan kelihatan 2 buah planet cerah, Zuhrah dan Musytari. Jika kita ingat beberapa bulan yang lalu, kedua-dua planet ini menghiasi langit senja. Hasil pergerakannya dan juga pergerakan Bumi di dalam orbit, menyebabkan kedua-dua planet ini muncul pula di waktu Subuh.

Screenshot 2019-01-06 at 7.23.20 PM.jpg

Kedudukan Zuhrah, Musytari dan bintang Antares pada waktu Subuh minggu ini. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Jika ada teleskop, halakan ke arah Zuhrah. Ia akan kelihatan seperti bentuk ‘bulan separuh’. Ia semakin jauh bergerak daripada Bumi dan akan kelihatan semakin kecil pada minggu-minggu yang mendatang.

Screenshot 2019-01-06 at 7.24.35 PM.jpg

Rupa bentuk planet Zuhrah apabila dilihat menerusi teleskop berkuasa sederhana. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Sebenarnya saya tertinggal satu fenomena pada minggu lepas. Berdasarkan kedudukan di langit, Zuhrah telah mencapai elongasi, yakni sudut planet ini dengan matahari, yang paling maksimum iaitu 47 darjah pada jam 2 pm, 5 Januari 2019 yang lepas. Inilah sudut paling jauh yang boleh ‘dipergi’ oleh Zuhrah daripada Matahari. Selepas daripada tarikh ini ia akan kembali menghampiri Matahari.

Screenshot 2019-01-06 at 7.26.34 PM.jpg

Elongasi atau jarak sudut antara Zuhrah dan Matahari berada pada sudut paling jauh pada 5 Jan 2019 lepas. Selepas ini Zuhrah akan kembali mendekati Matahari. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Jangan pula tertinggal bintang merah Antares. Ia akan kelihatan di sebelah kanan Musytari. Buruj Scorpius buat masa ini baru sahaja terbit pada waktu Subuh. Ini belum masanya untuk kita mengejar jaluran Bima Sakti! Kena tunggu 2,3 bulan lagi barulah cantik.


8 Jan 2019 (Selasa)

Bulan sabit muda akan mula kelihatan dengan mudah rendah di ufuk barat. Bentuk sabitnya yang halus menyerupai huruf jawi “ra”

Ketika ini juga jika anda melihat Bulan dengan teliti dari kawasan yang tiada gangguan awan, anda berpeluang melihat kawasan ‘malam’nya yang turut bersinar sedikit hasil pantulan cahaya Matahari daripada permukaan Bumi. Inilah yang dikenali sebagai fenomena Earthshine.

Screenshot 2019-01-06 at 7.28.34 PM.jpg

Cuba rakam fenomena Earthshine ketika umur Bulan masih muda dan bentuk sabitnya masih halus. Simulasi Sky Safari 6 Pro.


9 Jan 2019 (Rabu)

Bulan berada pada poin paling jauh dari Bumi, yang juga dikenali sebagai apogee. Saat ini berlaku pada jam 12:30 PM pada jarak 406114 km. Ketika ini, Bulan baru sahaja melepasi 3 hari 3 jam selepas fasa Bulan Baru.

Maka, jika anda melihat bulan sabit muda pada petang ini, ia akan kelihatan sedikit kecil berbanding hari-hari lain.

Fenomena apogee ini berlaku tiap-tiap bulan disebabkan bentuk orbit Bulan yang elips.


10 Jan 2019 (Khamis)

Bulan sedang melungsuri kawasan langit yang tidak dihiasi bintang yang terang-terang. Namun petang ini kita mempunyai satu peluang yang unik untuk berkenalan dengan sebuah bintang yang kelihatan seperti ‘berseorang je’.

Bintang yang dimaksudkan ialah Fomalhaut. Ia akan kelihatan seperti sebutir bintang putih yang agak terang ke arah kiri dari kedudukan Bulan jika dilihat selepas Maghrib.

Screenshot 2019-01-06 at 7.30.43 PM.jpg

Bintang Fomalhaut berada di sebelah kiri Bulan pada petang 10 Jan 2019. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Fomalhaut merupakan sebuah bintang bermagnitud 1.16. Ia merupakan bintang ke-18 paling cerah di langit. Ia juga sebahagian daripada buruj yang bernama Piscis Austrinus. Buruj ini bermaksud ‘ikan selatan’.

Jika kita sering memerhatikan langit, bintang Fomalhaut ini sebenarnya senang nak kita kenal, sebab di sekeliling kawasan langit ini tiada bintang lain secerahnya.

Sedikit sejarah mengenai bintang ini, pada tahun 2008, ahli astronomi yang menggunakan Teleskop Angkasa Hubble telah berjaya merakam sebuah eksoplanet yang mengelilingi Fomalhaut. Ini merupakan kali pertama sebuah eksoplanet dirakam secara terus. Cerapan susulan menunjukkan eksosplanet yang diberi nama Fomalhaut b ini mempunyai jisim 3 kali ganda Musytari dan berada pada kedudukan 115 A.U. dari bintangnya. 115 A.U. adalah bersamaan 115 kali jarak Bumi ke Matahari. Ia mengambil masa 872 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbitnya!

heic0821a.jpg

Foto eksoplanet Fomalhaut b, yang dirakam menerusi kamera Advanced Camera for Survey di atas Teleskop Angkasa Hubble. Sumber.


11 Jan 2019 (Jumaat)

Sekitar selepas Isya’ apabila langit sudah pun gelap, ambillah peluang pada malam ini untuk melihat ke arah ufuk timur.

Tinggi di langit, buruj kegemaran ramai, Orion, sudah pun begitu jelas dan gah kelihatan. Saya boleh jangkakan hampir semua orang akan dapat mengenali buruj ini dengan mudah keranan sususan bintang-bintangnya sungguh cantik dan kemas.

Jangan lupa juga pandang rendah ke ufuk timur dan ke kanan sedikit, bintang paling cerah di langit, Sirius, sudah mula semakin tinggi dan semakin awal waktu terbitnya.

Screenshot 2019-01-06 at 7.34.37 PM.jpg

Bintang Sirius yang kini mula kelihatan rendah di ufuk timur selepas Maghrib. Simulasi Sky Safari 6 Pro.

Perhatikan juga warna Sirius ini sepatutnya putih. Namun, disebabkan ia masih rendah di ufuk, biasan cahaya yang melampau hasil pergerakan atmosfera yang tidak stabil dan sentiasa bergerak-gerak, menyebabkan kadang-kala kita akan lihatnya menjadi berwarna-warni!

Warna Sirius akan kembali ‘stabil’ putih apabila ia naik semakin tinggi di langit menjelang tengah malam.


12-13 Jan 2019 (Sabtu dan Ahad)

Walaupun hampir kesemua planet yang terang kini berada di langit waktu Subuh, planet merah Marikh masih kekal berada di langit senja selepas Maghrib dan Isya’.

Kedudukannya kini agak jauh dari Bumi. Saiznya hanya 6.8 arka saat, amat kecil walaupun dilihat menerusi teleskop berkuasa sederhana.

Ia masih senang untuk dijejaki kerana ia satu-satunya ‘bintang’ berwarna kemerahan di langit sebelah barat dan di posisi ketinggian yang tinggi, sekitar waktu Isya’.

Pada malam 12 dan 13 Jan ini, jika anda masih lagi tidak tahu kedudukannya, gunalah Bulan sebagai panduan. Pada kedua-dua tarikh tersebut, Bulan akan melintasi berhampiran dengan Marikh.

Screenshot 2019-01-06 at 7.37.56 PM.jpg

Bulan dan Marikh pada 12 Jan 2019 sekitar waktu Isya’

Screenshot 2019-01-06 at 7.38.05 PM.jpg

Bulan dan Marikh pada 13 Jan 2019 sekitar waktu Isya’


 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...